Jumaat, 12 Disember 2014

Safee sindir pengkritik Harimau

AIZAWATI AHMAD  |  13 Disember 2014 1:28 AM

KUALA LUMPUR 06 DISEMBER 2014 - Safee Sali pada sesi latihan bersama
KUALA LUMPUR 06 DISEMBER 2014 - Safee Sali pada sesi latihan bersama
KUALA LUMPUR - Seperti kata pepatah Melayu ‘memulang paku buah keras’, itulah yang dilakukan penyerang kebangsaan, Safee Sali bagi menjawab kritikan segelintir penyokong terhadap dirinya dan juga skuad kebangsaan setelah Harimau Malaya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala AFF.
Nampaknya pemain berusia 31 tahun itu tidak menunggu masa lama untuk membalas segala kritikan dan tohmahan yang dilemparkan apabila dia menggunakan Twitter bagi meluahkan segala yang terbuku dalam dadanya selama ini.
Menerusi laman sosial tersebut Safee mengucapkan syukur kepada Ilahi di atas kejayaan skuad bimbingan Dollah Salleh yang berjaya menewaskan Vietnam 4-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Hanoi kelmarin yang sekali gus mengesahkan tempat mereka ke perlawanan akhir Piala AFF untuk bertemu Thailand.
“Syukur ku panjat kepada Ilahi...Alhamdulillah..semua pengorbanan berhasil dengan bangganya. Semua cacian dan makian yang dilemparkan tak pernah masuk ke dalam hati ini.
“Perjuangan ini bukan hanya dengan bermain guli, tapi dengan semangat cintakan keluarga pasukan (skuad Malaysia) ini dan demi maruah negara,” katanya.
Pemain yang menyarung jersi No. 10 itu turut memuji penyokong Vietnam yang mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dan tidak mudah melatah sekalipun skuad kebangsaan mereka kecundang di tangan Malaysia.
“Penyokong pasukan Vietnam bagus sekali... walaupun kalah tak ada bertumbuk, malah bertepuk tangan dekat kita orang lagi,” ujarnya.
Safee turut menyindir penyokong Malaysia yang pernah dicadangkannya sebelum ini agar menukar bendera negara, jika tidak boleh menerima sebarang kekalahan yang menimpa skuad kebangsaan.
“Kepada penyokong yang dah tukar bendera lepas kena sound (tegur) hari itu, jangan tutup muka tu dengan bantal okay...lap (sapu) je muka tu dengan tisu,” katanya.
Sepanjang Piala AFF berlangsung sejak dari peringkat kumpulan di Singapura lagi, tercetus ‘perang’ dalam media sosial antara Safee dan segelintir penyokong skuad kebangsaan yang kurang berpuas hati dengan persembahan Harimau Malaya.
Ekoran tidak tahan dengan kritikan demi kritikan yang dilemparkan, Safee telah bertindak membalas segala penghinaan yang sekali gus membangkitkan suasana kurang harmoni antara penyerang itu dengan penyokong.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safee-sindir-pengkritik-harimau-1.35766#sthash.Aol5KqQE.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan