2021-06-04T15:11:20+08:00
Aksi pemain Harimau Malaya dan UAE dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. - Gambar Facebook Football Association of Malaysia.
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya telah memberikan yang terbaik pada pertemuan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), namun jelas tidak memadai untuk menundukkan kehebatan pasukan The Whites dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 lewat malam tadi.
Ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, 53, juga berkata anak buahnya telah mempamerkan komitmen yang tinggi pada pertemuan itu yang berlangsung di Zabeel Stadium, Dubai, yang menyaksikan skuad negara tewas 0-4 di tangan pasukan ke-73 dunia tersebut.
Cheng Hoe bagaimanapun mengakui pemainnya hilang fokus, terutama ketika bertahan daripada asakan penyerang Ali Mabkhtout, dan peluang itu dimanfaatkan oleh The Whites untuk mencipta kemenangan kedua ke atas Malaysia dalam kempen tersebut, selepas ia menang 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2019.
“Saya pasti pemain juga kecewa dengan kekalahan yang agak besar itu, saya percaya mereka telah berikan yang terbaik. Ini kali pertama kami kalah dengan margin yang besar dalam kempen ini.
“Kita tahu pasukan UAE kali ini jauh lebih baik. Kami sepatutnya bermain dengan lebih konsisten, beri lebih tumpuan pada serangan dan pertahanan. Kami tidak boleh mengekang Ali, beliau bermain dengan baik,” kata Cheng Hoe pada sidang media selepas perlawanan itu. Rakaman sidang media itu diperoleh daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pada pertemuan malam tadi, Ali meledakkan dua gol pada minit ke-18 dan 90+1, sementara dua lagi gol UAE disumbangkan oleh pemain naturalisasi dari Brazil, Fabio Lima (minit ke-83 dan 90+2).
Keputusan itu mengangkat UAE ke tangga kedua dalam Kumpulan G dengan sembilan mata berdasarkan kelebihan gol selepas enam perlawanan, sementara Malaysia jatuh ke tempat keempat, juga dengan sembilan mata.
Sementara itu, Cheng Hoe yakin anak buahnya akan kembali bingkas daripada kekalahan malam tadi dan mencipta kemenangan dalam dua lagi perlawanan berbaki, menentang Vietnam pada Jumaat dan Thailand (15 Jun), bagi memastikan harapan Malaysia untuk layak ke Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 terus hidup.
“Kami ada kira-kira seminggu untuk bersedia bagi menghadapi Vietnam. Saya sangat yakin yang kami telah beroleh pengajaran berharga semasa menentang UAE, selain mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pasukan.
“Vietnam juga sebuah pasukan yang kuat. Saya harap, selepas menjalani beberapa sesi latihan nanti, anak buah saya akan mempamerkan permainan yang saya mahukan agar kita dapat menghasilkan keputusan positif,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia tewas empat daripada lima perlawanan terakhir dengan pasukan Golden Dragons bimbingan Park Hang-seo itu, manakala satu lagi pertembungan berakhir dengan keputusan seri. - BERNAMA.1
_______________________________________________
1https://www.utusanborneo.com.my/2021/06/04/harimau-malaya-beri-yang-terbaik-namun-bukan-lawan-uae
Tiada ulasan:
Catat Ulasan