Oleh Azlan Muhammad Zainazlanmz@hmetro.com.my
Kuala Lumpur:
Sekurang-kurangnya bekalan dua gol tanpa bolos perlu diterjemahkan skuad negara
apabila turun menentang Vietnam pada separuh akhir pertama Piala AFF Ahad ini.
Itu nasihat bekas pemain negara
Lim Teong Kim kepada anak buah Dollah Salleh seandainya mahu melangkah ke final
saingan serantau itu.
“Bagi saya kemenangan 2-0
selesa dan sudah sebelah kaki ke final. Jika mampu menang 3-0 lebih baik.
“Namun jangan sesekali lawan
menjaringkan gol walaupun satu. Jika itu berlaku, keadaan pasti sukar buat
skuad negara untuk menghadapi separuh akhir kedua,” katanya yang juga bekas
jurulatih skuad remaja kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.
Skuad negara pernah menentang
Vietnam pada separuh akhir Piala AFF 2010 dengan Harimau Malaya menang 2-0 pada
aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum terikat tanpa jaringan
untuk aksi timbal balik di tempat lawan.
“Pemain perlu manfaatkan
kelebihan bermain di tempat sendiri. Gunakan sebaik mungkin dengan mempamerkan
kerjasama sepasukan dan semangat juang tinggi.
“Pemain perlu berani menyerang
dan pada masa sama tahu memainkan peranan ketika bertahan kerana lawan
mempunyai corak permainan pantas,” katanya.
Malaysia layak ke separuh akhir
Piala AFF selaku naib juara Kumpulan B selepas menyingkirkan juara bertahan
Singapura untuk mengiringi Thailand sebagai empat pasukan terakhir.
Vietnam pula muncul juara
Kumpulan A mengatasi cabaran Filipina, Indonesia dan Laos.
Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 4 Disember 2014 @ 7:42 AM
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/13801#sthash.QAl0jUcl.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan