Hanya tuah, semangat modal Harimau Malaya – Khalid Ali19 Disember 2014 1:07 AM
KUALA LUMPUR – Legenda bola
sepak negara Khalid Ali menyifatkan hanya tuah dan semangat yang bakal mampu
menjulang semula Harimau Malaya dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF esok,
berbanding Thailand yang diakui jauh lebih baik.
Khalid Ali
Katanya, hakikat ini perlu
diakui berdasarkan persembahan dan keputusan 2-0 yang menyebelahi skuad Gajah
Perang di Stadium Rajamangala, Bangkok, kelmarin walaupun anak buah Dollah
Salleh bakal menjadi tuan rumah di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Skuad Kiatisuk Senamuang itu
juga menang 3-2 dalam perlawanan peringkat awal di Singapura.
“Kita tidak boleh menafikan
Thailand lebih baik daripada kita. Kalau apa-apa pun terjadi di Bukit Jalil
(Malaysia kembali bangkit menang), itu mungkin sebab nasib atau semangat
pasukan kita yang lebih tinggi.
Advertisement
“Di atas kertas pun, kita tiada
peluang dan masalahnya pasukan kita tidak boleh main (fokus) hingga habis
perlawanan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program realiti TV,
‘Mencari Ramli Musim 4’ TM di sini semalam.
Khalid yang turut menjadi
pengulas perlawanan Malaysia dalam Piala AFF dengan sebuah stesen TV swasta,
menegaskan, sesebuah pertandingan antarabangsa memang jauh berbeza dengan Liga
Malaysia.
“Pada peringkat ini, stamina,
kemahiran dan pemikiran pemain kita perlu lebih tinggi. Kalau tiada kriteria
ini, kita akan terus ketinggalan dengan lawan,” kata anggota skuad juara
pusingan Kelayakan Olimpik Moscow 1980 itu.
Advertisement
Namun Khalid tidak menafikan
bahawa sumbangan pemain veteran seperti Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin,
Mohd. Badhri Radzi dan Amri Yahyah masih bernilai buat skuad negara seperti
mana ketika bangkit membenam Singapura 3-1 (Kumpulan B) dan Vietnam 4-2
(separuh akhir kedua).
“Usia bukan penghalang untuk
mewakili pasukan negara. Selagi mereka boleh berikan yang terbaik kepada negara
walaupun hanya dalam satu kejohanan, itu tetap bernilai,” katanya.
Sementara itu, ‘Mencari Ramli
Musim 4’ yang akan disiarkan TV3 pada Jun tahun depan bakal membawa kelainan
dalam memilih 12 pemain remaja terbaik antara 13 hingga 16 tahun menerusi uji
bakat di 16 lokasi di seluruh negara mulai bulan depan.
Naib Presiden Jenama dan
Komunikasi Kumpulan TM, Izlyn Ramli berkata, mereka yang terpilih akan dibawa
berlatih selama lima hari di Sekolah Bola Sepak Manchester United dan
menyaksikan secara langsung perlawanan kelab England itu di Old Trafford.
“Salah seorang pemenang musim
ketiga lalu, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau turut terpilih mewakili Malaysia ke
Pusingan Akhir Cabaran Kemahiran Dunia di Manchester bulan lalu.
“Selain Khalid, mentor mereka
musim ini ialah Zolkifli Ahmad, Salleh Mohd. Noor dan Asmawi Bakiri. Program
realiti 14 episod ini turut mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran dan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan