Ahad, 11 September 2016 |
12:04am
Oleh Hasbullah Ibrahim
bhnews@bh.com.my
Kongsi artikel
KOTA BHARU: Tanggal April 1980
adalah detik yang tidak boleh dilupakan bekas pemain pertahanan negara, Yassin
Mohd Noor, apabila terpilih menganggotai skuad Olimpik.
Sejak remaja, Yassin
mengimpikan saat mewakili negara kerana minat yang mendalam terhadap bola sepak
sehingga sanggup berjalan kaki sejauh tiga kilometer dari rumahnya ke stadium.
"Sampaikan kaki luka
terkena tin atau kaca kami tidak hiraukan kerana terlalu minat dengan sukan
bola sepak," katanya.
Ditanya rahsia digelar sebagai
'kereta kebal', Yassin menjelaskan gelaran itu diberikan rakan pasukan ketika
menyertai Kelantan.
Ini kerana, apabila beraksi
untuk Kelantan, penyerang lawan sukar menembusi benteng pertahanan yang dikawal
berikutan kepantasan larian dimilikinya sehinggakan mereka sukar menghampiri
kawasan penalti Kelantan.
YASSIN bersama Datuk Mokhtar
Dahari (tiga dari kiri) dan pemain bergambar bersama peminat ketika persiapan
Pra Piala Dunia di Wisma FAM. - Foto Syamsi Suhaimi
YASSIN menunjukkan pingat yang
diperolehinya semasa menyertai sukan Sea Manila pada tahun 1981 dan gambar
kenangan bersama Datuk Mokhtar Dahari ketika ditemui di rumahnya di Kampung
Tanjung Mas, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
"Saya mempunyai rahsia untuk
mengekalkan kecergasan untuk 'memintas' pemain lawan. Setiap kali tamat
latihan, saya akan buat sendiri latihan tambahan di sekitar kawasan kebun getah
dengan teknik berlari ulang alik sejauh 35 meter sebanyak 30 kali sehari.
Berkongsi detik dipanggil menyertai
skuad negara, Yassin begitu teruja apabila diberi peluang menimba pengalaman
bersama skuad 1980 yang dibarisi pemain hebat seperti Datuk R Arumugam, Datuk
Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh dan Khalid Ali.
Pada usia 22 tahun, Yassin
cukup bersemangat menjalani latihan walaupun kerap berada di bangku pemain
simpanan kerana persaingan sengit dengan pemain tersohor seperti Chin Aun, dan
Santokh Singh yang mengetuai barisan pertahanan negara.
Katanya, pemilihan pemain
ketika itu sangat teliti. Seramai 40 bakal pemain akan melalui dua tempoh
saringan penilaian yang diketuai ketua jurulatih, Karl Heinz Weigang.
YASSIN bersama kapten pasukan
Pulau Pinang, Kamal Khalid semasa perlawanan Islamic Games di Turki 1980 ketika
ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Mas, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
PEMAIN bola sepak skuad Olimpik
Moscow 1980, Yassin Mohd Noor.
"Walaupun peristiwa
suka-duka pertandingan peringkat kelayakan Olimpik sudah berlalu hampir 36
tahun di Stadium Merdeka, ia masih segar dalam ingatan dan tidak mungkin akan
dilupakan sampai bila-bila.
"Jepun dan Korea Selatan
adalah pencabar utama kerana dibarisi pemain yang beraksi di liga antarabangsa.
"Saingan amat sengit
ketika Malaysia bertemu Korea Selatan dan kita menang 2-1. Bakri Ibni membuka
jaringan minit ke-12 diiringi sorakan padu kira-kira 50,000 penyokong
membuatkan kem pasukan lawan terdiam seketika.
"Bayangkan susuk tubuh
pemain lawan jauh lebih besar berbanding pasukan negara, namun benteng
pertahanan diketuai Chin Aun dan Santokh Singh sukar ditembusi Gang-Nam Kim
(penyerang Korea).
"Malah gol kedua James
Wong minit ke-85 terus melenyapkan impian Korea Selatan yang bercita-cita
mengisi satu slot ke Olimpik Moscow.
"Gol kedua yang penting
itu adalah hasil sentuhan semangat berpasukan terutama barisan hadapan diketuai
James Wong yang nyata memperagakan aksi terpuji memperdayakan beberapa
pertahanan lawan dan melakukan rembatan deras," katanya.
YASSIN ketika menerima hadiah
daripada Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra selepas menjuarai Piala Emas
Raja-Raja pada tahun 1982 di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu. - Foto
Syamsi Suhaimi
"Saya bukan kaki
gadu"
Selaku pemain pertahanan, ada
kalanya mereka mesti memiliki karektor garang, kasar dan keras dalam mengekang
asakan lawan.
Bagi Yassin, perkara lebih
penting ialah memiliki kepantasan untuk membaca pergerakan dan hantaran bola
pemain lain.
Atas sebab itulah, pemain
negara diarahkan menjalani latihan ala tentera di Kem Sungai Udang, Melaka dan
terbukti ia, menjadi resipi kejayaan pasukan ketika itu.
Walaupun ia sekadar latihan
kekuatan mental dan fizikal, tahap kecergasan adalah persediaan utama menghadapi
lawan yang kuat seperti Jepun dan Korea Selatan.
"Sebelum menghadapi
perlawanan sebenar, kami didedahkan dengan latihan yang lasak dan mencabar
minda. Latihan tertumpu kepada aspek kepantasan mengawal tempo larian dalam
tempoh 90 minit permainan.
PEMAIN bola sepak skuad Olimpik
Moscow 1980, Yassin Mohd Noor.
"Latihan ini berjaya
melahirkan pemain berkebolehan mengekang asakan lawan seperti Soh Chin Aun yang
gemar menggunakan tahap kepantasan larian untuk mengawal benteng akhir negara.
"Saya sedikit terkilan
kerana kita tidak dapat beraksi di pusingan akhir di Moscow, namun kami tetap
bangga kerana berjaya menundukkan jaguh Asia ketika itu Korea Selatan dan
berada di kelompok teratas setanding pasukan elit di peringkat
antarabangsa," katanya.
Penarikan diri pasukan ke
pusingan akhir Olimpik di Moscow menyebabkan beliau turut kecewa namun atas
faktor keselamatan negara Yassin tetap akur dan menerima keputusan itu dengan
hati terbuka. Sedikit sebanyak peristiwa itu memberi kesan sepanjang pembabitan
kariernya dalam dunia bola sepak.
Pemain yang memakai jersi
nombor 15 itu menepis tanggapan dia seorang panas baran atau pun kaki gaduh di
atas padang sebaliknya memberitahu mungkin aksi keras dan kasar membuatkannya
dilabelkan sedemikian.
"Orang mungkin anggap saya
terlalu keras tetapi memang itulah corak permainan saya sejak dulu lagi.
YASSIN bergambar bersama ahli
keluarganya. - Foto Syamsi Suhaimi
"Kalau pemain lawan main
elok, saya pun main macam biasa saja. Kita main secara profesional, kalau bola
itu 50-50 (peluang) memang saya akan makan (cantas) pemain lawan,"
katanya.
Maka tidak hairanlah, Yassin
yang kini seorang ahli perniagaan menganggap, ramai penyerang kebangsaan
seperti Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Allahyarham Mokhtar Dahari dan
James Wong sentiasa gentar setiap kali mendengar namanya berada dalam
kesebelasan utama apabila pasukan lawan beraksi di Kota Bharu.
Namun, pemain ini juga pernah
mengalami detik hitam kerana digantung kerana menumbuk pengadil ketika
perlawanan Kelantan menentang Singapura pada 11 Julai 1989.
"Saya buat keputusan untuk
bersara sejurus dijatuhi hukuman itu. Saya bukanlah seorang pemain yang panas
baran tetapi entah macam mana malam itu, mungkin saya gagal mengawal emosi
ketika itu," katanya.
PEMAIN pertahanan negara,
Yassin Mohd Noor digelar "kereta kebal" kerana corak pertahanan
ampuhnya.
Profil: Yassin Mohd Noor
Tarikh lahir : 25 Mac 1960
Umur: 56 tahun
Adik beradik: 7 orang
Tempat lahir : Tanjong Mas,
Kota Bharu, Kelantan
Posisi : Pertahanan tengah
Nombor jersi: 15
Isteri : Faridah Mohammad Nasir
Bilangan anak : 4 orang
Idola : Datuk Mokhtar Dahari
Kerjaya : Ahli perniagaan
Size kasut: 6
Pencapaian dan karier:
Kelantan (1978 - 1986)
Kelab BBMB (1981 - 2001)
Sukan SEA 1981
Kelayakan Olimpik Moscow di
Kuala Lumpur 1980
Piala FAM Malaysia
Piala Emas Raja-Raja
Piala Malaysia
Karier Jurulatih:
JKR Kelantan(2002); SKMK
Kelantan (2003) dan JPS Kelantan (2004)
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 11 September 2016 |
12:04am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan