Selasa, 16 Disember 2014

Mat Yo, Indra, Piya berganding lagi?

17 Disember 2014 1:00 AM


Norshahrul Idlan Talaha (kiri) dipeluk oleh Indra Putra Mahayuddin
Norshahrul Idlan Talaha (kiri) dipeluk oleh Indra Putra Mahayuddin
Norshahrul Idlan Talaha (kiri) dipeluk oleh Indra Putra Mahayuddin selepas dia menjaringkan gol sewaktu menentang Vietnam dalam perlawanan separuh akhir kedua di Hanoi 11 Disember lalu.– UTUSAN
BANGKOK – Sebaik sahaja Indra Putra Mahayuddin diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Vietnam, penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha tidak menunggu lama untuk meledak jaringan pertamanya dalam Piala AFF 2014.
Ditambah pula dengan kehadi­ran Mohd. Badhri Radzi di bahagian tengah, maka lengkaplah gandingan treble 2012 yang membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super.
Dan mereka telah memainkan peranan masing-masing dengan baik untuk membantu Malaysia mengatasi Vietnam 4-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Hanoi itu bagi melayakkan diri ke perlawanan akhir dengan agregat 5-4 untuk menentang Thailand hari ini.
Tidak menolak faktor Indra Putra dan Mohd. Badhri banyak membantunya menampilkan prestasi yang baik di Hanoi, Norshahrul atau dikenali sebagai Mat Yo mengakui persefahaman yang telah terbina antara mereka di Kelantan menjadi faktor penting mengapa mereka boleh mengalahkan Vietnam.
“Saya, Indra dan Piya (Mohd. Badhri) telah bermain bersama-sama di Kelantan selama beberapa musim, jadi kami dah masak de­ngan corak permainan masing-masing.
“Seperti Indra, dia faham cara saya main...saya pun tahu cara dia main. Begitu juga dengan Piya, jadi itu memang beri sedikit ke­lebihan.
“Semuanya bergantung kepada jurulatih namun jika kami bertiga beraksi sekali lagi, kami bersedia mengulangi apa yang kami lakukan ketika lawan Vietnam,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.
Norshahrul mencipta jaringan kedua ke atas Vietnam sementara Indra Putra menjadi arkitek kepada dua gol Harimau Malaya manakala Piya banyak melakukan hantaran berbahaya ke dalam kawasan lawan.
Dalam masa sama, Norshahrul berkata, dia berharap mampu meneruskan rentak jaringan de­ngan men­jadikan Thailand sebagai mangsa seterusnya.
“Kalau tanyakan mana-mana pemain pun, semua hendak ja­ringkan gol termasuk Apek (penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat).
“Pengalaman bermain di Stadium Rajamangala dua tahun lalu (separuh akhir Piala AFF 2012) bersama beberapa rakan-rakan sepa­sukan mungkin boleh membantu.
“Kami mahu pulang ke Kuala Lumpur tanpa ada sebarang tekanan untuk perlawanan akhir kedua, jadi kami tidak boleh tewas di sini,” katanya. – UTUSAN
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/mat-yo-indra-piya-berganding-lagi-1.37282#sthash.fNGz99ZP.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan