Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
AIDIL Zafuan Abd Radzak.
Kuala Lumpur: Ketua pasukan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak semakin hampir untuk mencatat penampilan ke-100 di peringkat antarabangsa apabila dia kini merekodkan 91 kap buat negara.
Malah, pertahanan tengah itu juga mungkin bakal berada dalam senarai 'Fifa Century Club' bersama tiga lagi bekas pemain negara yang diiktiraf Fifa sebagai pemain paling banyak beraksi di pentas antarabangsa.
Menerusi semakan pada laman resources.fifa.com, Fifa mengiktiraf bola sepak Malaysia apabila tiga bekas pemain Harimau Malaya tersenarai dalam 'Fifa Century Club' yang mengiktiraf pemain mencapai sekurang-kurangnya 100 penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan.
Tiga pemain itu adalah Datuk Shukor Salleh, Datuk Mokhtar Dahari dan juga Datuk R Arumugam yang tersenarai daripada 494 pemain dari seluruh dunia.
Menerusi semakan di laman web Fifa itu, Shukor yang juga bekas pemain Pulau Pinang merekodkan bilangan penampilan paling banyak dengan 163 kali sejak penampilan pertama pada 15 November 1970.
Manakala, Allahyarham Mokhtar pula muncul pemain Malaysia kedua terbanyak dengan 138 penampilan bermula pada 7 Jun 1972 sehingga kap terakhirnya pada 1985 iaitu selepas 14 tahun mencurah bakti negara.
Ia diikuti penjaga gol, mendiang Arumugam atau lebih dikenali dengan jolokan 'Spiderman' yang mencatat 131 kali dengan penampilan pertama pada 17 Mei 1973 sehingga 1986.
Bagaimanapun, rekod berkenaan boleh dipecahkan oleh pemain yang masih aktif ketika ini iaitu Aidil yang juga beraksi untuk Johor Darul Ta'zim (JDT) di Liga Malaysia. Aidil yang berusia 33 tahun dilihat masih mampu beraksi di peringkat tertinggi untuk sekurang-kurangnya dua tahun lagi.
Disiarkan pada: Jun 26, 2021 @ 6:32am.1
__________________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/722723/hampiri-100-kap
Tiada ulasan:
Catat Ulasan