Isnin, 28 Julai 2014

KAPS PEMAIN MALAYSIA HINGGA 28 JULAI 2014

OLEH – AHMAD BIN YAAKOB
Pos.     Pemain                                     umur          Caps       Gol        Kelab/Negeri
GK      Khairul Azhan Khalid                24                  1          0          Pahang FA
MF      Mohd Badhri Mohd Radzi         32                  3          0          Kelantan FA
MF      Mohd Hafiz Kamal                    27                  3          0          Pahang FA
MF      Gopinathan Ramachandra          24                  4          0          Pahang FA
MF      Suppiah Chanturu                      26                  6          0          Sarawak FA
FW      Nor Farhan Muhammad            29                  12        0          Terengganu FA
DF       Zubir Azmi                                22                  13        0          Terengganu
DF       Mohd Muslim Ahmad               25                  19         0          PDRM FA
MF      Azamuddin Akil                        29                   21        4          Pahang FA
GK      Khairul Fahmi (c)                      25                  23        0          Kelantan FA
GK      Mohd Farizal Marlias                28                  24        0          Selangor FA
FW      Ahmad Fakri Saarani                25                  24        2          Kelantan FA
DF       Mohd Bunyamin Umar             26                  26        1          Selangor FA
MF      Baddrol Bakhtiar                       26                  26        3          Kedah FA
FW      Mohd Amri Yahyah                  33                  29        7          Johor Darul Takzim
DF       Fadhli Shas                               23                  31        0          Johor Darul Takzim
DF       Mohd Asraruddin Putra Omar  26                  33        0          Johor Darul Takzim
DF       Mahali Jasuli                             25                 34        2          Johor Darul Takzim
FW      Norshahrul Idlan Talaha            28                 40        5          Johor Darul Takzim
MF      Mohd Safiq Rahim                     27                 47        8          Johor Darul Takzim
MF      S. Kunanlan                               28                 47        0          Selangor FA
FW      Mohd Safee Mohd Sali              30                 56        21        Johor Darul Takzim
DF       Aidil Zafuan Abdul Radzak       26                 59        3          Johor Darul Takzim



Jumaat, 25 Julai 2014

Sudarsono yakin kemampuan Dollah

 
Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

SUDARSONO (kiri) mentifatkan pelantikan Dollah (kanan) sebagai jurulatih Harimau Malaya sebagai langkah yang bijak berdasarkan kredibilitinya sebagai pemain dan jurulatih.

PENGURUS pasukan Harimau Malaya, Datuk Sudarsono Osman optimis kredibiliti yang dimiliki ketua jurulatih, Dollah Salleh mampu menaikkan semula maruah bola sepak negara selepas ini.

Katanya, pemilihan Dollah selaku ketua jurulatih tepat pada masanya kerana legenda bola sepak negara itu bukan sahaja berjaya sebagai seorang pemain malah membuktikan dirinya mempunyai ‘sentuhan emas’ sebagai seorang jurulatih.

“Dollah merupakan salah seorang jurulatih paling berjaya dalam kancah bola sepak negara ketika ini.

“Saya berharap, Dollah akan menggunakan kepakaran dan pengalaman yang ada dalam dirinya untuk menaikkan semula kualiti bola sepak negara yang memerlukan standard lebih tinggi untuk bersaing di arena antarabangsa,” kata Sudarsono yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) itu kepada pemberita baru-baru ini.

Tambahnya, walaupun tidak pernah bekerjasama dengan Dollah sebelum ini namun beliau bertekad memikul amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya dan akan sentiasa menyokong usaha ke arah kebaikan bola sepak negara.

Pada Isnin lalu, FAM turut mengumumkan senarai penuh pegawai pasukan Harimau Malaya yang terdiri daripada Reduan Abdullah dilantik sebagai penolong jurulatih, Wan Mustaffa Wan Ismail (penolong jurulatih 2) dan Omar Salim (jurulatih penjaga gol).

Dalam perkembangan lain, Sudarsono memberi jaminan bahawa FAS tidak akan terjejas dengan pelantikan beliau sebagai Naib Presiden FAM dan juga pengurus pasukan Harimau Malaya.

Katanya, beliau masih komited terhadap tanggungjawab besar untuk membimbing FAS walaupun dibebani dua tugas lebih besar untuk bola sepak negara.

“Tidak timbul persoalan FAS akan terabai dengan pelantikan saya sebagai Naib Presiden FAM dan pengurus pasukan Harimau Malaya.

“Namun, saya menganggap pelantikan ini memberi satu kelebihan kepada FAS. Saya menerima tugasan itu kerana minat dan yakin mampu menguruskan masa dengan baik untuk bersama dengan keluarga, kerja rutin dan persatuan,” katanya lagi.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo 26.7.14

Pancing Dollah

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Aksi menentang Tajikistan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Dushanbe ibarat ‘talian hayat’ buat muka lama yang berada dalam skuad Harimau Malaya.

Perlawanan pada 8 Ogos itu menjadi ujian pertama buat Dollah Salleh mempamerkan sentuhannya selaku ketua jurulatih baru kebangsaan, namun yang lebih penting ia dianggap medan untuk beliau menilai sejauh mana Harimau Malaya boleh terus bergantung dengan pemain sedia ada.
Seramai 23 pemain dipanggil untuk menjalani latihan pusat bermula 1 Ogos dengan hanya empat pemain yang sebelum ini disisihkan, Mohd Muslim Ahmad (pertahanan), Norshahrul Idlan Talaha (penyerang), R Gopinathan dan S Chanturu (tengah) kembali mendapat tempat.Kedudukan pemain lain pula tidak berubah, sama seperti digunakan bekas jurulatih Datuk K Rajagobal untuk tempoh tiga hingga empat tahun lalu.
Pengurus pasukan Datu Sudarsono Osman berkata, semua pemain perlu menggunakan sebaik-baiknya peluang beraksi dengan Tajikistan untuk ‘memikat hati’ Dollah.
Ini kerana jika gagal, beliau percaya rombakan pemain akan dilakukan Dollah bagi beberapa perlawanan persahabatan termasuk Singapura dan Jordan sebelum menyertai Piala AFF bermula November ini.
 Foto
“Saya percaya semua pemain yang dipanggil perlu mengambil peluang ini kerana perlawanan dengan Tajikistan ini ujian buat mereka sama ada mampu atau tidak.
“Mereka perlu membuktikan kemampuan jika mahu terus kekal bersama pasukan. Selepas ini kami akan menilai prestasi pemain lain apabila kempen Piala Malaysia bermula bagi memilih pemain menentang Jordan,” katanya.

Menurut Sudarsono yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), beliau yakin Dollah yang dilantik pengendali Harimau Malaya pada 1 Julai lalu mampu melaksanakan tugas dengan baik meskipun dibayangi kejayaan Rajagobal memenangi Piala AFF 2010.
“Memang jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan penuh tekanan. Sudah pasti ramai pihak mahukan kejayaan lebih baik berbanding sebelum ini, begitu juga dengan kami.
“Dollah bukan saja berpengalaman sebagai jurulatih, tapi beliau juga bekas pemain kebangsaan yang bagus. Saya yakin beliau mampu meraih kejayaan di peringkat kebangsaan seperti dilakukan dalam aksi tempatan,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/25

Rabu, 23 Julai 2014

Harimau idam Piala AFF

Oleh Syed Riduan Ahmad | smriduan@bh.com.my 

Kuala Lumpur: Perlawanan persahabatan menentang Tajikistan di Stadium Central, Dushanbe 8 Ogos ini adalah aksi pertama skuad kebangsaan selepas perlawanan terakhir di Cebu, Filipina pada 27 April lalu.

Dalam tempoh tujuh bulan, skuad negara hanya mempunyai satu perlawanan kompetitif - kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Yaman - dan dua perlawanan persahabatan, kedua-duanya bertemu Filipina.


Berdasarkan kekerapan itu, ternyata Malaysia seperti tidak mempunyai tugasan penting tahun ini tetapi hakikatnya Piala Suzuki AFF yang menjadi kebanggaan negara dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) empat tahun lalu, menanti November ini.

Peminat bola sepak tempatan hanya menantikan apa yang mampu dilakukan Presiden baharu FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam memartabatkan kembali sukan itu, dan prestasi pasukan kebangsaan antara perkara pertama yang akan menjadi kayu ukur kepada perubahan dijanjikan badan induk bola sepak negara itu.

Walaupun hanya perlawanan persahabatan, pertemuan dengan Tajikistan akan menentukan hala tuju skuad kebangsaan yang kini dikendali Dollah Salleh - jurulatih tempatan yang dikatakan mempunyai sentuhan emas dengan pasukan-pasukan Liga Malaysia.

Tempoh persediaan singkat bakal mencabar keupayaan Dollah yang perlu mengembalikan kepercayaan peminat terhadap Harimau Malaya dan FAM, namun pengurusan badan induk itu menaruh penuh keyakinan terhadap kemampuan Dollah.

Tidak banyak beza

“Secara peribadi saya yakin sekurang-kurangnya kita akan ke final Piala Suzuki AFF,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga penolong pengurus pasukan kebangsaan.

Keyakinan itu mungkin tidak dirasai sebahagian besar peminat bola sepak tempatan memandangkan rata-rata pemain yang dipanggil Dollah tidak banyak bezanya dengan skuad sebelum ini yang gagal mempertahan kejuaraan dua tahun lalu.

Namun Dollah mempunyai perancangan tersendiri untuk mengembalikan kegemilangan barisan pemain yang pernah mengharumkan nama negara dengan menjuarai Piala Suzuki AFF buat pertama kali pada 2010.

Bagaimanapun kekuatan sebenar skuad negara terletak di tangan pemain sendiri, antaranya Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali, Mahalli Jasuli, Amri Yahyah, Fahdli Shas dan Khairul Fahmi Che Mat (Apek) yang menjadi teras kepada pasukan sejak beberapa tahun lalu.

Selepas menentang Tajikistan, Dollah dijangka akan memanggil beberapa pemain lagi termasuk pemain-pemain bawah 23 selepas mereka menamatkan saingan Piala Asia di Incheon, Korea Selatan September nanti.

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE 24.7.14

Jumaat, 18 Julai 2014

‘Biarkan Dollah...’

Oleh Aziman Rosdi 
Kuala Lumpur: Seperti diduga tidak banyak kejutan dalam senarai pilihan pemain jurulatih baru kebangsaan Dollah Salleh yang diumum semalam sekali gus mengundang persepsi sama ada skuad kebangsaan mampu mengorak langkah ke depan atau kekal di tahap sama.

Daripada 23 pemain dipanggil bagi kem latihan pusat 1 Ogos ini, hampir kesemuanya muka lama termasuk empat pemain dipanggil semula iaitu Mohd Muslim Ahmad, Norshahrul Idlan Talaha, R Gopinathan dan S Chanturu.

Alasan masa terlalu singkat mendorong Dollah yang menandatangani kontrak pada 1 Julai lalu, tidak boleh membuat rombakan drastik ke atas pasukannya bagi mengharungi ujian pertama dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Tajikistan, 8 Ogos ini.

Bagi bekas pemain kebangsaan Datuk M Karathu, beliau menganggap pemain dipilih yang terbaik dimiliki negara ketika ini dan berharap Dollah diberi masa untuk menilai setiap pemain bagi membuat sebarang perubahan ke atas skuad Harimau Malaya sebelum ke Kejohanan Piala AFF, November ini.

“Itulah pemain yang kita ada.
Saya percaya pemilihan pemain ini hanya untuk perlawanan dengan Tajikistan dan kemudian Dollah akan membuat penilaian sama ada mahu mengekalkan pemain lama atau memanggil muka baru bagi tugasan antarabangsa selepas itu.
 Foto
“Mungkin Dollah memilih pemain yang beliau sudah kenal corak permainannya lantaran tidak sempat menilai prestasi pemain kerana dilantik selepas Liga Malaysia berakhir.

Mungkin apabila Piala Malaysia bermula, beliau boleh memilih pemain mengikut prestasi semasa,” katanya kepada Arena Metro semalam.Berdasarkan senarai dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelmarin, barisan pemain hampir sama digunakan Dollah apabila nama seperti Mohd Safee Sali, Safiq Rahim, S Kunanlan dan Ahmad Fakri Saarani terus diberi peluang.

Mereka perubahan bakal berlaku jika FAM melantik jurulatih asing dan bukannya tempatan, namun persepsi itu disangkal Karathu yang juga bekas jurulatih Perak, Woodlands Wellington FC dan Kelantan.“Mana-mana jurulatih mahu memilih pemain terbaik untuk menyarung jersi kebangsaan dan begitu juga dengan Dollah.“Tidak guna memilih muka baru jika prestasinya tidak begitu bagus.

PENGALAMAN Dollah bimbing pasukan bawahan muncul juara jadi sandaran Harimau Malaya.
Kalau kita guna jurulatih asing, mereka perlu mendapat nasihat orang lain juga, tapi kalau jurulatih tempatan beliau sudah tahu tahap kemampuan seseorang pemain itu,” katanya.

sumber-Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Dollah mungkin suntuk masa: Mohamad


 Dollah mungkin suntuk masa: Mohamad

Dollah mungkin suntuk masa: Mohamad
Oleh Wan Fakhrul Bakar Cetak Emel Kawan
Gopinathan (kiri) antara yang diberi peluang Dollah menyertai skuad kebangsaan menentang Tajikistan.
'Beri peluang dahulu tapi dia perlu pilih pemain berdasar prestasi Piala Malaysia nanti'

Kuala Lumpur: "Skuad kebangsaan adalah pasukan nombor satu negara. Jadi ia mestilah hanya dibarisi oleh pemain terbaik yang kita ada.”

Itu tegas bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Mohamad Bakar ketika diminta mengulas senarai 23 pemain dipanggil jurulatih kebangsaan yang baharu, Dollah Salleh untuk tugasan sulungnya bertemu Tajikistan pada aksi persahabatan antarabangsa di Dushanbe, 8 Ogos ini.

Dollah dilihat mengekalkan muka lama yang pernah beraksi di bawah kendalian Datuk K Rajagobal dan pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee kecuali memanggil semula Muslim Ahmad, Norshahrul Idlan Talaha, R Gopinathan dan S Chanturu.

Sumber- Berita Harian online

Dollah panggil 23 pemain untuk sesi latihan pusat


Dollah Salleh

Dollah panggil 23 pemain untuk sesi latihan pusat
16 Julai 2014
Dollah Salleh Dollah Salleh

SEJUMLAH 23 pemain dipanggil oleh pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh, untuk menjalani latihan pusat, sebagai persediaan menghadapi perlawanan antarabangsa menentang Tajikistan di tempat lawan, 8 Ogos ini.
   
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini berkata, semua pemain berkenaan akan melaporkan diri kepada Dollah untuk sesi latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, beberapa hari sebelum mereka bertolak ke Tajikistan. 
   
Perlawanan menentang Tajikistan merupakan tugasan pertama Dollah selepas dilantik oleh FAM sebagai pengendali baharu skuad Harimau Malaya pada 9 Julai lepas.
   
Malaysia dijangka menentang Jordan pada aksi kedua persahabatan kelas 'A', 11 Oktober ini yang antara lain menjadi medan persiapan pasukan bagi menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 yang bakal dihoskan oleh Singapura dan Vietnam pada November ini.
   
Presiden baharu FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menetapkan sasaran ke final Piala AFF Suzuki 2014 kepada skuad Harimau Malaya.

Senarai 23 pelatih skuad Harimau Malaya:
   
Mahalli Jasuli, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, Mohd Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, Mohd Asraruddin Putra Omar, Mohd Safee Sali, Mohamad Fadhli Mohd Shas (Johor Darul Ta'zim).
   
Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, R. Gopinathan, Azamuddin Mohd Akil, Mohd Hafiz Kamal (Pahang); Mohd Farizal Marlias, S. Kunalan, Mohd Bunyamin Umar (Selangor); Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Badhri Mohd Radzi, Ahmad Fakri Saarani (Kelantan).
   
Mohd Norfarhan Mohamad, Muhammad Zubir Mohd Azmi (Terengganu); Mohd Muslim Ahmad (PDRM); S. Chanturu (Sarawak); Baddrol Bakhtiar (Kedah). - Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 18.7.14

Jumaat, 11 Julai 2014

Senarai penuh staf jurulatih minggu depan

PETALING JAYA - Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh, masih memerlukan masa sebelum mengumumkan senarai penuh staf jurulatih Harimau Malaya pada Isnin depan.

Selain itu, Dollah turut mengesahkan bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman Mohamed sedang menunggu pelepasan JDT II sebelum boleh membantunya selaku jurulatih baharu penjaga gol Harimau Malaya.

"Masih belum dapat sahihkan lagi siapa penolong jurulatih, dan senarai penuh yang akan membantu saya, kemungkinan pada Isnin ini akan dibuat pengumuman.

"Khairul Azman setakat ini tiada apa-apa masalah tambahan dia pun memang hendak ke sini cuma belum ada sebarang kata putus dari JDT II, tunggu kebenaran sahaja pada masa sekarang, " katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Dalam isu berlainan, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, mengesahkan hanya aksi persahabatan kelas A berdepan Tajikistan, dan Jordan dapat disahkan sehingga hari ini.

"Aksi dengan Tajikistan pada 8 Ogos, dan Jordan pada 11 Oktober setakat ini antara perlawanan persahabatan yang sudah boleh disahkan, manakala tarikh perlawanan dengan Singapura masih dibincangkan.

"Ini kerana mereka baharu sahaja menghantar surat kepada FAM menyatakan bahawa ada kejohanan ragbi, dan minta diawalkan pada bulan September, namun kami tidak boleh berbuat demikian kerana Piala Malaysia, kami akan cuba kekalkan pada bulan November sebelum kejohanan AFF.

"Manakala Korea Utara, kita juga tidak dapat bertemu mereka pada tahun ini kerana tarikh perlawanan yang diminta juga bertembung dengan Piala Malaysia, mungkin tahun hadapan kita aturkan sekali lagi.

"New Zealand pula kita akan sahkan beberapa hari lagi, tetapi kita cuba kekalkan pada tarikh di bulan November, beberapa hari sebelum kejohanan AFF, mungkin akan ada penambahan lagi perlawanan persahabatan jika itu dimahukan jurulatih," katanya.

Mengenai kejohanan Pestabola Merdeka, Hamidin mengesahkan pertandingan bola sepak tertua di Asia itu tidak dapat diadakan pada tahun ini ekoran kepadatan jadual di samping perlu memberi laluan kepada Sukan Asia 2014.

"Memandangkan ada Sukan Asia di samping Piala Malaysia juga bakal berjalan tidak lama lagi, memang tidak dapat diadakan kejohanan Pestabola pada tahun ini, dan skuad kebangsaan akan melakukan persiapan dengan mengadakan perlawanan persahabatan.

"Kejohanan Piala Malaysia juga akan diberhentikan sementara waktu sepanjang Sukan Asia berlangsung bagi memberi ruang kepada skuad Bawah 23 tahun beraksi di Inchoen, " kata Hamidin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140710/su_02/Senarai-penuh-staf-jurulatih-minggu-depan#ixzz37ANT89va © Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia, Filipina tidak bersama

KUALA LUMPUR - Filipina hampir pasti tidak akan diundi bersama Harimau Malaya dalam Kejohanan AFF 2014 apabila akan dipisahkan di saingan peringkat kumpulan pada majlis undian kumpulan pada 5 Ogos ini di Hanoi, Vietnam.

Ini menjadikan skuad kebangsaan tiada pilihan lain selain terpaksa berdepan finalis musim lalu, Thailand atau Indonesia di peringkat kumpulan, selain Singapura atau Vietnam selaku tuan rumah.

Berdasarkan penerangan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Datuk Azzuddin Ahmad, penilaian ranking setiap pasukan ditentukan mengikut prestasi keseluruhan sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1996.

Katanya, mengikut peraturan teknikal yang akan diguna pakai pada majlis undian nanti, Malaysia dan Filipina akan diletakkan di balang dua, diikuti Thailand dan Indonesia berada dalam balang tiga manakala Singapura dan Vietnam, di dalam balang satu sebelum diundi sama ada berada dalam Kumpulan A atau B.

Dua lagi tempat akan ditentukan dari lima pasukan kelayakan yang terdiri daripada Myanmar, Laos, Kemboja, Brunei dan Timor Leste yang akan beraksi pada pusingan kelayakan dari 12 hingga 20 Oktober di Laos.

"Malaysia akan berada dalam balang dua bersama Filipina manakala Thailand dan Indonesia, berdasarkan prestasi sepanjang Kejohanan AFF diperkenalkan, akan berada dalam balang ketiga selaku dua pasukan yang mempunyai ranking lebih baik.

"Tuan rumah, Singapura dan Vietnam akan diletakkan di dalam balang pertama sementara dua lagi pasukan dari pusingan kelayakan hanya akan diketahui kemudian.

"Namun, kita akan tetap melakukan cabutan dengan meletakkan status juara dan naib juara pusingan kelayakan dan dua pasukan yang berjaya akan terus mengisi slot di dalam kumpulan masing-masing selepas pusingan kelayakan," katanya ketika dihubungi semalam.

Pada Kejohanan AFF 2012, Harimau Malaya yang turun dengan reputasi juara bertahan berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan walaupun dimalukan 0-3 oleh Singapura pada aksi sulung selepas menang ke atas Laos dan Indonesia.

Malangnya, Harimau Malaya terkandas di separuh akhir setelah tewas dengan agregat 3-1 kepada Thailand, yang kemudian kalah kepada Singapura yang muncul juara Kejohanan AFF buat kali ketiga.

Skuad negara setakat ini hanya sekali muncul juara iaitu pada 2010 ketika di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal, selain beraksi di perlawanan akhir pada tahun 1996.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140710/su_04/Malaysia-Filipina-tidak-bersama#ixzz37AKEjRkr © Utusan Melayu (M) Bhd

Misi sukar Dollah

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Datu Sudarsono Osman (kiri) berjabat tangan dengan Dollah Salleh semasa sidang akhbar pengumuman jurulatih baharu skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya , semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR
PETALING JAYA - Walaupun dilantik dalam tempoh kurang lima bulan menjelang kejohanan AFF 2014, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih berani meletakkan satu sasaran yang cukup tinggi buat Dollah Salleh untuk sekurang-kurangnya layak ke perlawanan akhir.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diletakkan oleh Dollah dilihat seperti satu bebanan memandangkan pengendali berusia 51 tahun itu mempunyai masa yang singkat membentuk sebuah skuad yang mantap tambahan kejohanan Piala Malaysia turut berlangsung sepanjang tempoh persiapan menuju ke kejohanan AFF.

Malah, hanya dua perlawanan persahabatan sahaja sudah disahkan oleh FAM dengan dua lagi masih lagi dalam proses perbincangan, sekali gus menyukarkan Dollah menguji kombinasi terbaik bagi persiapan skuad Harimau Malaya sebelum terbang ke Singapura atau Vietnam pada November ini.

Bagaimanapun, pengendali berusia 51 tahun itu tidak gentar untuk menyahut cabaran berkenaan dan berazam akan menyediakan skuad yang mantap bagi menghadapi kejohanan AFF yang akan berlangsung dari 22 November hingga 20 Disember.

"Dah jadi lumrah sebagai seorang jurulatih, sasaran yang tinggi pasti akan diletakkan di bahu saya, dan walaupun masa terlalu singkat, saya telah diberikan sasaran (oleh FAM) untuk layak ke perlawanan akhir di kejohanan AFF.

"Saya akan cuba melakukan sesuatu, dan percaya boleh melakukannya untuk pasukan kebangsaan biarpun saya percaya ini bukan satu perkara yang mudah," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar memperkenalkan jurulatih baharu di Wisma FAM, semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, pengurus Harimau Malaya yang juga Naib Presiden FAM, Datu Sudarsono Osman, dan Pengarah Teknikal FAM, Fritz Schmid.

Dollah ditawarkan kontrak selama dua tahun setengah bermula dari 1 Julai 2014 hingga 31 Disember 2016 bagi menggantikan tempat Datuk K. Rajagobal yang tidak ditawarkan kontrak baharu selepas 31 Disember 2013.

Sebelum ini, kerusi panas Harimau Malaya dikendalikan sementara jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee selama enam bulan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2015.

Cabaran terdekat yang akan dilalui oleh Dollah adalah mengumpulkan pemain selepas Hari Raya Aidilfitri dengan perlawanan persahabatan berdepan Tajikistan yang dijadualkan pada 8 Ogos.

"Ini satu lagi tugasan yang sukar kerana kita hanya mempunyai masa yang singkat untuk melatih semua pemain kerana hanya dua atau tiga hari sahaja di sini sebelum bertolak ke sana.

"Mungkin pada penghujung September, kita mempunyai masa sekurang-kurangnya 20 hari untuk berlatih bersama, dan diharapkan daripada situ, saya dapat melakukan sesuatu, " katanya.

Dalam masa sama, Dollah membayangkan akan mengekalkan majoriti 60 hingga 70 peratus muka-muka lama dalam pasukan Harimau Malaya sambil menjadikan Piala Malaysia sebagai medan mencari bakat-bakat baru.

"Buat masa ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan tidak lama lagi, saya akan menyenaraikan pemain-pemain lama, namun menjelang Piala Malaysia tidak lama lagi, saya akan memantau secara dekat prestasi para pemain.

"Daripada situ, saya akan membuat penilaian terbaru, dan menguji mana-mana pemain yang difikirkan layak sebelum kita mendapat kombinasi terbaik bagi mengharungi kejohanan AFF," katanya.

RUJUKAN-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140710/su_01/Misi-sukar-Dollah#ixzz37A5qYDOB © Utusan Melayu (M) Bhd