Rabu, 27 Mac 2019

Gagal buat penamat perjuangan

PEMAIN Malaysia memberi penghormatan kepada penonton di Stadium Shah Alam selepas tamat perlawanan menentang China malam tadi. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
27 Mac 2019 1:22 PM

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kegagalan Malaysia melayakkan diri ke Kejuaraan AFC bawah 23 (B-23) 2020 bukan penamat segala-galanya.

Malah, keputusan itu tidak menggambarkan prestasi keseluruhan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee yang tidak kalah dalam semua tiga perlawanan kelayakan Kumpulan J.


Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pujian wajar diberikan kepada pasukan muda negara, terutama ketika mengikat China 2-2 dalam aksi terakhir malam tadi.

Keputusan seri menyebabkan Malaysia gagal menjuarai Kumpulan J, sekali gus terlepas tiket automatik ke pusingan akhir di Bangkok, tahun depan.

Beberapa jam selepas perlawanan, Malaysia disahkan gagal menempatkan diri dalam kalangan empat naib juara terbaik, sekali gus turut terlepas peluang mencari tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

"Skuad kebangsaan mempamerkan corak permainan yang baik dengan semangat juang tinggi.

"Kejayaan pasukan kadangkala tidak boleh diukur dengan kalah atau menang sebaliknya menerusi prestasi dan corak permainan yang ini saya anggap boleh dipuji kerana mampu beri saingan," kata Hamidin dalam satu kenyataan hari ini.

Turut menonton perlawanan di Stadium Shah Alam itu adalah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul dan pemangku presiden Persatuan Bola Sepak China (CFA) yang juga Menteri Sukan China, Du Zhaocai.

Kegagalan meraih tiket ke pusingan akhir cukup mengecewakan Malaysia yang sebelum ini melakar kejayaan cemerlang mara ke suku akhir dalam penampilan sulung di China, tahun lalu.

Pasukan negara juga menewaskan Filipina 3-0 dan Laos 1-0 dalam dua final perlawanan pertama mereka. - UTUSAN ONLINE



SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/gagal-buat-penamat-perjuangan-1.870662#ixzz5jMMQ6u6b
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan