Skuad Olimpik 1980: Generasi emas bola sepak Malaysia
SKUAD Olimpik 1980 negara yang mencatat sejarah layak ke sukan berprestij itu. MINGGUAN/AZMAN ASMAYATIM
KU SYAFIQ KU FOZI
31 Mac 2019 3:00 AM
Olimpik Moscow. Itu kali kedua pasukan bola sepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik. Kali pertama, pasukan negara beraksi penuh megah di Munich, Jerman (ketika itu Jerman Barat) pada 1972 walaupun terkandas di peringkat kumpulan.
Misi layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 penuh emosi dan sentimen. Empat tahun sebelum itu, misi layak ke Sukan Olimpik Montreal gagal apabila Malaysia tewas kepada Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Malaysia hanya perlu seri dengan Indonesia untuk menempah tempat ke perlawanan akhir menentang Korea Utara namun sorakan gamat 100,000 penyokong Indonesia di Stadium Gelora Senayan terlalu gagah untuk ditumbangkan. Malaysia tewas 2-1 dan Indonesia layak ke perlawanan akhir sebelum tewas dengan Korea Utara.
Malaysia membariskan pasukan terkuatnya untuk menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980 walaupun tiada kelibat bintang utama negara, Mokhtar Dahari. Mokhtar ketika itu bersara sementara daripada pasukan kebangsaan.
Berbeza dengan hari ini, pasukan Malaysia ketika itu dibarisi pemain daripada pelbagai kaum. Diketuai Soh Chin Aun, maruah Malaysia ketika itu turut digalas beberapa bintang seperti Santokh Singh, R. Arumugam, James Wong, Hassan Sani dan Bakri Ibni .
Mingguan Malaysia 6 April 1980 memaparkan gambar kesemua 11 pemain utama Malaysia dan Korea Selatan. Akhbar itu turut mendapatkan ramalan pengurus dan jurulatih negara-negara yang bertanding dan kebanyakannya menilik Malaysia akan menang berdasarkan prestasi pasukan yang cemerlang di peringkat kumpulan.
Ramalan-ramalan itu benar belaka. Malaysia menundukkan Korea Selatan dengan jaringan 2-1. Seluruh Malaysia berpesta meraikan kejayaan itu.
Pasti ramai yang pernah menonton rakaman jaringan akhir James ketika perlawanan akhir kelayakan menentang Korea Selatan. Ulasan bertenaga Zulkarnain Hassan yang ikonik mengiringi kepantasan larian Hassan yang menewaskan dua pertahanan Korea Selatan sebelum bola dilorongkan ke kaki James.
“Dapat kepada Hassan....masih lagi Hassan....cucuk Hassan!” ulas Zulkarnain dengan penuh teruja.
Dalam detik yang getir dan mendebarkan itu, bukan mudah untuk menjadi James. Gemuruh boleh memerangkapnya bila-bila masa kerana ketika itu kedudukan terikat 1-1.
Di hadapan James ada dua pemain Korea Selatan, seorang pertahanan dan seorang penjaga gol. Ketenangannya mendebarkan penonton, namun James tahu apa yang dia sedang lakukan.
Dia tidak terus menyepak ke arah gol sebaliknya membuat gelecekan yang mengelirukan kedua-dua pertahanan dan penjaga gol Korea Selatan. Gawang sebelah kirinya terbuka luas dan dengan tenang, James melorong bola memasuki gawang.
Seluruh Stadium Merdeka bergema dengan sorakan. Zulkarnain menjerit di bilik pengulas.
“Gol!... Gol....” Zulkarnain terdiam. Detik membanggakan itu dinikmati sepenuhnya. Di tengah padang, pemain Malaysia berpelukan. Sinar obor Olimpik mula kelihatan dalam minda. Alhamdulillah, sejarah 1972 berulang.
Namun, langit tidak selalunya cerah. Obor juga boleh terpadam. Harapan pasukan Malaysia dirobek keputusan kerajaan untuk memboikot Sukan Olimpik Moscow kerana membantah pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan. Walaupun sudah layak, Malaysia gagal beraksi di Sukan Olimpik.
Tempat Malaysia diambil alih pasukan Iraq. Pingat emas temasya itu dirangkul pasukan Czechoslovakia manakala Jerman Timur meraih perak dan pasukan tuan rumah, Kesatuan Soviet berpuas hati dengan gangsa.
Untuk mengubati duka, kerajaan menyediakan program gantian untuk skuad Malaysia. Mereka diterbangkan ke Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah untuk mengikuti latihan serta perlawanan persahabatan.
Skuad kelayakan Sukan Olimpik 1980 boleh dianggap sebagai generasi emas bola sepak negara. Tanpa umpan gaji mewah, mereka tetap menumpahkan seluruh usaha dan semangat untuk menjulang nama negara. Perbezaan bangsa dan agama juga tidak menjadi halangan.
Pujian perlu diberikan kepada arkitek kejayaan negara pada masa itu, mendiang Karl Heinz Weigang. Dikenali sebagai seorang yang teliti dan tegas, strategi latihan jurulatih dari Jerman itu menghasilkan keputusan yang menakjubkan.
Kisah manis itu diabadikan dalam filem Ola Bola (2016). Walaupun tidak sepenuhnya tepat, kisah kejayaan pasukan negara layak ke Sukan Olimpik seperti yang ditampilkan dalam filem itu berjaya menghidupkan kembali memori dan memberi inspirasi kepada ramai lagi anak muda untuk mengulangi kejayaan silam.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/80-tahun-utusan/sejarah-utusan/skuad-olimpik-1980-generasi-emas-bola-sepak-malaysia-1.873182#ixzz5jhsYyauH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan