Jumaat, 18 Mac 2016

Nazrin, Adam perkasa skuad

 myMetro

Petaling Jaya: Ketika pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee masih menantikan pasukannya lengkap dengan 23 pemain esok, dua pemain dari Johor Darul Ta’zim (Johor DT) S Chanturu dan Fazly Mazlan pula terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

 

Kim Swee mengesahkan menerima laporan perubatan kedua-dua pemain itu semalam dan membuat keputusan untuk memanggil pemain sayap Nazrin Nawi (Johor DT) dan pertahanan Adam Nor Azlin (Selangor) bagi mengisi posisi itu.

 

 

“Kami menerima laporan doktor dari pihak pengurusan Johor DT dan menyatakan mereka (Chanturu dan Fazly) memerlukan rehat panjang jadi saya terpaksa membuat keputusan untuk memanggil Adam dan Nazrin.

 

“Fazly mengalami kecederaan di buku lali manakala Chanturu betis jadi mereka memerlukan kemungkinan dua minggu untuk pulih. Masa agak singkat untuk saya memikirkan kedua-dua pemain ini jadi saya buat keputusan memanggil pengganti,” katanya.

 

 

Jurulatih berusia 45 tahun itu mengakui ketiadaan Chanturu dan Fazly sedikit menjejaskan perancangannya apatah lagi beliau kekurangan pemain di posisi kiri.

 

“Kami tahu Nazrin beraksi bersama Johor DT dalam Piala AFC tempoh hari dan Adam bermain bersama Selangor secara tetap jadi saya tak nampak sebarang masalah di sini.

 

“Namun sedikit merisaukan adalah posisi di sebelah kiri yang mana kemungkinan pemain sedia ada terpaksa bertukar posisi ke sebelah kiri contohnya Azrif (Nasrulhaq Badrul Hisham) dan S Kunanlan,” jelas Kim Swee.

 

Ketika ini hanya 12 pemain menjalani latihan pusat skuad kebangsaan sejak Isnin lalu dengan baki pemain dari Johor DT dan Perak bakal menyusul selepas aksi suku akhir pertama Piala FA hari ini.

 

Skuad Harimau Malaysia akan bertolak ke Jeddah esok bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi pada 24 Mac sebelum pulang ke tanah air untuk mengharungi perlawanan persahabatan dengan Macau di Stadium Hang Jebat Melaka pada 29 Mac.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:24 AM

 

KIM Swee (tengah) memantau sesi latihan skuad kebangsaan di padang Wisma FAM.


- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/123802#sthash.4aOcCnVt.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan