Jumaat, 25 Mac 2016

Malaysia bukan pasukan belasahan

Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
 
BARISAN pemain negara telah mempamerkan gaya permainan meyakinkan walaupun tewas 0-2 kepada Arab Saudi pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jeddah awal pagi semalam.

WALAUPUN tidak menggalas sebarang harapan pada aksi pelengkap jadual Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi awal pagi semalam, namun Harimau Malaysia tetap menampilkan aksi yang boleh dibanggakan.

Biarpun tewas 0-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium King Abdullah Sports City Jeddah itu, namun barisan pemain kendalian Datuk Ong Kim Swee membuktikan bahawa mereka bukanlah pasukan belasahan apabila mampu mengekang asakan skuad tuan rumah itu.

Pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak menghamburkan pujian terhadap rakan sepasukan, terutamanya benteng pertahanan apabila menampilkan aksi yang cukup berkualiti biarpun diasak bertubi-tubi oleh Arab Saudi yang merupakan pendahulu Kumpulan A.

“Perlawanan semalam (awal pagi semalam), jika nak diikutkan dari segi jaringan, memang kita tewas 0-2. Namun, kita tewas kepada pasukan yang lebih baik. Kalah tetap kalah tetapi banyak perkara positif yang kita boleh pelajari daripada perlawanan tersebut.

“Kita sudah tahu apa kelemahan kita selepas perlawanan tersebut. Masih banyak yang perlu diperbaiki selepas ini, namun bagi saya benteng pertahanan menampilkan aksi yang sangat kental. Mereka bermain dengan cukup berdisiplin, inilah kelebihan apabila beraksi menentang pasukan besar.

“Saya puji pemain-pemain pertahanan kerana telah memberi komitmen yang tinggi sepanjang perlawanan tersebut. Selain itu, secara keseluruhan kita berjaya buktikan bahawa kita bukanlah pasukan belasahan seperti yang digembar-gemburkan selama ini,” kata Aidil ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Mengulas mengenai dua gol yang dilepaskan skuad kebangsaan pada perlawanan tersebut, tonggak pertahanan Johor Darul Takzim (Johor DT) itu juga menegaskan mereka sudah lakukan apa yang termampu, namun kelekaan menjadi punca benteng skuad negara dibolosi oleh pasukan gergasi Asia itu.

“Kita menerapkan taktik bertahan pada perlawanan itu, jadi sedikit sebanyak mereka (Arab Saudi) mampu mengesan kelemahan kami dan kelekaan juga menjadi penyebab mengapa mereka mampu menjaringkan gol. Kami sedikit terleka apabila diserang,” jelasnya.

Berhubung kecederaan yang melanda dirinya pada pertemuan tersebut, pemain berusia 28 tahun itu menegaskan, ia bukanlah kecederaan yang serius dan dia berharap mampu pulih sepenuhnya menjelang aksi persahabatan menentang Macau di Stadium Hang Jebat, Melaka, 29 Mac ini.

Selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan A itu, Malaysia menghuni tempat keempat dengan mengumpul empat mata, namun peluang mereka untuk meneruskan kemaraan pada kelayakan Piala Asia 2019 masih terbuka kerana bakal beraksi pada perlawanan play-off pada 2 dan 7 Jun nanti.

Lawan mereka hanya akan diketahui pada 7 April nanti.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz43xkFKt1P Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan