Isnin, 21 Jun 2021

TMJ lebih sesuai jadi penasihat Harimau Malaya

Oleh Syafiq Aznan - Jun 21, 2021 @ 3:08pm

syafiq.aznan@bh.com.my



KUALA LUMPUR: Meskipun dilabel sebagai calon tepat untuk mengambil alih pasukan kebangsaan, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat lebih sesuai untuk memegang jawatan selaku penasihat skuad Harimau Malaya.

Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang menyifatkan jawatan penasihat itu lebih tinggi, apatah lagi 'kata-kata emasnya' berjaya menjadikan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai pasukan terbaik di negara ini.

Jelasnya, pemilik JDT itu tetap boleh terus membantu tanpa perlu membabitkan diri dalam pengurusan skuad kebangsaan sama seperti yang sudah dilakukan untuk persiapan skuad kebangsaan sebelum ini.

"Bukanlah sesuatu yang pelik jika dengan permintaan itu kerana kalau kita lihat, skuad kebangsaan pun dibarisi majoritinya daripada pemain JDT.

"Cuma kita harus faham suasana di kelab dan pasukan kebangsaan adalah berbeza daripada segi konsep dan sebagainya. Di kelab, mereka boleh bentuk pasukan yang mantap dengan kewangan tetapi tidak di skuad kebangsaan.

"Malah, skuad kebangsaan tetap dapat berkongsi kemudahan dengan pasukan itu, jadi ini membuktikan beliau boleh terus bersama-sama membantu skuad kebangsaan tanpa memegang apa-apa jawatan.

"Dalam hal ini, saya rasa lebih tepat kalau Tunku Ismail menjadi penasihat kepada skuad kebangsaan. Penasihat ini paling atas, memang patut untuk Tunku Ismail.

"Apapun, saya bersetuju dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menyatakan perkara ini ada prosesnya dan akan dibawa dalam mesyuarat terlebih dahulu," kata Jamal yang pernah menjadi pengurus skuad Pahang pada 1992 dan merangkul empat daripada lima piala yang dipertandingkan selain turut memiliki lesen A kejurulatihan.

Terdahulu, Tunku Ismail menawarkan diri untuk menguruskan skuad Harimau Malaya selepas prestasi hambar pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Kepada Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin), izinkan saya untuk memikul tugas dalam skuad kebangsaan. Saya akan sediakan mereka kemudahan latihan dan jurulatih terbaik."Saya tidak boleh menjanjikan kejayaan segera kepada anda. Tetapi saya dapat memberi jaminan mengenai peningkatan (prestasi pasukan)," katanya dalam ruangan Insta Story di laman akaun Instagram.1

__________________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/830433/tmj-lebih-sesuai-jadi-penasihat-harimau-malaya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan