Saiful Affendy Sapran dan Ferzalfie Fauzi-sukan@hmetro.com.my
Sepang: Beraksi buat pertama
kali di Piala AFF 2014 kelmarin ternyata memberi tekanan buat ketua pasukan
Kelantan, Mohd Badhri Radzi namun tetap berpuas hati kerana berjaya membantu
skuad Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir bertemu Thailand 17 dan 20
Disember ini.
Menurutnya, walaupun baru kali
pertama diturunkan jurulatih Dollah Salleh setidak-tidaknya dia membuktikan
kehadirannya memberi impak apabila Malaysia bangkit dari kekalahan separuh
akhir kedua 1-2 dengan mencatat kemenangan 4-2 (agregat 5-4).
“Saya mengakui tanggungjawab
ini sangat besar terutama untuk mengatasi kelebihan pasukan lawan,” katanya
ketika skuad kebangsaan pulang dari Hanoi di Lapangan Terbang Antarabangsa
Sepang (KLIA) semalam.
Jelasnya, sebelum turun beraksi
dia berasa tanggungjawab yang dipikulnya amat besar dan penuh risiko terutama
untuk membantu pasukan bangkit seterusnya mara ke perlawanan akhir.
“Saya akui ada sedikit tekanan
untuk menghadapi perlawanan itu. Kalau ikutkan, peluang yang diberikan
jurulatih menjadi sesuatu yang cukup baik.
“Walaupun ini perlawanan
pertama, saya puas hati kerana berjaya melakukan hantaran untuk membantu
pasukan mendapatkan jaringan,” katanya.
Pemain yang terkenal dengan
nama timangan, Piya itu mengakui belum puas dalam memberikan sumbangan kepada
pasukan kebangsaan.
“Seterusnya saya harap dapat
beraksi pula dalam perlawanan akhir dan membantu Harimau Malaya merampas semula
kejuaraan ini,” katanya.
Tambahnya, dia tidak kisah
siapa yang akan diturunkan menjelang aksi akhir nanti, kerana setiap pemain
sudah pasti akan memberikan persembahan terbaik.
“Keyakinan sudah ada tapi saya
perlukan lebih banyak peluang untuk mempertingkatkannya di pentas antarabangsa.
Kalau terus diberi peluang, saya akan cuba beri yang terbaik,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:13 AM
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/15884#sthash.zcuxoSbK.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan