Sabtu, 13 Disember 2014

Bawa pulang trofi dulu

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI-fazli.yadi@kosmo.com.my

 
PEMAIN Harimau Malaya tekad untuk menjulang nama Malaysia di rantau ini dengan merangkul kejuaraan Piala AFF Suzuki 2014 minggu depan.
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mokhtar Ahmad berharap pemain Harimau Malaya tidak terjejas dengan isu insentif menjelang aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2014 menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok Rabu ini.
Sebaliknya, Mokhtar menyarankan pasukan bimbingan Dollah Salleh mengekalkan fokus menentang pasukan Gajah Putih dalam misi menjulang trofi kejohanan itu buat kali kedua sejak kali pertama pada tahun 2010.
Beliau khuatir isu insentif atau habuan lumayan tersebut bakal merosakkan fokus anak-anak buah Dollah yang sedang mempamerkan peningkatan sejak melangkah ke pusingan akhir dengan menewaskan Vietnam 5-4 secara agregat.
“Kita tidak boleh fikir terlalu jauh. Buat masa ini, saya percaya skuad kebangsaan tidak perlu fikir mengenai insentif sebaliknya mereka perlu bekerja keras lagi untuk bertemu Thailand dalam aksi final nanti.
“Umum mengetahui bahawa Thailand bukan satu pasukan calang-calang. Biarpun kita nampak peningkatan berlaku dalam pasukan kebangsaan, saya bimbang isu ini akan merosakkan pemikiran pemain untuk tampil aksi lebih baik.
“Lebih bermanfaat bagi pasukan kebangsaan ialah memberikan aksi terbaik dalam misi untuk menjulang Piala AFF Suzuki pada tahun ini, bukannya memikirkan insentif sebelum sepak mula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Kosmo! semalam melaporkan, beberapa pemerhati sukan bola sepak negara berpendapat, pasukan kebangsaan wajar diberikan insentif lumayan jika mereka berjaya mengulangi kejayaan Piala AFF Suzuki 2010.
Justeru, mereka menganggap FAM sewajarnya memberikan bonus dua kali ganda yang mana seramai 22 pemain menerima insentif bernilai RM50,000 selepas menjuarai Piala AFF Suzuki sejak menyertai kejohanan itu pada tahun 1996.
Mengulas kewajaran FAM untuk memberikan insentif, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu menegaskan, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM adalah individu tepat untuk membuat keputusan tersebut.
“Apa pun, biarlah tuanku (Tengku Abdullah) berbicara mengenai hal ini (insentif) dan sebagai Presiden FAM, tuanku adalah calon paling tepat untuk menjawab soalan tersebut.
“Secara peribadi, biarlah skuad Harimau Malaya turun bermain dalam aksi final nanti demi maruah negara, bukan semata-mata memikir mengenai habuan lumayan menanti mereka,” ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1214&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3LpFliVKUHakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan