Daripada Aziman Rosdi di Hanoi-aziman@hmetro.com.my
Hanoi: Empat gol pada babak
pertama membolehkan Harimau Malaya mencipta kebangkitan terhebat dalam Piala
AFF 2014 apabila menewaskan Vietnam 4-2 pada aksi separuh akhir kedua sekali
gus menempah tempat ke final bertemu Thailand dengan agregat 5-4.
Ketika ramai yang meragui
kemampuan skuad kendalian Dollah Salleh untuk menghapuskan badi di Stadium
Nasional My Dinh selepas kekalahan 1-2 pada pertembungan pertama di Shah Alam
Ahad lalu, namun mereka bangkit melenyapkan segala kritikan.
Beraksi di depan 40,000
penyokong tuan rumah dalam cuaca sejuk dengan suhu 17 darjah selsius tidak
menjejaskan permainan Harimau Malaya yang memulakan asakan awal.
Dollah melakukan lima
pertukaran dalam kesebelasan utamanya termasuk memasukkan pemain tengah Mohd
Badhri Radzi dan penjaga gol Mohd Farizal Marlias yang tidak pernah beraksi
sebelum ini.
Gol awal yang amat dicari anak
buah Dollah untuk memadam defisit kekalahan 1-2 pada aksi pertama di Stadium
Shah Alam Ahad lalu hadir apabila pemain veteran Indra Putra Mahayuddin yang
menggantikan Mohd Safee Sali dikasari dalam kotak penalti.
Pemain tengah Safiq Rahim
tenang meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-4 meskipun pengadil dari
Jepun Masaaki Toma mengarahkannya mengambil semula sepakan penalti buat kali
kedua untuk gol keempat sepanjang kejohanan ini.
Harimau Malaya terus garang
kali ini giliran penyerang Norshahrul Idlan Talaha menghukum pertahanan tuan
rumah dengan lambungan bola ke gawang ketika penjaga gol Tran Nguyen Manh
menerpa keluar di minit ke-15.
Ia gol pertama Norshahrul di
pentas antarabangsa sejak Oktober tahun lalu.
Namun Vietnam juara 2008 yang
dibimbing jurulatih Jepun Toshiya Miura merapatkan kedudukan di minit ke-23
hasil sepakan penalti kapten Le Cong Vinh.
Gol itu menjadikan kedudukan agregat
3-3 dan memberi kelebihan buat Vietnam bagaimanapun Malaysia mengganas dengan
dua lagi gol menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan Dinh Tien Thanh pada
minit ke-29 sebelum kapten Shukor Adan yang kembali bersama pasukan kebangsaan
selepas enam tahun meledak gol keempat.
Separuh masa kedua Harimau
Malaya lebih banyak bertahan dan membenarkan pasukan tuan rumah mengasak
sehingga berjaya mendapat gol kedua sekali lagi menerusi penyerang Cong Vinh
pada minit ke-78.
Malaysia berjaya bertahan dalam
baki permainan untuk mara ke final buat kali ketiga selepas muncul naib juara
1996 dan juara 2010 bertemu Thailand di Bangkok pada 17 Disember dan Shah Alam
20 Disember.
Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 11 Disember 2014 @ 10:13 PM
- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/15437#sthash.m7AnENyM.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan