Rabu, 30 Jun 2021

Gol Supermokh diiktiraf Fifa

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Mokhtar cukup digeruni ketika eranya. FOTO File NSTP

Kuala Lumpur: "Tiap-tiap pemain harus mempunyai semangat yang tinggi dan harus memikirkan yang mereka ini mewakili negara dan sekiranya apa terjadi nama negara akan terjejas".

Itu antara nasihat dan pesanan yang pernah ditinggal legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari buat pemain-pemain kebangsaan agar sentiasa menyematkan semangat cintakan negara setiap kali menyarung jersi Malaysia.

Mokhtar antara penyerang terbaik di Asia menitipkan pesanan itu menerusi satu rakaman video pada tahun 1987 yang kini kembali tular di media sosial.

Menerusi video selama 30 saat itu, Allahyarham berkongsi tips bagaimana beliau berjaya memberikan aksi terbaik setiap kali turun beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Katanya, semangat dan keinginan tinggi untuk mengharumkan negara adalah penyebab mengapa beliau sering berjaya mengatasi pertahanan lawan sekali gus menjaringkan gol.

"Tiap tiap pemain harus mempunyai semangat yang tinggi dan harus memikirkan yang mereka ini mewakili negara dan sekiranya apa terjadi nama negara akan terjejas"

"Dan saya rasa dengan semangat itu lah, dan berpegang pada pedoman itu, maka saya selalu dapat mengatasi pihak-pihak lawan saya," katanya.

Lantas, nasihat berkenaan boleh dijadikan panduan buat pemain-pemain negara ketika ini yang dikritik hebat sebelum ini ekoran aksi longlai di kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mei lalu.

Pasukan negara bimbingan Tan Cheng Hoe sekadar menamatkan aksi kelayakan di tempat ketiga Kumpulan G di belakang UAE dan Vietnam.

Untuk rekod, Mokhtar atau turut dikenali dengan gelaran Super Mokh muncul antara tiga penjaring terbanyak sepanjang zaman dan ia diiktiraf Fifa.Badan induk dunia itu mengesahkan Mokhtar meledak 89 gol antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya sepanjang kariernya dari 1972-1985.

Berdasarkan rekod terbabit, Mokhtar berjaya memintas pencapaian legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas yang menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan.Pendahulu senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kini dikongsi pemain Iran, Ali Daei dan Cristiano Ronaldo dari Portugal yang meledak 109 gol.

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 7:44pm.1

_______________________________________

Selasa, 29 Jun 2021

Safawi terima ‘layanan terbaik’ di JDT



SAFAWI RASID

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

28 Jun 2021, 9:49 pm

JOHOR BAHRU: Prestasi hambar Safawi Rasid yang dilihat bergelut untuk mempamerkan aksi terbaiknya terus menjadi perdebatan antara kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad kebangsaan.

Pengarah Teknikal Kelab JDT, Alistair Edwards menjelaskan. bahawa Safawi telah menunjukkan kemajuan yang baik susulan kecederaan yang dialami sebelum meninggalkan kelab untuk tugasan antarabangsa.

Itu sekali gus menyangkal dakwaan bekas pemain antarabangsa, Datuk Jamal Nasir dan pemerhati bola sepak, Zakaria Rahim bahawa JDT perlu bertanggungjawab atas aksi hambar Safawi pada masa ini.

Jelasnya, untuk rekod, penyerang kelahiran Terengganu itu mengalami kecederaan pada 13 Mac lalu dan hanya kembali ke kesebelasan utama pada 16 April lalu.

Walaupun masih dalam proses pemulihan hingga ke tahap sepenuhnya, Safawi telah melakukan lima permulaan, tiga kali beraksi dari bangku simpanan dan menjaringkan dau gol dalam 364 minit sebelum ‘international break’.

Untuk mengatakan intensiti latihan adalah tanggungjawab kelab sepenuhnya tidak tepat kerana pemain menjalani kem latihan yang panjang bersama skuad kebangsaan kerana pemain berada di sana dari 16 Mei hingga 16 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Alistair lagi, perjalanan pemulihan untuk kembali ke intensiti tinggi buat Safawi masih lagi berjalan sebelum ‘international break’.

Katanya, penyerang berusia 24 tahun itu hanya kembali ke JDT seminggu sebelum Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila dia terbang terus ke Thailand dari Emiriah Arab Bersatu.

Kelab ini akan membimbing Safawi kembali pulih sepenuhnya, sedia untuk bola sepak intensiti tinggi dan membina semula tahap keyakinan beliau dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

Seblum ini, pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menuding jari terhadap skuad kebangsaan yang melakukan latihan berintensiti rendah menjadi punca ayam tambatannya itu hilang taring.

Biarpun dikritik hebat banyak pihak selepas bergelut untuk memberikan persembahan yang terbaik, Tunku Ismail tetap mempertahankan Safawi dan menjelaskan JDT dalam proses membantu memperbaiki prestasi pemain kelahiran Terengganu itu.

Belum pulih 100 peratus daripada kecederaan, jurulatih (Tan Cheng Hoe) mengambilnya untuk sertai Harimau Malaya. Kesan daripada latihan intensiti rendah, Sampai sekarang prestainya masih menurun.

Sekarang kami kena perbaiki dia macam kami kena bantu setiap pemain menyertai pasukan kebangsaan bagi menjalani latihan pusat macam pergi makan angin,” kata Tunku Ismail.1

______________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/06/safawi-terima-layanan-terbaik-di-jdt/

FIFA iktiraf 89 gol Mokhtar

Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 29, 2021 @ 4:51pm

zulfaizan@bh.com.my



FIFA sahkan 89 gol dijaringkan Mokhtar sepanjang mewakili Malaysia.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya mengesahkan legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari meledak 89 gol antarabangsa bersama skuad kebangsaan sepanjang kariernya.

Pengesahan itu muncul selepas badan induk bola sepak dunia itu mengeluarkan senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman di laman Twitter mereka, hari ini.

Perkembangan itu turut menyaksikan Mokhtar yang lebih dikenali sebagai 'Supermokh' berada dalam kelompok tiga pemain teratas senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman.

Jumlah sebenar jaringan gol antarabangsa yang di ledak Mokhtar sebelum ini menjadi perdebatan apabila ada yang mendakwa dia meledak 86 gol daripada 131 penampilan bersama skuad kebangsaan.

Malah, terdapat juga laporan sebelum ini yang memetik beberapa sumber statistik bahawa Mokhtar menjaringkan 85 gol buat Harimau Malaya sepanjang kariernya.

Berdasarkan laporan BH Sukan, minggu lalu, beberapa statistik yang melaporkan mengenai jumlah jaringan gol antarabangsa, Mokhtar meledak 89 gol dalam 142 penampilan bersama skuad kebangsaan.

Pencapaian 89 gol itu dikatakan dilakar sehingga tahun 1991 sebelum Mokhtar menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun itu.

Berdasarkan rekod terbabit, Mokhtar berjaya memintas pencapaian legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas yang menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan.

Pendahulu senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kini dikongsi pemain Iran, Ali Daei dan Cristiano Ronaldo dari Portugal yang meledak 109 gol.

Senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman:

1. Ali Daei (Iran), Cristiano Ronaldo 109 gol

2. Mokhtar Dahari (Malaysia) 89 gol

3. Ferenc Puskas (Hungary) 84 gol

4. Godfrey Chitalu (Zambia) 79 gol

5. Hussein Saeed (Iraq) 78 gol

6. Pele (Brazil) 77 gol

7. Ali Mabkhout (Emiriah Arab Bersatu) 76 gol

8. Sandor Kocsis (Hungary), Kunishige Kamamoto (Jepun), Bashar Abdullah (Kuwait), Lionel Messi (Argentina) 75 gol.1

____________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833597/fifa-iktiraf-89-gol-mokhtar

Isnin, 28 Jun 2021

LUQMAN Hakim Shamsudin diturunkan di hujung permainan ketika menentang UAE.

Oleh ROZAIDI ZULKIFLI

6 Jun 2021, 1:00 pm



PETALING JAYA: Luqman Hakim Shamsudin langsung tidak tergugat selepas turut terpalit dengan kecaman peminat gara-gara kekalahan 0-4 Harimau Malaya kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan.

Dibawa masuk sebagai gantian di hujung permainan, tidak banyak dapat dilakukan penyerang remaja KV Kortrijk itu untuk membantu Harimau Malaya yang tumbang pada aksi keenam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Kata Luqman, 19, dia tidak kisah untuk berkongsi kritikan biarpun hanya masuk dalam beberapa minit terakhir kerana kekalahan Malaysia harus dipikul oleh seluruh pasukan.

Kita satu pasukan, kalah menang sama-sama. Siapa yang diturunkan jurulatih, perlu yakin dengan pasukan sendiri.

Tidak perlu kata dia ini tidak patut bermain, benda seperti itu tak patut ada. Bola sepak sukan berpasukan yang ada 11 pemain bukan macam skuasy atau badminton.

Kalau tidak yakin, macam mana nak main bola. Perkara penting adalah percaya dan yakin dengan rakan sepasukan kalau tiada semangat tidak boleh pergi mana (mara lebih jauh),” katanya semalam.

Penampilan pertama ­Luqman bersama skuad se­nior bukanlah satu kenangan yang manis buat dirinya apabila berdepan tiga kekalahan berturut-turut.

Malaysia tewas dalam dua aksi persahabatan kepada Kuwait 4-1, Bahrain (2-0), sebelum dibelasah UAE.

Bila kalah 4-0 itu diambil sebagai pengajaran. Perlawanan akan datang saya tidak gentar. Kami lebih bersema­ngat untuk baiki kesilapan,” katanya.1

_______________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/06/luqman-tenang-baru-main-sudah-kena-kecam/?utm_source=dable

Luqie makin disayangi di Kortrijk



AKSI Luqman Hakim Shamsudin ketika diturunkan dalam perlawanan persahabatan.

Oleh THAQIB SHAKER

28 Jun 2021, 2:00 pm

PETALING JAYA: Biarpun tidak banyak beraksi dalam liga utama bersama KV Kortrijk, penyerang remaja Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin makin mendapat tempat di hati peminat bola sepak kelab Belgium itu ekoran aksi cemerlang ditampilkan dalam beberapa perlawanan persahabatan.

Rabu lalu, Luqman yang dimasukkan sebagai pemain gantian berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan pasukan KRC Harelbeke untuk membantu pasukannya melakar kemenangan besar 5-0.

Jaringan terakhir terhasil apabila Luqman dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-86 untuk menghadiahkan penalti buat Kortrijk.

Kami sangat teruja Luqman menyertai kelab kami.

Dia pemain muda yang memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan di sini. Pemain di sini lebih sukar dari sudut teknikal,” kata Maxim de jode yang turut juga admin media sosial peminat Kortrijk, Kvkortrijkfans kepada Utusan Malaysia.

De Jode, 21, yang menyaksikan latihan Luqman setiap hari kerana tempat kerjanya Sportfacility terletak bersebelahan dengan stadium mengakui, Luqman, 19, sangat terkenal di Kortrijk kerana penangan penyokong Malaysia yang aktif di media sosial.

Ketika dia masuk sebagai pemain gantian menentang KRC Harelbeke, dia telah mempamer permainan luar biasa sehingga peminat mula menyanyikan lagu untuknya,” katanya.

Luqman turut dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Kortrijk menumpaskan Westhoek 3-0, Sabtu lalu.

Seorang lagi peminat tegar Kortrijk, Pieter Verrode, 65, bersetuju Luqman semakin disayangi di Kortirjk.

Anda tidak boleh membenci pemain pemalu seperti dia (Luqman),” katanya yang meminati KV Kortrijk sejak 32 tahun lalu.

Bagaimanapun Verrode mengakui, Luqman perlu bekerja lebih keras kerana belum mencapai tahap yang diperlukan untuk bersaing dalam skuad utama.

Kadang-kadang saya pergi menonton latihan dan saya dapat melihat Luqman bekerja keras untuk menjadi pemain pasukan pertama. Kini, Covid-19 hampir hilang dan pasukan bawah 21 (B-21) akan mula bermain lagi.

Saya rasa dia pasti akan memulakan kariernya di sana. Mereka akan bermain pada Isnin, jika Luqman melakukan yang terbaik, dia berhak berada di kesebelasan utama atau paling tidak di bangku simpanan sebagai supersub,” katanya.

Luqman meledak gol pertamanya bersama pasukan skuad B-21 KV Kortrijk ketika menentang KRC Gent pada Ogos, 2020 lepas dan membuat satu penampilan sulung dalam liga utama musim lalu ketika menentang Anderlecht, Oktober lalu.1

_______________________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/06/luqie-makin-disayangi-di-kortrijk/

Ahad, 27 Jun 2021

JDT perlu bertanggungjawab prestasi hambar Safawi

Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 28, 2021 @ 2:10pm

zulfaizan@bh.com.my



Jamal anggap Harimau Malaya bukan punca prestasi Safawi merosot.

KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad Harimau Malaya tidak wajar dipersalahkan susulan kemerosotan prestasi Safawi Rasid.

Justeru, Jamal tidak bersetuju dengan kenyataan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa prestasi Safawi merudum kerana latihan intensiti rendah bersama skuad kebangsaan ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini.

Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan itu menjelaskan semua kelab, bukan sahaja JDT perlu menyalahkan diri sendiri sekiranya pemain mereka yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan gagal mempamerkan persembahan cemerlang.

"Tugas FAM adalah membentuk pasukan untuk bertanding di peringkat antarabangsa, bukan tugas mereka membuat latihan yang intensiti rendah atau tinggi. Saya bercakap berdasarkan pengalaman sebagai bekas pemain, pengurus pasukan dan pengurusan dalam persatuan bola sepak.

"Apa saja berkaitan intensiti, tahap kecergasan atau sebagainya terpulang kepada kelab masing-masing. Pasukan kebangsaan hanya membentuk persefahaman pemain dan bagi kelayakan Piala Dunia baru-baru ini Harimau Malaya tidak cukup masa terutama kerana COVID-19.

"Saya tak menyalahkan FAM kerana mereka hanya memilih pemain terbaik dari kelab untuk mewakili negara. Jadi, kalau pemain bermain tak bagus, jangan salahkan bahawa latihan FAM tak betul."Lahirnya seseorang pemain adalah dari kelab bukan FAM. Saya cakap fakta, saya tak cakap suka-suka. Bukan saya tak suka TMJ (Tunku Ismail) atau JDT, tidak. Saya komen dari segi kenyataan, yang mesti kita terima hakikat," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Selain itu, Jamal menganggap punca utama kemerosotan prestasi Safawi adalah disebabkan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu tidak mendapat minit permainan yang kompetitif mencukupi.

Beliau turut menyifatkan tindakan JDT meminjamkan Safawi ke kelab Portimonense sebelum ini juga sebagai satu kerugian selepas dia tidak beraksi sebarang perlawanan dalam Liga Portugal.

"Bola sepak memerlukan minit permainan dan perlawanan kompetitif. Kalau setakat pergi (ke Portugal) untuk berlatih tiada guna, ia memberi kesan (kepada persembahan pemain) kerana bola sepak ini seni.

"Safawi merosot bukan sebab siapa-siapa, dia merosot sebab tak cukup permainan kompetitif. Kalau kerana kecederaan, kita sudah ada doktor dan fisioterapi pasukan untuk memastikan sama ada dia layak atau tidak untuk dibawa (bersama pasukan)," katanya.1

__________________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833062/jdt-perlu-bertanggungjawab-prestasi-

hambar-safawi

Menilai pemain naturalisasi bukan mudah

BERNAMA



Tonggak naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh menjalani latihan bersama skuad kebangsaan. FOTO File NSTP

Kuala Lumpur: Saranan menjadikan perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai medan terakhir menguji potensi calon pemain naturalisasi untuk bersama skuad negara tidak semudah yang disangka.

Malah, kaedah pelaksanaannya yang hanya dibenarkan menerusi aksi persahabatan berstatus perlawanan pertunjukan atau perlawanan ujian, mencetuskan tanda tanya adakah aksi itu yang tidak memberikan manfaat kepada pungutan mata ranking dunia, sesuatu yang relevan pada waktu ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata tidak banyak pasukan berada di ranking lebih baik cenderung untuk bermain perlawanan sedemikian terutama pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Apabila soal perlawanan bola sepak antarabangsa, hanya segelintir pihak mahu bermain kerana mereka mahu membuat penampilan terbaik dalam jendela FIFA, jadi bukan saja soal kita dan pihak lawan mahu, ia juga soal berkaitan melakukannya ketika dalam tempoh penting apabila terdapat kiraan mata (ranking FIFA) untuk turut direbut," katanya.

Mengambil contoh perlawanan ujian skuad kebangsaan menentang Kuwait pada 24 Mei lalu, Stuart berkata keutamaan kedua-dua pasukan adalah untuk menurunkan seberapa ramai mungkin pemain bagi melihat tahap prestasi dan persefahaman mereka.

"Jadi ia melibatkan soal jumlah pertukaran yang boleh dibuat yang sememangnya berbeza jika dibandingkan dengan ketetapan perlawanan persahabatan Kelas 1, jadi dalam konteks ini pihak lawan juga perlu menerima pelawaan bermain perlawanan ujian," tambah beliau.

Sebelum ini terdapat saranan FAM menjadikan perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai medan terakhir menilai potensi pemain asing sebelum memutuskan untuk menaturalisasikan mereka beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Saranan itu dibuat supaya kesesuaian dan keberkesanan kehadiran pemain asing dalam corak permainan pasukan kebangsaan dapat dilihat lebih jelas berbanding hanya memilih berdasarkan prestasi dalam saingan liga domestik.

Sehingga kini, tiga pemain iaitu Mohamadou Sumareh dari Gambia, Liridon Krasniqi (Kosovo) dan De Paula (Brazil) berada dalam Program Naturalisasi FAM dalam usaha merealisasikan misi skuad kebangsaan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Jumlah itu mungkin bertambah dalam masa terdekat apabila dua pemain import Liga M antaranya tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Gonzalo Cabrera dan Endrick Dos Santos (Penang FC) kini dikaitkan bakal menjadi pemain naturalisasi terbaru pasukan negara.

Disiarkan pada: Jun 27, 2021 @ 11:02pm.1

_____________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/723457/menilai-pemain-naturalisasi-bukan-mudah

Pemain perlu minit permainan sepatutnya

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Tan Cheng Hoe (tengah) ketika mengendalikan sesi latihan skuad Harimau Malaya. FOTO FAM.

Kuala Lumpur: Ketika Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyelar pengurusan skuad kebangsaan yang gagal menyediakan latihan berintensiti tinggi buat pemain negara, lain pula pendapat bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim yang menganggap tempoh singkat kem negara dalam satu-satu kejohanan bukanlah medan sesuai untuk terus menekan pemain.

Sebaliknya, penyediaan pemain termasuk mengadakan latihan berintensiti tinggi adalah tanggungjawab kelab di Liga Malaysia (Liga M) yang menyiapkan pemain untuk tugasan bersama skuad Harimau Malaya.

Katanya, adalah risiko besar sekiranya pemain terus ditekan dengan latihan berintensiti tinggi bersama skuad negara selepas pemain bertungkus lumus setiap minggu bertarung dalam saingan Liga M yang mungkin mengundang risiko keletihan.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim

"Sebenarnya bukan faktor skuad kebangsaan dan juga bukan Tan Cheng Hoe (pengendali negara) tak mahu buat latihan intensiti tinggi. Tapi kena faham, latihan macam itu sepatutnya kelab yang sediakan untuk menyediakan pemain apabila menyertai kem negara.

"Jurulatih negara yang hanya ada tempoh singkat bersama pemain hanya sempat nak susun atau selarikan dari aspek taktikal dan teknikal sahaja, tapi untuk kecergasan sepatutnya kelab yang kena buat.

"Bayangkan dalam masa 25 hari di UAE (Emiriah Arab Bersatu) dalam kelayakan itu (Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023), mana nak sempat kejar semua benda. Pasukan tempuh lima perlawanan termasuk dua aksi persahabatan, lebih kurang satu aksi seminggu.

"Belum kira perjalanan pemain dan juga waktu rehat. Kita kena ingat, dua hari sebelum perlawanan antarabangsa kita tak boleh terlalu menekan pemain dan mereka harus diberi rehat kerana aksi antarabangsa 'levelnya' tak sama dengan Liga M.

"Jadi bila kita tolak dan darab hari yang tinggal, Cheng Hoe tak ada banyak masa nak buat latihan intensiti tinggi kerana ia boleh memudaratkan pemain. Jadi lebih baik tekankan aspek keserasian kerana mereka ini hanya dikumpulkan untuk satu-satu kejohanan saja bukannya berbentuk liga," katanya kepada Arena Metro.

Jelasnya lagi, isu sebenar adalah kekurangan minit permainan yang diraih pemain di kelab, dan oleh sebab itu pemain tidak mampu mencapai tahap terbaik apabila menyarung jersi negara.

"Pada saya pemain yang dipanggil sepatutnya pemain yang ada minit permainan yang baik di liga tempatan, bukannya yang duduk bangku simpanan lepas itu dapat main dalam skuad negara.

"Bila jarang beraksi di kelab, macam mana pemain itu nak menyerlah dengan skuad kebangsaan sedangkan di dalam liga kurang bermain. Di situ kena diambil perhatian serius untuk kem latihan akan datang," katanya.

Semalam, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) menemplak pengurusan skuad Harimau Malaya apabila kelabnya terpaksa menanggung kecederaan dan prestasi buruk pemain dek kerana latihan yang tidak mencapai intensiti yang sepatutnya.Seramai 13 pemain JDT berada dalam skuad kebangsaan bagi mengharungi kempen kelayakan di UAE namun beberapa tonggak termasuk Safawi Rasid dilihat gagal mencapai tahap sebenar dan ia terserlah pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang sedang berlangsung di Bangkok, Thailand ketika ini.Lantas, ramai pihak terutamanya penyokong tidak senang dengan prestasi Safawi yang hilang sentuhannya apabila gagal memberi impak yang diharapkan.Begitupun, Tunku Ismail tampil mempertahankan anak buahnya itu apabila menyalahkan skuad kebangsaan yang gagal menyediakan Safawi di tahap terbaik dan menyifatkan anak didik Tan Cheng Hoe seolah pergi bercuti dan bukannya berlatih di UAE.

Disiarkan pada: Jun 27, 2021 @ 6:56pm.1

__________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/723366/pemain-perlu-minit-permainan-sepatutnya

Sabtu, 26 Jun 2021

TMJ selar pengurusan Harimau Malaya

 SUKAN



SAFAWI dilihat bergelut untuk mencari prestasi terbaik bersama JDT selepas pulang daripada tugasan bersama skuad kebangsaan. – FB JOHOR SOUTHERN TIGER

TMJ selar pengurusan Harimau Malaya

Oleh MOHD KHAIRI MOHAMAD

27 Jun 2021, 10:15 am

PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengkritik pengurusan skuad Harimau Malaya apabila menjadi ‘dalang’ kemerosotan pres­tasi yang dialami oleh pemain sensasi, Safawi Rasid.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendakwa prestasi Safawi ketika pulang daripada tempoh pinjaman bersama kelab Liga Portugal, Portimonense SC cukup baik.

Lepas pulang daripada Portugal dia (Safawi) menjaringkan gol. Aksi pertama Piala Sumbangsih dah jaringkan gol. Selepas itu dia alami kecederaan. Pulih daripada kecederaan dia jaringkan gol lagi.

Belum 100 peratus pulih, jurulatih (Tan Cheng Hoe) ambil untuk Harimau Malaya. Sesi latihan yang intensiti rendah. Sampai sekarang ‘down’.

Sekarang kami kena ‘repair’ dia macam kami kena ‘repair’ setiap pemain kebangsaan yang dapat panggilan yang pergi berlatih macam pergi bercuti,” katanya yang membalas kritikan netizen di laman Instagram semalam.

Sebagai rekod, seramai 13 pemain JDT ‘diperam’ dalam skuad kebangsaan selama hampir sebulan bermula pertengahan Mei lalu bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Bagaimanapun, sebaik pulang ke pangkuan Harimau Selatan minggu lalu, beberapa tonggak utama pasukan termasuk Safawi agak bergelut khususnya dalam membantu pasukan yang kini bersaing pada peringkat Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Thailand.

Sebelum ini, TMJ turut secara terbuka menawarkan diri untuk menguruskan skuad Harimau Malaya selepas kecewa menyaksikan kegagalan pasukan mempamerkan aksi yang diharapkan di UAE.

Antara bentuk perubahan yang mungkin dibawa Tunku Ismail dalam pasukan adalah melantik jurulatih baharu, menyediakan fasiliti latihan terbaik serta memanggil pemain yang benar-benar bersedia untuk menyarung jersi negara.1

______________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/06/27/tmj-selar-pengurusan-harimau-malaya/

Latihan skuad kebangsaan berintensiti rendah – TMJ



TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

27 Jun 2021, 11:00 am

JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menuding jari terhadap skuad kebangsaan yang melakukan latihan berintensiti rendah sehingga menjadi punca ayam tambatannya, Safawi Rasid hilang taring.

Tunku Mahkota Johor memberitahu, perkara sama turut berlaku kepada pemain lain apabila pulang ke pasukan setelah dipanggil menyertai latihan bersama skuad kebangsaan.

Biarpun dikritik hebat sele­pas bergelut untuk memberikan persembahan yang terbaik, Tunku Ismail tetap mempertahankan Safawi dan menjelaskan JDT dalam proses membantu memperbaiki prestasi pemain kelahiran Terengganu itu.“Lepas pulang daripada Portugal, dia banyak menjaringkan (gol). Dalam aksi pertama iaitu perlawanan Sumbangsih dia sudah menjaringkan gol. Selepas itu dia alami kecederaan, namun masih temui sentuhan penyudah selepas pulih.

Belum pulih 100 peratus da­ripada kecederaan, jurulatih (Tan Cheng Hoe) mengambilnya untuk sertai Harimau Malaya. Kesan daripada latihan intensiti rendah, sampai sekarang prestasinya masih menurun.

Sekarang kami kena perbaiki dia macam kami kena bantu setiap pemain menyertai pasukan kebangsaan bagi menjalani latihan pusat macam pergi makan angin,” kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail berkata demi­kian menerusi komen di Instagram ekorharimaumalaya yang menyifatkan persembahan Safawi kurang memberangsangkan pada aksi Liga Juara-Juara bertemu Ratchaburi, semalam.

Pada perlawanan itu, Safawi masuk sebagai pemain gantian menggantikan Akhyar Rashid namun kemasukannya dilihat ga­gal memberi impak.

Ketika menyertai skuad kebangsaan baki kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), penyerang berusia 24 tahun itu menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti membantu pasukan menang 1-0 ke atas Thailand. – UTUSAN.1

_____________________________________________

1https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/latihan-skuad-kebangsaan-berintensiti-rendah-tmj/

Cools belum minat main Liga M

Jun 26, 2021 @ 5:55pm

Cools (kanan) belum ada perancangan beraksi di Liga M.

Cools (kanan) belum ada perancangan beraksi di Liga M.



KUALA LUMPUR: Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools menegaskan dia belum memiliki perancangan untuk beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium berusia 25 tahun itu difahamkan masih mempunyai baki kontrak bersama kelab Denmark, FC Midtjylland hingga 2023.

"Sejujurnya saya tidak memikirkan perkara itu (beraksi di Liga M) sekarang, saya gembira di Eropah. Buat masa ini saya tidak fikirkan perancangan untuk ke Liga M dalam masa terdekat," katanya dalam temubual bersama sebuah stesen televisyen tempatan, kelmarin.

Sebelum ini, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pihaknya sudah lama merancang untuk membawa Dion Cools beraksi di Liga M.

Dalam pendedahan yang dibuat di laman Instagramnya, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) bagaimanapun mengakui lebih baik Cools terus kekal beraksi di Eropah berdasarkan usianya yang masih muda.

"Perancangan untuk bawa (Cools) ke JDT sudah lama, tetapi itu terpulang kepada pemain tersebut. Buat masa ini beliau masih muda dan lebih baik bermain di tahap tertinggi Eropah seberapa lama yang beliau mampu," kata TMJ.

Sebagai rekod, Cools membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal bulan ini.1

____________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/832375/cools-belum-minat-main-liga-m

Jumaat, 25 Jun 2021

Hampiri 100 kap

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



AIDIL Zafuan Abd Radzak.

Kuala Lumpur: Ketua pasukan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak semakin hampir untuk mencatat penampilan ke-100 di peringkat antarabangsa apabila dia kini merekodkan 91 kap buat negara.

Malah, pertahanan tengah itu juga mungkin bakal berada dalam senarai 'Fifa Century Club' bersama tiga lagi bekas pemain negara yang diiktiraf Fifa sebagai pemain paling banyak beraksi di pentas antarabangsa.

Menerusi semakan pada laman resources.fifa.com, Fifa mengiktiraf bola sepak Malaysia apabila tiga bekas pemain Harimau Malaya tersenarai dalam 'Fifa Century Club' yang mengiktiraf pemain mencapai sekurang-kurangnya 100 penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

Tiga pemain itu adalah Datuk Shukor Salleh, Datuk Mokhtar Dahari dan juga Datuk R Arumugam yang tersenarai daripada 494 pemain dari seluruh dunia.

Menerusi semakan di laman web Fifa itu, Shukor yang juga bekas pemain Pulau Pinang merekodkan bilangan penampilan paling banyak dengan 163 kali sejak penampilan pertama pada 15 November 1970.

Manakala, Allahyarham Mokhtar pula muncul pemain Malaysia kedua terbanyak dengan 138 penampilan bermula pada 7 Jun 1972 sehingga kap terakhirnya pada 1985 iaitu selepas 14 tahun mencurah bakti negara.

Ia diikuti penjaga gol, mendiang Arumugam atau lebih dikenali dengan jolokan 'Spiderman' yang mencatat 131 kali dengan penampilan pertama pada 17 Mei 1973 sehingga 1986.

Bagaimanapun, rekod berkenaan boleh dipecahkan oleh pemain yang masih aktif ketika ini iaitu Aidil yang juga beraksi untuk Johor Darul Ta'zim (JDT) di Liga Malaysia. Aidil yang berusia 33 tahun dilihat masih mampu beraksi di peringkat tertinggi untuk sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

Disiarkan pada: Jun 26, 2021 @ 6:32am.1

__________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/722723/hampiri-100-kap

Usah perkecil baka tempatan

| | 25 Jun 2021




Liridon (kanan) menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukannya di Dubai baru-baru ini. -Foto: FB FAM
JURULATIH berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah tidak bersetuju dengan persepsi bahawa skuad Harimau Malaya sukar untuk menyerlah di peringkat tertinggi jika hanya menyandarkan harapan kepada pemain tempatan.
Beliau berkata, saiz fizikal anak tempatan yang lebih kecil berbanding tenaga asing bukanlah satu alasan memandangkan beberapa pasukan lain dari negara Asia Tenggara dan Asia masih mampu mencipta kejayaan dengan bakat pemain mereka sendiri.
"Saya tak setujulah dengan kenyataan sebegini dan janganlah kita perkecilkan kebolehan pemain tempatan. Kalau nak kata fizikal pemain, mengapa Vietnam boleh buktikan dengan pemain 'bertubuh Asia' dapat layak ke Pusingan Ketiga Piala Dunia.
"Kalau kita tengok negara yang pernah guna pemain naturalisasi macam Jepun pada tahun 1990-an, sekarang mereka dah berhenti gunakan pemain naturalisasi tetapi tumpu pada pembangunan akar umbi sendiri.
"Malah, kalau kita tengok contoh paling dekat, Singapura juga pernah gagal dalam program naturalisasi mereka. Bagi saya, program naturalisasi sekarang ini macam syok sendiri.
"Semua rakyat Malaysia dah lihat macam mana pencapaian pemain naturalisasi negara di Dubai yang sangat teruk. Saya fikir pemain tempatan jauh lebih baik walaupun mempunyai fizikal yang lebih kecil," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Pada Rabu, bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh berpendapat khidmat pemain naturalisasi yang berkualiti masih diperlukan dalam skuad Harimau Malaya untuk memberikan saingan di pentas antarabangsa.
Ketika ini, Harimau Malaya mempunyai tiga pemain naturalisasi - Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh.
Namun, aksi mereka dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai baru-baru ini menerima kecaman ramai pihak ekoran prestasi hambar berbanding kelibat pemain tempatan.
Dalam pada itu, Mohd Azraai berharap bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dapat melihat semula program naturalisasi berkenaan sekiranya mengambil alih Harimau Malaya nanti.
"Tunku pernah menyuarakan pendapat yang mahu FAM memperincikan kembali program naturalisasi negara. Itu saya sokong dan jika Tunku ambil alih Harimau Malaya, saya harap Tunku dapat melihat ia sebagai perkara paling utama.
"Saya bukan bangkang sepenuhnya pengambilan naturalisasi ini, tetapi biarlah ambil yang berkualiti. Bagi saya pemain import yang datang bermain di Malaysia ini tidaklah bagus sangat, kalau bagus sudah tentu mereka bermain dalam liga lebih baik.
"Sebab itu kita kena teliti betul-betul pemain import ini sebelum beri kerakyatan. Saya yakin jika Tunku ambil alih pasukan kebangsaan ada sesuatu yang boleh dilakukan berdasarkan pengalamannya menguruskan kelab Johor Darul Ta'zim," ujarnya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/146231/BERITA/Sukan/Usah-perkecil-baka-tempatan© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf.1

_______________________________________________________

1https://www.sinarharian.com.my/article/146231/BERITA/Sukan/Usah-perkecil-baka-tempatan

Khamis, 24 Jun 2021

3 pemain Malaysia tersenarai dalam 'FIFA Century Club'

Oleh Syafiq Aznan - Jun 25, 2021 @ 11:47am

syafiq.aznan@bh.com.my



Bekas pemain tengah, Shukor Salleh muncul pemain terbanyak meraih penampilan bersama skuad Harimau Malaya dengan 163 penampilan dari tahun 1970 hingga 1981. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Tiga bekas pemain kebangsaan merakam pencapaian membanggakan apabila tersenarai dalam 'FIFA Century Club' oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menerusi semakan pada laman resources.fifa.com, tiga pemain berkenaan adalah Datuk Shukor Salleh, Datuk Mokhtar Dahari dan juga Datuk R Arumugam.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan secara rasmi itu, Shukor muncul pemain terbanyak meraih penampilan bersama skuad Harimau Malaya, iaitu sebanyak 163 penampilan bermula dari 1970 hingga 1981.

Mokhtar atau digelar 'Super Mokh' menjadi pemain kedua terbanyak beraksi bersama skuad kebangsaan, dengan 138 penampilan dalam tempoh 14 tahun bermula 1972 hingga 1985.

MOHKTAR Dahari (kiri) bertukar cenderamata dengan legenda bola sepak Argentina, Maradona ketika aksi persahabatan antara Pilihan Selangor dan Boca Juniors suatu ketika dulu. - Foto NSTP

MOHKTAR Dahari (kiri) bertukar cenderamata dengan legenda bola sepak Argentina, Maradona ketika aksi persahabatan antara Pilihan Selangor dan Boca Juniors suatu ketika dulu. - Foto NSTP

Arumugam yang juga bekas penjaga gol kebangsaan pula menjadi pemain negara ketiga dengan 131 penampilan sejak 1973 hingga 1986.

Sebagai rekod, laman itu menyenaraikan pemain lelaki yang beraksi dalam 100 perlawanan berkelas A ataupun lebih bersama pasukan kebangsaan mereka.

Ketika ini, rekod berkenaan secara rasminya dipegang oleh pemain Mesir, Ahmed Hassan yang tampil dalam 184 perlawanan bersama pasukan kebangsaannya sepanjang tempoh 1995 hingga 2012..1

______________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/831922/3-pemain-malaysia-tersenarai-dalam-fifa-century-club

'Persis Super Mokh'

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



LUQMAN dikatakan mempunyai gaya permainan dan perwatakan seperti Mokhtar Dahari. FOTO KV Kortrijk/NSTP

Kuala Lumpur: Gaya larian, potongan rambut, kepantasan dan kemahiran individu menarik nyata memikat perhatian peminat bola sepak negara yang melabelkan Luqman Hakim Shamsudin persis legenda negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Persamaan itu hadir selepas melihat aksi Luqman ketika membantu kelabnya, KV Kortrijk membelasah KRC Harelbeke 5-0 dalam aksi pramusim yang berlangsung kelmarin.

Luqman yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-60, bijak menggunakan kepantasan yang ada untuk mengucar kacirkan benteng pertahanan lawan hingga dia berjaya mendapatkan sepakan penalti yang disudahkan rakan sepasukannya.

Namun apa yang paling mencuri tumpuan adalah gerakan dan corak permainannya yang digambarkan saling tak tumpah seperti Mokhtar Dahari atau lebih dikenali dengan jolokan Super Mokh.

Peminat tanahair yang menyaksikan rakaman aksi itu dilaman sosial seolah terpegun dan membayangkan Luqman bakal menyerlah di peringkat antarabangsa.

"Rambut dia sebijik Super Mokh wooo...dribble pun nampak bayangan Super Mokh," tulis farhanfaizal di Instagram.

Aazief pula berpendapat, Luqman bakal meneruskan legasi Mokhtar sebagai penyerang paling prolifik buat skuad negara untuk tempoh yang panjang.

"Cara dia main dan gelecek sebijik macam arwah Super Mokh. InsyaAllah satu hari nanti dia bakal jadi pewaris Super Mokh yang selama ini kita cari-cari," kata Aazief.

Peminat wanita juga tidak terlepas memuji Luqman atau turut dikenali dengan panggilan Luqie di Belgium.

"Muka dan gaya permainan seperti arwah Mokhtar Dahari dah. Terbaik Luqman," kata aisyahicha_91.

Selain memikat perhatian penyokong tempatan, penyerang Harimau Malaya itu juga berjaya mencuri hati penyokong KV Kortrijk dan turut menyanyikan lagu untuk Luqman.

Untuk rekod, Mokhtar mencetak 125 gol bersama skuad kebangsaan dan menjaringkan 198 gol dalam 388 perlawanan bersama Selangor sejak 1971 hingga 1990 dalam Liga Malaysia.

Bagaimanapun, daripada 125 gol itu hanya 89 gol diiktiraf oleh Fifa untuk meletakkan Mokhtar antara tiga penyerang paling banyak menjaringkan gol di peringkat antarabangsa di belakang Cristiano Ronaldo dan Ali Daei dengan masing-masing meledak 109 gol.

Kekuatan fizikal, kehebatan skil, kebijaksanaan dalam permainan dan kepantasan sering kali menjadi mimpi ngeri pasukan seperti Jepun, Korea Selatan, Kuwait, Indonesia dan England B pada era 70-an dan 80-an.

Sepanjang kariernya, Mokhtar pernah ditawarkan bermain bersama Real Madrid selepas kelab La Liga itu terpegun melihatnya membantu pasukan pilihan Malaysia mengikat Arsenal 2-2 pada tahun 1972.

Selain Real Madrid, Super Mokh turut menarik minat beberapa kelab terbaik Liga Perdana Inggeris namun semuanya ditolak atas dasar ingin terus menabur bakti bersama Selangor dan Harimau Malaya.

Selepas pemergian Super Mokh pada 11 Julai 1991, bola sepak negara terus malap tanpa kehadiran permata yang sehebat namun dengan kemunculan Luqman di Liga Belgium ketika ini, tidak mustahil tonggak berusia 19 tahun itu bakal muncul peledak utama negara selepas ini.Disiarkan pada: Jun 24, 2021 @ 6:19pm.1

__________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/722181/persis-super-mokh

Super Mokh atasi Pele, Messi

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



MOKHTAR (kiri) cukup digeruni ketika eranya. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Nama Malaysia menjadi siulan di saingan Euro 2020 apabila bekas penyerang legenda negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari disenaraikan antara tiga peledak paling berbisa di peringkat antarabangsa.

Ia susulan kejayaan penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo yang berjaya menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman di peringkat antarabangsa dari Iran, Ali Daei dengan 109 gol.

Namun paling mengujakan sudah tentunya nama Mokhtar atau lebih dikenali dengan gelaran Super Mokh untuk berada dalam senarai terbabit di kedudukan ketiga menerusi 89 gol.

Malah rekod berkenaan juga menyaksikan Mokhtar berjaya mengatasi dua legenda dunia iaitu Ferenc Puskas (Hungary) dan Pele (Brazil) dengan masing-masing hanya meledak 84 dan 77 gol dalam aksi antarabangsa.

Catatan itu juga menyaksikan jumlah gol Mokhtar lebih banyak berbanding Lionel Messi di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan Argentina dengan 70 gol saja.

Arena Metro yang pernah melaporkan tentang rekod jaringan itu pada 11 September tahun lalu sempat menemubual anak lelakinya, Mohd Reza yang tidak menyangka ayahnya adalah antara penyerang paling prolifik dunia.

"Saya sendiri tak tahu berkenaan jumlah gol itu dan paling terkejut antara tiga pemain terbaik dunia. Tapi tetap berbangga kerana itu menunjukkan pencapaian ayah sentiasa dikenang," katanya dalam laporan sebelum ini.

Disiarkan pada: Jun 24, 2021 @ 7:50pm/1

______________________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/722224/super-mokh-atasi-pele-messi

Super Mokh atasi Pele, Messi



Oleh Meja Sukan

24 Jun 2021, 9:44 pm

PETALING JAYA: Nama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari tiba-tiba kembali menjadi sebutan hari ini apabila badan bola sepak Eropah, UEFA mengeluarkan senarai penjaring terbanyak dunia dengan legenda negara itu menghuni tangga kedua.

Selepas penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo berjaya menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman yang dipegang legenda Iran, Ali Daei dengan mengumpul gol ke-109 dalam Euro 2020, UEFA menyenaraikan 11 penjaring terbanyak dunia di laman web rasmi mereka.

Ramai yang terkejut nama Mokhtar atau lebih dikenali dengan gelaran Super Mokh berada di tempat kedua menerusi 89 gol.

Itu bermakna, penyerang legenda itu berjaya mengatasi dua ‘superstar’ dunia iaitu Ferenc Puskas (Hungary) dan Pele (Brazil) dengan masing-masing hanya meledak 84 dan 77 gol dalam perlawanan antarabangsa.

Catatan itu juga menyaksikan gol Mokhtar lebih banyak berbanding Lionel Messi (bersama skuad kebangsaan). Bintang Argentuna itu meledak 70 gol buat negaranya.

Senarai yang dikeluarkan UEFA dalam laman web rasminya, www.uefa.com mengejutkan dan dalam masa sama mengujakan peminat bola sepak tanah air kerana ramai yang tidak mengetahui jumlah sebenar gol yang telah disempurnakan Mokhtar sepanjang zaman kegemilangannya.

SENARAI PENJARING GOL TERBANYAK

109 Ali Daei (Iran) – 149 penampilan

109 Cristiano Ronaldo (Portugal) – 177 penampilan

89 Mokhtar Dahari (Malaysia) – 142 penampilan

84 Ferenc Puskas (Hungary) – 85 penampilan

79 Godfrey Chitalu (Zambia) – 111 penampilan

78 Hussein Saeed (Iraq) – 137 penampilan

77 Pele (Brazil) – 92 penampilan

76 Ali Mabkhout (UAE) – 92 penampilan

75 Sandor Kocsis (Hungary) – 68 penampilan

75 Kunishige Kamamoto (Jepun) – 76 penampilan

75 Bashar Abdullah (Kuwait) – 134 penampilan

Pautan:

https://www.uefa.com/uefaeuro-2020/news/026a-1297500e1b34-a17bbbcad258-1000–ronaldo-equals-world-record/?iv=true.1

____________________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/06/super-mokh-atasi-pele-messi/

Aksi lincah Luqman Hakim tambat hati penyokong KV Kortrijk

Sinar Harian

Jun 23, 2021 15:08 MYT



Aksi lincah Luqman Hakim tambat hati penyokong KV Kortrijk

Pemain berusia 19 tahun itu juga turut menyumbang sepakan penalti kepada pasukan selepas dia dijatuhkan oleh pemain lawan pada minit ke-86 pada perlawanan yang berkesudahan Kortrijk membelasah Harelbeke 5-0. - Gambar fail/Stadium Astro

PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin mencuri tumpuan selepas mempamerkan aksi lincah ketika beraksi bersama kelab Belgiumnya, KV Kortrijk dalam perlawanan ujian berdepan KRC Harelbeke, awal pagi Rabu.

Luqman yang diturunkan sebagai pemain gantian menunjukkan kualiti yang dimilikinya apabila berjaya beberapa kali menghadirkan masalah kepada benteng pasukan lawan selain memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

backup_ads

Pemain berusia 19 tahun itu juga turut menyumbang sepakan penalti kepada pasukan selepas dia dijatuhkan oleh pemain lawan pada minit ke-86 pada perlawanan yang berkesudahan Kortrijk membelasah Harelbeke 5-0.

Malah, aksi lincah Luqman itu juga berjaya menambat hati peminat Kortrijk yang hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan tersebut selain turut menyanyikan lagu sokongan kepada Luqman dalam satu video di laman Instagram kvkortrijkfans.

"Kita dapat lagu untuk Luqman! Allez Luqman Allez!," tulis laman Instagram itu selain turut memuat naik video nyanyian tersebut.

ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN: Aksi lincah Luqman tambat hati penyokong KV Kortrijk.1

____________________________________

1https://www.astroawani.com/berita-sukan/aksi-lincah-luqman-hakim-tambat-hati-penyokong-kv-kortrijk-304657