ARKIB : 17/11/2012
Zainal Abidin kapten ampuh
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
ZAINAL Abidin kini seronok
dengan karier barunya sebagai pemilik kedai makan Lagenda 17 yang bertempat di
Seksyen 13 Shah Alam.
SEBUT sahaja Zainal Abidin
Hassan pasti peminat bola sepak tanah air tidak akan melupakan perwatakannya
sebagai pertahanan mantap dan sinonim dengan nombor jersi 17 yang digunakannya
baik bersama pasukan kebangsaan, Selangor mahupun Pahang.
No. 17 memberi makna istimewa
buat insan ini, kerana dia membuat penampilan sulungnya bersama skuad
kebangsaan pada usia 17 tahun dalam Pestabola Merdeka 1980.
Namun, daya kepimpinan Zainal
Abidin ketika membawa Malaysia mara ke final Piala Tiger 1996 detik paling
dikenang peminat bola sepak tanah air.
Elok rasanya kita mengimbau
mengenai kekentalan kapten ampuh ini, tatkala Piala Tiger, kini dikenali
sebagai Piala Suzuki AFF akan bermula Ahad depan.
Zainal Abidin yang ketika itu
mewakili pasukan Pahang dalam saingan Liga Malaysia kembali menjulang nama
Harimau Malaya selepas aksi kurang memberangsangkan di Sukan SEA 1993 Singapura
dan 1995 Chiang Mai.
Pengalaman selaku pemain senior
digunakan sebaiknya oleh Zainal Abidin yang mula mencipta nama sejak era 80-an
dan awal 90-an bersama pasukan negeri kelahirannya.
Sebagai seorang pemain senior
dalam skuad 1996, dia dihormati kerana pernah beraksi dengan legenda bola sepak
tanah air seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Mendiang R. Arumugam dan Soh Chin
Aun.
Selain Zainal Abidin antara
pemain senior lain yang berada dalam skuad tersebut ialah Khairul Azman Mohamad
(penjaga gol) dan Dollah Salleh, manakala tugas jurulatih dipikul Wan Jamak Wan
Hassan.
Tahap kemahiran dan pengalaman
yang dimilikiZainal Abidin membolehkan skuad kebangsaan muncul naib juara peringkat
kumpulan di belakang Thailand. Edisi pertama Piala Tiger itu menyaksikan
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Singapura, Brunei dan
Filipina.
Perlawanan pertama menyaksikan
Malaysia menentang Singapura, yang berkesudahan kita mengikat tuan rumah 1-1 di
hadapan 7,000 penyokong di Stadium Nasional, Kallang.
Aksi kedua memperlihatkan
ketajaman jentera serangan Malaysia yang membelasah Filipina 7-0, namun paling
mencuri tumpuan ialah perlawanan ketiga di antara Malaysia dan Thailand yang pada
awalnya lagi dijangka sengit.
Selaku ketua pasukan Zainal
Abidin menunjukkan kredibiliti dengan berjaya menghalang Thailand daripada
mencatat kemenangan, malah dia berjaya menafikan jaringan pendahuluan Kiatisuk
Senamuang pada minit ke-28 dengan menjaringkan gol penyamaan di minit ke-59.
"Zainal adalah tonggak
yang amat penting, dia pemain paling senior dan beraksi di posisi pertahanan
tengah. Saya rasa jika tidak ada dia ketika itu memang kita sukar untuk
menyekat asakan menggila lawan terutamanya Thailand," kata Khairul Azman,
mengimbau detik 16 tahun lalu.
Malaysia seterusnya menempah
tempat ke separuh akhir kejohanan apabila melengkapkan jadual peringkat
kumpulan dengan mencatat kemenangan kedua membelasah Brunei 6-0.
"Dia sentiasa bagi
semangat kepada pemain lain terutama pemain muda dan mereka sangat
menghormatinya serta mendengar segala arahan yang diberikan, akhirnya kami
mampu mara ke peringkat separuh akhir dan akhir kejohanan tersebut," jelas
bekas penjaga gol Pahang dan Sabah itu.
Bertemu musuh tradisi,
Indonesia dalam saingan separuh akhir adalah cabaran berat buat Malaysia namun
berkat kerjasama yang dipamerkan oleh pemain muda bersama pemain senior mereka
mencatat kemenangan 3-1.
"Ada beberapa tonggak
utama dalam skuad kebangsaan ketika itu, salah seorang daripadanya adalah
Zainal Abidin. Persefahaman antara pemain tonggak dan pemain lain ketika itu
sangat bagus sekali.
"Kami sudah bersama
sepanjang lima tahun, jadi semua orang tahu peranan masing-masing. Pemain
tengah tahu jenis hantaran mana yang penyerang mahukan, begitu juga di posisi
lain," kata Anuar Abu Bakar yang beraksi di posisi serangan pada ketika
itu.
Bagaimanapun bertemu Thailand
di peringkat akhir nasib skuad Harimau Malaya kurang baik apabila tewas tipis
1-0 juga melalui jaringan Kiatisuk seawal minit kesembilan. namun mara ke
peringkat tersebut boleh dianggap satu pencapaian membanggakan.
Zainal Abidin akan terus
diingati sebagai seorang ketua pasukan dan tonggak yang berjaya membawa
Malaysia ke peringkat akhir.
Lebih menarik kehandalan dan
prestasi luar biasa yang dipamerkan Zainal Abidin, membolehkannya menerima
anugerah sebagai pemain paling bernilai dalam kejohanan tersebut. Tiga tahun
selepas itu namanya berada dalam senarai Kelab Seabad Konfederasi Bola Sepak
Asia (AFC).
Selain pasukan bola sepak
kebangsaan, Zainal Abidin juga pernah menabur bakti bersama pasukan futsal
negara dan mengambil bahagian di Kejohanan Futsal Dunia FIFA 1996 Sepanyol.
Dia bersara dalam sukan bola
sepak pada 1999 dan dipilih untuk menjadi jurulatih skuad remaja pada 2001.Setahun selepas itu dia menjadi
penolong jurulatih skuad kebangsaan dan membantu jurulatih kelahiran England,
Allan Harris .
Dia kemudiannya melatih pasukan
Pahang dan berjaya menjulang trofi Liga Super pertama.Pada 2006 dia menjulang Pahang
untuk memenangi Piala FA dan selepas kontraknya tamat dia bergabung dengan
rakan baiknya, Dollah untuk mengemudi Shahzan Muda FC sebelum kedua-dua mereka
kembali ke Pahang dan tugasnya sebagai pengurus pasukan sehingga sekarang.
Perkara lain yang menarik
tentang Zainal Abidin ialah anak lelakinya Zaiza Zainal Abidin turut bermain
bola sepak di posisi pertahanan dan sekarang mewakili Pahang.
Kini, dia turut mencuba nasib
dengan membuka restoran yang diberi nama Legenda 17 di Shah Alam. Sememangnya
Zainal Abidin dan No. 17 terlalu sinonim hingga tidak boleh dipisahkan.
Sumber-
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana_Sukan/20121117/rs_01/Zainal-Abidin-kapten-ampuh#ixzz3KdLUohxm©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan