Rabu, 3 Disember 2014

Rantai pergerakan Vietnam


 
Rantai pergerakan Vietnam
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
DOLLAH kini gigih memberi tumpuan terhadap strategi untuk mematikan rentak permainan Vietnam.
JURULATIH Harimau Malaya, Dollah Salleh sudah mendapat maklumat mengenai kekuatan skuad Vietnam yang bakal menjadi lawan mereka pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam pada Ahad ini.
Menurut Dollah, tiga pemain pasukan lawan iaitu Nguyen Van Quyet, Ngo Hoang Thanh dan Pham Thanh Luong wajar diberi perhatian kerana mereka bijak dan pantas menyambar peluang.
Jika dibiarkan bebas, tiga pemain tersebut mampu memusnahkan impian Harimau Malaya.
Menyedari kekuatan tersebut, Dollah sudah bersedia dari segala aspek untuk memastikan kelibat tiga pemain dimatikan.
Dollah mendapat maklumat tersebut daripada jurulatih harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee yang ditugaskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia memantau gaya permainan Vietnam pada aksi peringkat Kumpulan A di Hanoi minggu lalu.
“Saya mendapat makluman tersebut daripada Kim Swee dan sekurang-kurangnya ia membantu kami membuat persiapan sewajarnya menjelang aksi separuh akhir di Stadium Shah Alam pada Ahad ini.
‘Buat masa ini, latihan kami berjalan seperti biasa dan tumpuan ada untuk merangka strategi bagaimana untuk me­nyaingi rentak permainan Vietnam yang mengamalkan corak pantas dan hantaran pendek.
“Di samping itu juga, kita telah kenalpasti beberapa pemain Vietnam yang boleh dikatakan bahaya antaranya. Selepas saya mendapat maklumat daripada Kim Swee, kita akan cuba cari jalan bagaimana untuk menyekat pemain-pemain ini tetapi kita bermain di tempat sendiri dan harus memikirkan juga untuk mendapatkan sekurang-kurang dua atau tiga gol awal,” katanya.
Bagi melonjakkan lagi semangat para pemain Harimau Malaya pada perlawanan itu nanti, Dollah berharap agar para penyokong tampil membanjiri Stadium Shah Alam bagi memberikan sokongan padu kepada skuad negara.
Dollah berpendapat bahawa dengan sokongan padu daripada para penyokong, skuad kendaliannya pasti akan lebih bersemangat untuk mencari bekalan jaringan selesa sebelum bertandang ke Stadium Nasional My Dinh di Hanoi pada 11 Disember nanti.
Katanya lagi, beliau tidak mengambil kisah mengenai kritikan daripada peminat-pe­minat sebelum ini yang mengganggap skuad negara dilihat tidak berpeluang untuk melepasi saingan peringkat Kumpulan B di Singapura minggu lalu.
“(Kritikan) sudah menjadi lumrah dalam bola sepak. Apapun, saya masih percaya de­ngan keupayaan anak-anak buah saya.
“Saya akui ada segelintir pemain cepat melenting dengan setiap kritikan daripada para peminat tetapi bagi saya, mereka seharusnya mencontohi Safiq Rahim yang tidak ambil peduli setiap kritikan, malah kritikan itu membantu Safiq untuk tampil dengan aksi yang lebih bertenaga.
“Kali ini, kami perlukan sokongan daripada para penyokong,” tegas Dollah.
SUMBER-
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3KspKOVf7Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan