2021-06-02T07:44:45+08:00
KUALA LUMPUR: Penjaga gol utama skuad Harimau Malaya Mohd Farizal Marlias berjanji untuk belajar daripada kesilapannya dan mempamerkan aksi yang lebih baik sekiranya terus diberi peluang untuk beraksi pada perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) Khamis ini.
Mengakui sedikit leka ketika kekalahan 0-2 kepada Bahrain pada Jumaat lepas, penjaga gawang berpengalaman berusia 34 tahun itu berkata akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.
Beliau berkata motivasi dirinya tidak terjejas dan yakin dapat menggalas tanggungjawab dengan lebih baik dalam saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
“Sudah pasti sesiapa sahaja boleh buat kesilapan, tapi kita harus belajar daripada kesilapan itu. Saya percaya kepada rakan sepasukan saya, mereka juga bermotivasi tinggi dan keakraban kita dalam pasukan sangat baik, saya harap perkara positif ini dapat diterapkan di atas padang,” katanya pada sidang media secara maya dari Dubai pada Selasa.
Pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bahrain, Riffa, Jumaat lepas, kawalan Mohd Farizal yang kurang kemas selepas menerima hantaran daripada pemain naturalisasi Liridon Krasniqi, menyaksikan Mohd Jassim Marhoon menyambar bola untuk menjaringkan gol kedua bagi pasukan di ranking ke-98 dunia itu pada minit ke-61.
Bakal tertemu pasukan di kedudukan ke-73 dunia, UAE yang membenam India 6-0 dan Jordan 4-1 dalam dua aksi persahabatan sebelum ini, tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu percaya kehadiran beberapa pemain baharu termasuk tonggak pertahanan FC Midtjylland, Dion Cools dapat menyekat serangan berbahaya pasukan itu.
Penyerang berbisa Ali Mabkhout menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Malaya apabila menjaringkan dua gol ketika Malaysia tewas 1-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam kempen kelayakan itu pada 10 Sept, 2019.
Ditambah dengan kemasukan tiga pemain naturalisasi - Fabio Lima dan Caio Canedo dari Brazil serta Sebastian Tagliabue dari Argentina, skuad negara perlu berwaspada apabila skuad Al Abyad (The Whites) itu melakukan serangan.
“Kita ada sesi video dan analisis perlawanan skuad lawan, saya juga percaya barisan pertahanan kita dapat menyesuaikan dengan rentak serangan UAE. Kita perlu berdisiplin dari segi pertahanan dan serangan untuk menyekat pemain-pemain ini,” katanya.
Beliau turut berharap pengalaman beraksi di pentas Piala AFC dan Liga Juara-Juara AFC dapat membantunya menyerap tekanan.
Selepas aksi berdepan UAE pada Khamis ini, Malaysia akan meneruskan kempen menentang Vietnam pada 11 Jun dan Thailand (15 Jun). - BERNAMA.1
_________________________________________
1https://www.utusanborneo.com.my/2021/06/02/farizal-belajar-dari-kesilapan-kekal-motivasi-berdepan-uae
Tiada ulasan:
Catat Ulasan