Rabu, 3 Disember 2014

Rahsia Vietnam dalam tangan


SKUAD Vietnam tiba di KLIA semalam bagi menghadapi Harimau Malaya pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Shah Alam pada Ahad ini
DOLLAH Salleh sudah mengenal pasti kekuatan Vietnam. Tiga pemain pasukan lawan iaitu Nguyen Van Quyet, Ngo Hoang Thinh dan Pham Thanh Luong wajar diberi perhatian. Mereka bijak dan pantas mencuri peluang dan pergerakan mereka harus dikunci oleh barisan pemain Harimau Malaya.
“Saya mendapat maklumat tersebut daripada Datuk Ong Kim Swee (jurulatih Harimau Muda) mengenai kekuatan pasukan Vietnam dan kami harus bersedia daripada semua aspek untuk mengekang kemaraan mereka,” jelas jurulatih skuad Harimau Malaya itu semalam.
Kim Swee telah ditugaskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memantau aksi pasukan Vietnam pada saingan peringkat Kumpulan A di Hanoi minggu lalu dan daripada maklumat itu, ia sekurang-kurangnya dapat membantu Harimau Malaya membuat persiapan menjelang aksi separuh akhir pertama kempen Piala AFF Suzuki 2014 dengan Vietnam di Stadium Shah Alam pada Ahad ini.
“Tiga pemain tersebut dikatakan sangat bahaya dan kami tidak boleh leka selain mematikan langkah mereka,” jelasnya.
Mengimbas rekod pertemuan Malaysia dengan Vietnam dalam kejohanan ini, mereka sudah membuat perhitungan sebanyak tujuh kali sejak ia diperkenalkan pada tahun 1996.
Daripada tujuh pertemuan itu, Malaysia mencatat kemenangan sebanyak dua kali manakala Vietnam menang tiga kali selain mencatat keputusan seri sebanyak dua kali.
Dalam perkembangan lain, Dollah masih belum mendapat bayangan siapa yang bakal mengambil alih tugas Amri Yahyah dan Shukor Adan dalam kesebelasan utama tetapi difahamkan, calon pilihan ketika ini ialah S. Kunanlan dan Fadhli Shas. Shukor dan Amri terpaksa melupakan aksi separuh akhir pertama ini kerana menjalani penggantungan satu perlawanan akibat menerima dua kad kuning.
SUMBER-
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3KsfJ1tQhHakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan