17 Disember 2014 1:00 AM
Kiatisuk
BANGKOK – Tindakan jurulatih
Thailand, Kiatisuk Senamuang (karikatur) tidak menghadiri sidang akhbar
pengurus perlawanan akhir pertama Piala AFF di sini semalam semakin memualkan
pihak media.
Ini bukan kali pertama dia
bertindak sedemikian sebaliknya sejak di peringkat kumpulan di Singapura lagi,
termasuk untuk pertemuan dengan Harimau Malaya dan Singapura.
Tanpa sebarang alasan kukuh
diberikan, Thailand yang diwakili oleh penolongnya Choketawi Promrat enggan
menyatakan sebab mengapa ketuanya tidak mahu tampil dalam sidang akhbar,
seolah-olah mahu bermain psikologi dengan Harimau Malaya.
Malah, Thailand turut
membatalkan latihan terakhir di Stadium Rajamangala pada saat-saat akhir.
Choketawi, demi menyelamatkan
air muka bosnya, hanya memberi jawapan selamat iaitu bekerja dalam sebuah
pasukan, dia hanya mengikut arahan serta menghormati arahan yang diberitahu
oleh Kiatisuk.
“Bersama-sama dalam satu
pasukan, kami di dalam staf kejurulatihan perlu hormat pendirian satu sama
lain (pendirian Kiatisuk tidak hadir ke sidang akhbar),” katanya dalam sidang
akhbar semalam.
Menemani Choketawi ke sidang
akhbar berkenaan adalah penjaga gol Kawin Thamsatchanan yang dijangka bertindak
selaku ketua pasukan.
Choketawi menganggap kekalahan
mereka dalam tiga edisi final sebelum ini tidak memberikan sebarang tekanan dan
mahu menjadikan Harimau Malaya sebagai penamat badi Thailand.
“Bagi mana-mana perlawanan
akhir, peluang adalah 50-50 untuk kedua-dua pasukan dan apa sahajaboleh
terjadi.
“Rekod lalu tidak membuatkan kami
rasa gementar dan kami akan beraksi mengikut cara tersendiri untuk memastikan
Thailand kembali menjadi juara.
“Kami menghormati Malaysia,
namun bermain di hadapan penyokong sendiri, sudah tentu mahu dimanfaatkan
sepenuhnya oleh seluruh pasukan Thailand dengan menampilkan aksi terbaik,”
katanya.
Bagi Kawin, dia mahu menjadikan
pentas final kali ini bagi menebus kembali kekalahan pada edisi 2012 di tangan
Singapura.
“Bukan satu tugas yang mudah
berdepan Singapura, juara tiga kali pada perlawanan akhir yang lalu dan inilah
kesempatan terbaik bagi kami menamatkan penantian sejak sekian lama (kali
terakhir Thailand menang 2002).
“Semangat semua pemain
ternyata begitu berkobar-kobar dan saya nampak kami kali ini amat mahukan
trofi AFF,” katanya.
Selepas mengalahkan Indonesia
pada perlawanan akhir AFF 2002, Thailand kalah dalam tiga penampilan di final
pada 2007, 2008 dan 2012. – UTUSAN
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kiatisuk-bongkak-atau-penakut-1.37291#sthash.9BbHJyF1.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan