MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 01 Disember 2014 12:41 AM
Pemain-pemain Malaysia meraikan
gol ketiga mereka yang dijaringkan
Pemain-pemain Malaysia meraikan
gol ketiga mereka yang dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin dalam perlawanan
menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapura kelmarin. – UTUSAN/Abdul
Razak Latif
SINGAPURA – Meresahkan pada
permulaan namun di penghujungnya berakhir dengan cerita menggembirakan pada
saingan Kumpulan B Piala AFF 2014.
Walaupun dihujani pelbagai
kritikan pedas selepas dua perlawanan berdepan Myanmar dan Thailand, Dollah
Salleh ternyata ada magisnya yang tersendiri untuk membawa Harimau Malaya ke
separuh akhir Piala AFF edisi ke-10.
Siapa sangka ketika permainan
sudah memasuki masa kecederaan dan Singapura semakin hampir ke gerbang separuh
akhir, sepakan penalti yang diterima mengubah segala perjalanan cerita Harimau
Malaysia.
Safiq Rahim tenang
menyempurnakan sepakan berkenaan sebelum Indra Putra Mahyuddin menyempurnakan
memori indah buat 1,000 penyokong negara yang hadir di Stadium Nasional,
Kallang dan 27 juta rakyat Malaysia.
Kejayaan layak ke separuh akhir
bagaimanapun tidak wajar membuatkan anak-anak buah Dollah berasa terlalu yakin
sebelum menghadapi Vietnam pada aksi timbal balik pertama, pada Ahad ini di
Stadium Shah Alam.
Masih ada satu perkara yang
wajar dibimbangkan iaitu siapakah boleh menggantikan tempat Shukor Adan dan
Mohd. Amri Yahyah yang digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning
kedua dalam usaha mencari bekalan selesa ke Hanoi.
Jika S. Kunanlan sempat cergas
sebelum perlawanan pada 7 Disember ini, dia mungkin menjadi jawapan terbaik
kepada kehilangan Amri di posisi sayap kiri.
Cuma apa yang merisaukan ialah
siapakah calon terbaik untuk digandingkan bersama Mohd.Muslim Ahmad di bahagian
pertahanan sama ada Afif Amirudin atau Mohd.Fadhli Shas.
Daripada aspek permainan, Safiq
Rahim dan Gary Steven Robbat terus wajar diberikan peranan di bahagian tengah
dengan apa yang mereka tunjukkan ketika berdepan Singapura.
Mereka menjadi jawapan terbaik
kepada Dollah selepas aksi Myanmar dan Thailand, bahagian tengah menjadi posisi
paling membimbangkan.
Selain itu, prestasi Norshahrul
Idlan Talaha belum berada di tahap terbaik dan graf prestasinya ketika berdepan
Singapura menampakkan sedikit peningkatan namun masih belum membuatkan Dollah
berpuas hati seperti mana Safee Sali.
Di gawang negara, Khairul Fahmi
Che Mat wajar dikekalkan selaku penjaga gol nombor satu melalui aksi cemerlang
ditampilkan dalam ketiga-tiga perlawanan.
Bertemu Vietnam yang serba
pantas permainannya, Dollah wajar mempertingkatkan tempo permainan anak-anak
buahnya jika mahu memasang impian ke final Piala AFF.
Tiada yang mustahil buat
Harimau Malaya untuk mengejutkan Vietnam yang diletakkan salah satu pasukan
pilihan selain Thailand dalam Piala AFF kali ini.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ibarat-kisah-cinderella-1.31146#sthash.NLNozneN.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan