Jumaat, 25 Mac 2016

'Bukan lagi belasahan'

Kelana Jaya: “Malaysia bukan lagi pasukan belasahan,” kata bekas pengendali skuad kebangsaan, B Sathianathan (gambar) memuji aksi bertenaga pasukan negara apabila mengekang Arab Saudi daripada berpesta gol di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, kelmarin.

Kekalahan 0-2 itu jelas menunjukkan masih ada sinar di hujung terowong buat skuad Harimau Malaysia untuk tampil lebih garang dalam tugasan antarabangsa berikutnya.

“Walaupun tewas, pujian harus diberikan kepada Datuk Ong Kim Swee dan anak buahnya kerana beraksi bagus dan mempamer disiplin bertahan yang baik sehingga hanya dibolosi dua kali.

“Malah, kita juga tahu jurang besar antara Arab Saudi dengan Malaysia dengan mereka dibimbing jurulatih asing yang memiliki kepakaran dan rekod cemerlang dalam Piala Dunia serta barisan pemain senior berpengalaman.

“Setidak-tidaknya, keputusan itu sedikit menepis tanggapan mereka yang beranggapan Malaysia akan dibelasah teruk Arab Saudi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Anugerah Jurulatih Bulanan Terbaik Liga Bola Sepak Malaysia, di Wisma FAM, di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, jurulatih dalam Liga Malaysia (Liga-M) berpeluang memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik Bulanan anjuran Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bermula bulan ini.

Sathianathan yang juga Presiden PJBM, ini kali pertama anugerah sedemikian dianjurkan yang bertujuan memberi dorongan serta semangat kepada jurulatih untuk berusaha kuat mencapai kejayaan.

“Kriterianya, pasukan bimbingan mereka akan dikategorikan mengikut tiga pilihan iaitu pilihan pertama, kedua dan ketiga berdasarkan kedudukan liga setiap bulan.

“Jadi, kiraan mata akan dibuat berdasarkan keputusan dicatat pasukan mereka sepanjang bulan dengan kiraan dibuat di penghujung bulan.

“Secara mudahnya, pasukan pilihan ketiga mendapat kiraan mata yang besar jika mereka menewaskan pasukan pilihan pertama.

“Tapi sebaliknya berlaku jika pasukan pilihan pertama menewaskan pasukan pilihan ketiga dengan mereka hanya mendapat mata yang kecil,” katanya.

Bagi Februari, untuk Liga Super, Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Selangor, FELDA United dan Terengganu ditempatkan dalam Kumpulan Satu manakala Kedah, Perak, Kelantan dan Perlis, Kumpulan Dua. Selebihnya Kumpulan Tiga.
 
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 8:05 AM


- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/125515#sthash.qo1e56iI.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan