Khamis, 18 Disember 2014

Ayuh ke Bukit Jalil – Khairy

19 Disember 2014 1:07 AM

 KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menggesa semua penyokong dan rakyat Malaysia agar mempercayai bahawa skuad Harimau Malaya dibimbing Dollah Salleh mempunyai semangat untuk melakukan sesuatu yang seolah-olah mustahil dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF dengan Thailand, esok.
Beliau turut menyeru 90,000 penyokong yang bakal membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti selain seluruh rakyat untuk terus menjadi ‘pemain ke-12’ yang akan membantu skuad negara mengulangi kejayaan menjuarai kejohanan utama bola sepak Asia Tenggara itu seperti pada 2010.
Tanpa menyangkal unsur ke­ajaiban turut diperlukan ‘Shukor Adan dan rakan-rakan’ untuk mengejar kedudukan ketinggalan 2-0 di Bangkok kelmarin, Khairy menegaskan, skuad negara masih berpeluang dan cuma kalah pada penghujung permainan.
“Saya percaya kepada semangat (pasukan). Jangan putus asa dengan pasukan Dollah. Dia sudah buat dua kali, melakukan yang mustahil – dengan Singapura, beberapa minit lagi kita hendak terkeluar (peringkat Kumpulan B tetapi menang 3-1).
Advertisement
“Kalau kita tengok (kemudian) kita kejar Vietnam (yang menang separuh akhir pertama) 2-1, kita (masih) boleh bangkit (untuk menang 4-2 dan agregat 5-4).
“Kali ini saya mahu semua 90,000 penyokong di Bukit Jalil dan rakyat Malaysia jadi ‘pemain ke-12’ pasukan kita,” katanya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ayuh-ke-bukit-jalil-8211-khairy-1.38178#sthash.gawmq8LB.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan