PETALING JAYA - Jurulatih
Harimau Malaya, Dollah Salleh, masih memerlukan masa sebelum mengumumkan
senarai penuh staf jurulatih Harimau Malaya pada Isnin depan.
Selain itu, Dollah turut
mengesahkan bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman Mohamed sedang menunggu
pelepasan JDT II sebelum boleh membantunya selaku jurulatih baharu penjaga gol
Harimau Malaya.
"Masih belum dapat
sahihkan lagi siapa penolong jurulatih, dan senarai penuh yang akan membantu
saya, kemungkinan pada Isnin ini akan dibuat pengumuman.
"Khairul Azman setakat ini
tiada apa-apa masalah tambahan dia pun memang hendak ke sini cuma belum ada
sebarang kata putus dari JDT II, tunggu kebenaran sahaja pada masa sekarang,
" katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.
Dalam isu berlainan, Setiausaha
Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, mengesahkan hanya aksi persahabatan kelas
A berdepan Tajikistan, dan Jordan dapat disahkan sehingga hari ini.
"Aksi dengan Tajikistan
pada 8 Ogos, dan Jordan pada 11 Oktober setakat ini antara perlawanan
persahabatan yang sudah boleh disahkan, manakala tarikh perlawanan dengan
Singapura masih dibincangkan.
"Ini kerana mereka baharu
sahaja menghantar surat kepada FAM menyatakan bahawa ada kejohanan ragbi, dan
minta diawalkan pada bulan September, namun kami tidak boleh berbuat demikian
kerana Piala Malaysia, kami akan cuba kekalkan pada bulan November sebelum kejohanan
AFF.
"Manakala Korea Utara,
kita juga tidak dapat bertemu mereka pada tahun ini kerana tarikh perlawanan
yang diminta juga bertembung dengan Piala Malaysia, mungkin tahun hadapan kita
aturkan sekali lagi.
"New Zealand pula kita
akan sahkan beberapa hari lagi, tetapi kita cuba kekalkan pada tarikh di bulan
November, beberapa hari sebelum kejohanan AFF, mungkin akan ada penambahan lagi
perlawanan persahabatan jika itu dimahukan jurulatih," katanya.
Mengenai kejohanan Pestabola
Merdeka, Hamidin mengesahkan pertandingan bola sepak tertua di Asia itu tidak
dapat diadakan pada tahun ini ekoran kepadatan jadual di samping perlu memberi
laluan kepada Sukan Asia 2014.
"Memandangkan ada Sukan
Asia di samping Piala Malaysia juga bakal berjalan tidak lama lagi, memang
tidak dapat diadakan kejohanan Pestabola pada tahun ini, dan skuad kebangsaan
akan melakukan persiapan dengan mengadakan perlawanan persahabatan.
"Kejohanan Piala Malaysia
juga akan diberhentikan sementara waktu sepanjang Sukan Asia berlangsung bagi
memberi ruang kepada skuad Bawah 23 tahun beraksi di Inchoen, " kata
Hamidin.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140710/su_02/Senarai-penuh-staf-jurulatih-minggu-depan#ixzz37ANT89va
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan