Jumaat, 25 Mac 2016

Safiq sedia kejut Green Falcon

 myMetro
Kuala Lumpur: Jika Harimau Malaysia mahu melakukan kejutan ke atas Arab Saudi dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 di Jeddah awal pagi esok (jam 1.30 waktu Malaysia), pemain yang mungkin boleh diharapkan untuk melaksanakan misi itu sudah pasti kapten Safiq Rahim (gambar kiri).

Pemain berusia 28 tahun itu bukan saja mampu menjadi perancang pasukan malah dengan kehebatan kaki kanannya khususnya ketika mengambil sepakan percuma, dia boleh menjadi senjata buat skuad kebangsaan.

Melihat kepada prestasi semasa, Safiq berada pada tahap terbaik bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) termasuk meledak lima gol dalam saingan Piala AFC namun persoalannya adakah dia benar-benar cergas untuk aksi antarabangsa selepas mengharungi jadual padat bersama kelabnya.

Bagi Safiq, dia percaya semua pemain sudah bersedia untuk memikul tugas mencabar berdepan pasukan pendahulu Kumpulan A Arab Saudi yang tidak pernah tewas di Stadium King Abdullah Sports City dalam saingan kelayakan setakat ini.

“Kami tahu Arab Saudi antara pasukan terbaik Asia. Jadi, kami akan bermain mengikut kemampuan dan kekuatan sendiri. Paling penting persembahan kami. Jadi kami perlu mengulangi persembahan di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media perlawanan itu di Jeddah semalam.

Pada pertemuan pertama dengan Arab Saudi yang terkenal dengan jolokan Green Falcons di Stadium Shah Alam September lalu, Safiq berjaya menyumbat satu gol bagi merapatkan kedudukan 2-1 sebelum perlawanan dihentikan akibat kekecohan Ultras Malaya di minit ke-88.

Atas insiden itu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menghadiahkan kemenangan percuma 3-0 kepada pasukan pelawat kendalian jurulatih Belanda Bert Van Marwijk itu.

Menurut Safiq, selepas Harimau Malaysia dipalit dengan kekecewaan tahun lalu menerusi beberapa keputusan buruk termasuk dibelasah 0-10 Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada kempen kelayakan, dia mengharapkan permulaan baik tahun ini.

“Kadangkala kami kecewa dengan apa yang dialami pemain sebelum ini. Jadi sekarang fasa baru, kami perlu buktikan sesuatu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 8:20 AM


- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/125075#sthash.wiAymFNR.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan