Jumaat, 11 Julai 2014

Misi sukar Dollah

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Datu Sudarsono Osman (kiri) berjabat tangan dengan Dollah Salleh semasa sidang akhbar pengumuman jurulatih baharu skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya , semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR
PETALING JAYA - Walaupun dilantik dalam tempoh kurang lima bulan menjelang kejohanan AFF 2014, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih berani meletakkan satu sasaran yang cukup tinggi buat Dollah Salleh untuk sekurang-kurangnya layak ke perlawanan akhir.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diletakkan oleh Dollah dilihat seperti satu bebanan memandangkan pengendali berusia 51 tahun itu mempunyai masa yang singkat membentuk sebuah skuad yang mantap tambahan kejohanan Piala Malaysia turut berlangsung sepanjang tempoh persiapan menuju ke kejohanan AFF.

Malah, hanya dua perlawanan persahabatan sahaja sudah disahkan oleh FAM dengan dua lagi masih lagi dalam proses perbincangan, sekali gus menyukarkan Dollah menguji kombinasi terbaik bagi persiapan skuad Harimau Malaya sebelum terbang ke Singapura atau Vietnam pada November ini.

Bagaimanapun, pengendali berusia 51 tahun itu tidak gentar untuk menyahut cabaran berkenaan dan berazam akan menyediakan skuad yang mantap bagi menghadapi kejohanan AFF yang akan berlangsung dari 22 November hingga 20 Disember.

"Dah jadi lumrah sebagai seorang jurulatih, sasaran yang tinggi pasti akan diletakkan di bahu saya, dan walaupun masa terlalu singkat, saya telah diberikan sasaran (oleh FAM) untuk layak ke perlawanan akhir di kejohanan AFF.

"Saya akan cuba melakukan sesuatu, dan percaya boleh melakukannya untuk pasukan kebangsaan biarpun saya percaya ini bukan satu perkara yang mudah," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar memperkenalkan jurulatih baharu di Wisma FAM, semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, pengurus Harimau Malaya yang juga Naib Presiden FAM, Datu Sudarsono Osman, dan Pengarah Teknikal FAM, Fritz Schmid.

Dollah ditawarkan kontrak selama dua tahun setengah bermula dari 1 Julai 2014 hingga 31 Disember 2016 bagi menggantikan tempat Datuk K. Rajagobal yang tidak ditawarkan kontrak baharu selepas 31 Disember 2013.

Sebelum ini, kerusi panas Harimau Malaya dikendalikan sementara jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee selama enam bulan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2015.

Cabaran terdekat yang akan dilalui oleh Dollah adalah mengumpulkan pemain selepas Hari Raya Aidilfitri dengan perlawanan persahabatan berdepan Tajikistan yang dijadualkan pada 8 Ogos.

"Ini satu lagi tugasan yang sukar kerana kita hanya mempunyai masa yang singkat untuk melatih semua pemain kerana hanya dua atau tiga hari sahaja di sini sebelum bertolak ke sana.

"Mungkin pada penghujung September, kita mempunyai masa sekurang-kurangnya 20 hari untuk berlatih bersama, dan diharapkan daripada situ, saya dapat melakukan sesuatu, " katanya.

Dalam masa sama, Dollah membayangkan akan mengekalkan majoriti 60 hingga 70 peratus muka-muka lama dalam pasukan Harimau Malaya sambil menjadikan Piala Malaysia sebagai medan mencari bakat-bakat baru.

"Buat masa ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan tidak lama lagi, saya akan menyenaraikan pemain-pemain lama, namun menjelang Piala Malaysia tidak lama lagi, saya akan memantau secara dekat prestasi para pemain.

"Daripada situ, saya akan membuat penilaian terbaru, dan menguji mana-mana pemain yang difikirkan layak sebelum kita mendapat kombinasi terbaik bagi mengharungi kejohanan AFF," katanya.

RUJUKAN-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140710/su_01/Misi-sukar-Dollah#ixzz37A5qYDOB © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan