Isnin, 15 Disember 2014

Tak harap tuah penalti: Safiq

Bangkok: Pemain perancang Safiq Rahim (gambar) percaya Harimau Malaya tidak mengharapkan tuah penalti untuk mendapatkan kelebihan gol tempat lawan apabila turun menentang Thailand pada final pertama Piala AFF di Stadium Nasional Rajamangala, esok.

Skuad kendalian Dollah Salleh itu kini sudah mengumpul sembilan gol dengan tiga daripadanya dihasilkan menerusi sepakan penalti Safiq manakala juara tiga kali Thailand turut mengancam dengan 10 gol.
Bagi Safiq, 27, dia tidak kisah dengan cara apa sekalipun untuk mereka mendapatkan bekalan gol sebelum aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
“Apa cara sekalipun kita perlu jaringkan gol untuk mendapatkan kelebihan ke atas Thailand.
“Kita tidak bermain untuk mendapatkan sepakan penalti dan saya percaya kita mempunyai barisan pemain yang boleh menjaringkan gol dari pelbagai sudut,” katanya.
Safiq yang menjadi kapten Harimau Malaya ketika muncul juara kali pertama pada 2010 pasti menjadi antara pemain yang bakal mendapat ‘layanan istimewa’ pemain Thailand selepas beraksi cemerlang pada pertemuan peringkat kumpulan termasuk menjaringkan gol menerusi gerakan solo.
Dia yang bakal bergandingan dengan kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi di bahagian tengah tidak memikirkan mengenai peluangnya untuk menjadi penjaring terbanyak kejohanan selepas mengumpul empat gol bersama penyerang Vietnam Le Cong Vinh.
“Saya tidak fikir untuk menjadi penjaring terbanyak, siapa yang menghasilkan gol tak penting asalkan pasukan menang,” kata Safiq.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 7:49 AM
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/16522#sthash.g7h910gr.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan