Selasa, 2 Disember 2014

Jangan cepat melatah dikritik penyokong

AIZAWATI AHMAD  |  01 Disember 2014 12:41 AM


Indra Putra Mahayuddin (kiri) melepaskan sepakan untuk menjaringkan
Indra Putra Mahayuddin (kiri) melepaskan sepakan untuk menjaringkan
Indra Putra Mahayuddin (kiri) melepaskan sepakan untuk menjaringkan gol ketiga Malaysia ketika menentang Singapura dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Piala AFF 2014 di Stadium Nasional, Singapura kelmarin. Malaysia menang 3-1. – BERNAMA
SEPANG - Indra Putra Mahayuddin tidak menyalahkan pihak yang lantang mengkritik prestasi skuad kebangsaan pada Piala AFF setelah sekadar mencatat keputusan seri menentang Myanmar dalam aksi pembuka tirai dan tunduk kepada Thailand dalam perlawanan kedua Kumpulan A yang berlangsung di Singapura.
Malah, pemain sayap kebangsaan itu tidak mahu mudah melatah kerana dia beranggapan sesiapapun berhak bersuara dan melemparkan kritikan terhadap skuad bimbingan Dollah Salleh tersebut.
“Bagi saya mereka berhak bersuara, apa yang penting kita kena buktikan kemampuan kita, tunjukkanlah di dalam padang. Bagi sesiapa yang hendak bersuara kita terima sebagai cabaran untuk meningkatkan prestasi kita.
“Itu yang penting, jangan kita melatah dengan apa yang mereka pertikaikan,” katanya kepada pemberita sebaik tiba dari Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.
Indra Putra meledakkan gol ketiga Harimau Malaya pada minit terakhir masa kecederaan yang sekali gus menjamin tempat skuad kebangsaan di separuh akhir Piala AFF yang dilangsungkan secara timbal balik.
Malaysia terlebih dahulu menerima kunjungan Vietnam Ahad ini sebelum bertandang ke laman lawan pada 11 Disember.
Ketika ditanya mengenai pertemuan menentang Vietnam, pemain Felda United itu amat mengharap­kan dia dan rakan sepasukannya mampu mempamerkan persembahan yang lebih baik berbanding di Singapura.
“In sya Allah, saya harap de­ngan rakan-rakan sepasukan, kami dapat memberi persembahan yang lebih baik dan semangat yang ditunjukkan perlu ada pada semua. Kemenangan ke atas Singapura memang banyak membantu me­lonjakkan motivasi saya. Sekiranya diberi peluang (bermain) saya akan cuba yang terbaik,” ujarnya.
Mungkin ramai yang tidak menyedari gol yang disempurnakan Indra Putra ketika menentang Singa­pura seolah-olah mengulangi kejayaannya meledakkan gol keempat dan terakhir Malaysia ketika membenam Singapura 4-0 pada Piala AFF 2002 yang turut dilangsungkan di republik itu.
Pemain berusia 33 tahun itu ketika diminta mengulas mengenai perkara itu memberitahu, gol ber­ke­naan adalah rezekinya dan rakan-rakan, namun dia sama sekali tidak menduga akan mengulangi detik tersebut setelah 12 tahun berlalu.
“Cuma ketika menjaringkan gol saya tak rasa gementar kerana apa yang saya fikirkan, penting untuk saya hasilkan gol buat pasukan dan memastikan kita benar-benar dah selamat. Saya rasa mana-mana pemain yang berada pada situasi berkenaan boleh melaksanakan tanggungjawab serupa,” jelasnya dalam nada merendah diri.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jangan-cepat-melatah-dikritik-penyokong-1.31140#sthash.ex4YHya6.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan