Isnin, 28 Mac 2016

Nepal beri pengajaran berguna

28 Mac 2016 1:07 AM
Pemain Malaysia B-22, Mohd. Zarulizwan Mazlan diasak pemain Nepal,
PEMAIN Malaysia B-22, Mohd. Zarulizwan Mazlan diasak pemain Nepal, Rabin Shrestha (kanan) dalam perlawanan persahabatan di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, semalam. utusan/ASWAD YAHYA
KUALA LUMPUR – Selepas mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Fi­lipina dalam perlawanan pertama, Rabu lalu, skuad Malaysia Bawah 22 tahun (B-22) menerima ujian sebenar apabila memerlukan gol lewat minit Muhammad Arif Mohd. Anwar untuk mengikat Nepal 1-1 dalam aksi persahabatan di Paroi, semalam.
Tidak seperti ketika menentang Filipina, jurulatih B-22 Malaysia, Frank Bernhardt gagal menggunakan hantaran-hantaran pendek sepenuhnya selepas Nepal, yang dibarisi pemain senior memberi tekanan sejak awal permainan di Stadium Tuanku Abdul Rahman.
Selepas menguasai sebahagian besar perlawanan, terutama pada separuh masa pertama, pasukan pelawat akhirnya menghukum skuad muda negara dengan membuka jaringan pada minit ke-37.
Bharat Khawas memanfaatkan kesilapan pertahanan Malaysia, Faris Shah Rosli sebelum menewaskan penjaga gol, Haziq Nadzli.
Kegagalan Faris membaca tepat bola hantaran tinggi membawa padah apabila Bharat dengan pantas mencuri bola daripadanya sebelum melepaskan rembatan yang gagal dibaca Haziq.
Nadzli sebelum itu ber­aksi cemerlang menghalang gawang Malaysia daripada dibolosi hasil rentetan serangan Nepal yang ber­aksi dengan tempo pantas.
Pada penghujung babak pertama, Bernhardt melakukan beberapa pertukaran, sebelum memasukkan Arif sebaik saja separuh masa kedua bersambung.
Arif berjaya merapatkan kedudukan hasil hantaran silang S. Kumaahran pada minit ke-86 menewaskan penjaga gol Nepal, Kiran Kumar Limbu yang masuk menggantikan Bikesh pada minit ke-65.
Begitupun, gol penyamaan itu hanya hadir empat minit sebelum masa permainan berakhir apabila Arif menggunakan kelincahannya untuk melepaskan rembatan mudah mengatasi penjaga gol Nepal.
Walaupun gagal mencatat kemenangan kedua, namun jaringan Arif sudah memadai untuk mengelakkan skuad projek Sukan SEA 2017 daripada mengalami kekalahan mengejut.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/nepal-beri-pengajaran-berguna-1.205611#sthash.tlWMxZYa.dpuf 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan