Jumaat, 11 Julai 2014

Malaysia, Filipina tidak bersama

KUALA LUMPUR - Filipina hampir pasti tidak akan diundi bersama Harimau Malaya dalam Kejohanan AFF 2014 apabila akan dipisahkan di saingan peringkat kumpulan pada majlis undian kumpulan pada 5 Ogos ini di Hanoi, Vietnam.

Ini menjadikan skuad kebangsaan tiada pilihan lain selain terpaksa berdepan finalis musim lalu, Thailand atau Indonesia di peringkat kumpulan, selain Singapura atau Vietnam selaku tuan rumah.

Berdasarkan penerangan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Datuk Azzuddin Ahmad, penilaian ranking setiap pasukan ditentukan mengikut prestasi keseluruhan sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1996.

Katanya, mengikut peraturan teknikal yang akan diguna pakai pada majlis undian nanti, Malaysia dan Filipina akan diletakkan di balang dua, diikuti Thailand dan Indonesia berada dalam balang tiga manakala Singapura dan Vietnam, di dalam balang satu sebelum diundi sama ada berada dalam Kumpulan A atau B.

Dua lagi tempat akan ditentukan dari lima pasukan kelayakan yang terdiri daripada Myanmar, Laos, Kemboja, Brunei dan Timor Leste yang akan beraksi pada pusingan kelayakan dari 12 hingga 20 Oktober di Laos.

"Malaysia akan berada dalam balang dua bersama Filipina manakala Thailand dan Indonesia, berdasarkan prestasi sepanjang Kejohanan AFF diperkenalkan, akan berada dalam balang ketiga selaku dua pasukan yang mempunyai ranking lebih baik.

"Tuan rumah, Singapura dan Vietnam akan diletakkan di dalam balang pertama sementara dua lagi pasukan dari pusingan kelayakan hanya akan diketahui kemudian.

"Namun, kita akan tetap melakukan cabutan dengan meletakkan status juara dan naib juara pusingan kelayakan dan dua pasukan yang berjaya akan terus mengisi slot di dalam kumpulan masing-masing selepas pusingan kelayakan," katanya ketika dihubungi semalam.

Pada Kejohanan AFF 2012, Harimau Malaya yang turun dengan reputasi juara bertahan berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan walaupun dimalukan 0-3 oleh Singapura pada aksi sulung selepas menang ke atas Laos dan Indonesia.

Malangnya, Harimau Malaya terkandas di separuh akhir setelah tewas dengan agregat 3-1 kepada Thailand, yang kemudian kalah kepada Singapura yang muncul juara Kejohanan AFF buat kali ketiga.

Skuad negara setakat ini hanya sekali muncul juara iaitu pada 2010 ketika di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal, selain beraksi di perlawanan akhir pada tahun 1996.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140710/su_04/Malaysia-Filipina-tidak-bersama#ixzz37AKEjRkr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan