Ahad, 27 Jun 2021

Pemain perlu minit permainan sepatutnya

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Tan Cheng Hoe (tengah) ketika mengendalikan sesi latihan skuad Harimau Malaya. FOTO FAM.

Kuala Lumpur: Ketika Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyelar pengurusan skuad kebangsaan yang gagal menyediakan latihan berintensiti tinggi buat pemain negara, lain pula pendapat bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim yang menganggap tempoh singkat kem negara dalam satu-satu kejohanan bukanlah medan sesuai untuk terus menekan pemain.

Sebaliknya, penyediaan pemain termasuk mengadakan latihan berintensiti tinggi adalah tanggungjawab kelab di Liga Malaysia (Liga M) yang menyiapkan pemain untuk tugasan bersama skuad Harimau Malaya.

Katanya, adalah risiko besar sekiranya pemain terus ditekan dengan latihan berintensiti tinggi bersama skuad negara selepas pemain bertungkus lumus setiap minggu bertarung dalam saingan Liga M yang mungkin mengundang risiko keletihan.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim

"Sebenarnya bukan faktor skuad kebangsaan dan juga bukan Tan Cheng Hoe (pengendali negara) tak mahu buat latihan intensiti tinggi. Tapi kena faham, latihan macam itu sepatutnya kelab yang sediakan untuk menyediakan pemain apabila menyertai kem negara.

"Jurulatih negara yang hanya ada tempoh singkat bersama pemain hanya sempat nak susun atau selarikan dari aspek taktikal dan teknikal sahaja, tapi untuk kecergasan sepatutnya kelab yang kena buat.

"Bayangkan dalam masa 25 hari di UAE (Emiriah Arab Bersatu) dalam kelayakan itu (Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023), mana nak sempat kejar semua benda. Pasukan tempuh lima perlawanan termasuk dua aksi persahabatan, lebih kurang satu aksi seminggu.

"Belum kira perjalanan pemain dan juga waktu rehat. Kita kena ingat, dua hari sebelum perlawanan antarabangsa kita tak boleh terlalu menekan pemain dan mereka harus diberi rehat kerana aksi antarabangsa 'levelnya' tak sama dengan Liga M.

"Jadi bila kita tolak dan darab hari yang tinggal, Cheng Hoe tak ada banyak masa nak buat latihan intensiti tinggi kerana ia boleh memudaratkan pemain. Jadi lebih baik tekankan aspek keserasian kerana mereka ini hanya dikumpulkan untuk satu-satu kejohanan saja bukannya berbentuk liga," katanya kepada Arena Metro.

Jelasnya lagi, isu sebenar adalah kekurangan minit permainan yang diraih pemain di kelab, dan oleh sebab itu pemain tidak mampu mencapai tahap terbaik apabila menyarung jersi negara.

"Pada saya pemain yang dipanggil sepatutnya pemain yang ada minit permainan yang baik di liga tempatan, bukannya yang duduk bangku simpanan lepas itu dapat main dalam skuad negara.

"Bila jarang beraksi di kelab, macam mana pemain itu nak menyerlah dengan skuad kebangsaan sedangkan di dalam liga kurang bermain. Di situ kena diambil perhatian serius untuk kem latihan akan datang," katanya.

Semalam, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) menemplak pengurusan skuad Harimau Malaya apabila kelabnya terpaksa menanggung kecederaan dan prestasi buruk pemain dek kerana latihan yang tidak mencapai intensiti yang sepatutnya.Seramai 13 pemain JDT berada dalam skuad kebangsaan bagi mengharungi kempen kelayakan di UAE namun beberapa tonggak termasuk Safawi Rasid dilihat gagal mencapai tahap sebenar dan ia terserlah pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang sedang berlangsung di Bangkok, Thailand ketika ini.Lantas, ramai pihak terutamanya penyokong tidak senang dengan prestasi Safawi yang hilang sentuhannya apabila gagal memberi impak yang diharapkan.Begitupun, Tunku Ismail tampil mempertahankan anak buahnya itu apabila menyalahkan skuad kebangsaan yang gagal menyediakan Safawi di tahap terbaik dan menyifatkan anak didik Tan Cheng Hoe seolah pergi bercuti dan bukannya berlatih di UAE.

Disiarkan pada: Jun 27, 2021 @ 6:56pm.1

__________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/723366/pemain-perlu-minit-permainan-sepatutnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan