SUKAN
ARIF (tengah) giat menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan menjelang aksi terakhir Harimau Malaya menentang Thailand di Stadium Al Maktoum, Dubai tengah malam Rabu ini.
Arif jadikan pujian sebagai inspirasi julang Harimau Malaya
Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
14 Jun 2021, 10:20 am
PRESTASI pemain muda skuad kebangsaan, Arif Aiman Mohd. Hanapi mendapat perhatian peminat-peminat sukan tanah air selepas dia menampilkan aksi memberangsangkan ketika bertemu Vietnam kelmarin.
Meskipun skuad Harimau Malaya tewas 1-2 kepada Vietnam pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu, namun kelincahan Arif yang masuk sebagai pemain gantian mampu mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.
Aksi yang ditampilkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 19 tahun itu berjaya mencuri tumpuan peminat setia Harimau Malaya yang menggesa ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe menurunkannya dalam kesebelasan utama berdepan Thailand awal pagi Rabu ini.
Bagaimanapun, Arif menegaskan, dia tidak mahu terlalu dibuai dengan pujian tersebut meskipun mengakui sudah menampilkan aksi terbaik pada penampilan pertamanya di pentas antarabangsa.
“Saya jadikan pujian itu sebagai sumber semangat dan bukan tiket untuk mudah berpuas hati serta bangga. Selain itu, saya tidak anggap ia sebagai tekanan, sebaliknya menjadi inspirasi untuk bermain lebih baik.
“Apa yang boleh saya cakap kepada penyokong, keputusan memilih pemain terletak di tangan jurulatih. Sekiranya terpilih untuk aksi bertemu Thailand, saya sedia untuk berikan segala-galanya,” katanya pada sidang akhbar virtual semalam.
Pemain kelahiran Pahang itu juga percaya pengalamannya ketika beraksi bersama JDT sedikit sebanyak membantu dia menyesuaikan diri dengan aksi antarabangsa yang lebih kompetitif.
Selain itu, Arif juga enggan rekod baiknya bersama pasukan Harimau Selatan musim ini dijadikan sebagai jaminan untuk dia diletakkan dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan.
“Saya tidak mahu prestasi ketika bersama JDT dijadikan sebagai ukuran untuk berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya. Secara jujur, saya juga masih terkejut untuk menyarung jersi pasukan negara kerana masih baru.
“Saya juga tidak berjanji dengan penyokong boleh diturunkan ataupun tidak ketika bertemu Thailand kerana itu pilihan jurulatih. Saya hanya menunggu peluang tersebut,” ujarnya.1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan