Sabtu, 23 September 2017

Keyakinan, tekanan bersama Malaysia -- Kelayakan Olimpik 2008



 ARKIB : 18/04/2007
 Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

PETALING JAYA – Tekanan untuk memenangi perlawanan bola sepak Kumpulan B pusingan kedua Kelayakan Olimpik lebih berpihak kepada Malaysia berbanding lawannya, Hong Kong di Stadium Petaling Jaya, malam ini.

Selepas cuma mengutip tiga mata daripada tiga perlawanan sehingga bulan lalu, anak buah B. Sathianathan turun dengan misi mesti menang sedangkan Hong Kong hanya mahu menimba pengalaman kerana menyedari peluang mereka kian tertutup.

Ditambah beraksi di gelanggang dan berdepan penonton sendiri, Malaysia juga tidak mampu untuk sekadar berpuas hati dengan seri sekiranya masih mengidam dua tempat teratas supaya layak ke pusingan akhir Olimpik.

‘‘Tiga mata tetap menjadi sasaran penting kita dan saya dan pemain yakin kita akan mencapainya. Seri memang masih boleh diterima jika itu keputusannya tetapi ia hanya akan menyusahkan kita (ke pusingan akhir).

‘‘Cuma kemenangan bakal meningkatkan keyakinan kita apabila menentang Syria, 16 Mei ini (di Stadium Petaling Jaya setelah kalah 3-1 di Damsyik, 28 Februari lalu,’’ kata Sathianathan pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Menurut Sathianathan, penyerang muda Negeri Sembilan, Zaquan Adha Razak bakal menikmati aksi sulungnya dalam skuad Olimpik negara dan mungkin bergandingan dengan Samransak Kram untuk mengatasi ketumpulan penyudah Malaysia.

Malaysia bagaimanapun kehilangan tiga tonggak kesebelasan utama iaitu ketua pasukan, Ahmad Azlan Zainal, bek kiri S. Subramaniam dan penyerang, Azril Hamid, masing-masing kerana kecederaan dan penggantungan satu perlawanan.

Jurulatih Hong Kong, Tsang Wai Chung pula mengakui Malaysia mempunyai banyak kelebihan dari segi persediaan, disiplin pemain dan susuk tubuhnya tetapi anak buahnya tetap mahu turun dengan persembahan terbaik.

‘‘Secara kasarnya, peluang kami ke pusingan akhir sudah tertutup selepas kalah tiga perlawanan tetapi kami turun tanpa tekanan sedangkan Malaysia masih mahu memburu kemenangan dan dua tempat teratas.

‘‘Bagaimanapun, bagi saya daripada tiga perlawanan lalu, mutu permainan kami sebenarnya masih setanding dengan Malaysia, Syria dan hanya Jepun yang merupakan pasukan terbaik dalam kumpulan ini.

‘‘Bezanya mungkin persediaan, cuaca dan suasana hari perlawanan tetapi saya telah kerah pemain kami supaya belajar daripada perlawanan ini kerana peluang menang masih 50-50,’’ katanya.

Wai Chung turut mengakui, anak buahnya mencipta beberapa peluang menarik biarpun kalah tipis kepada Malaysia 1-0 di Stadium Mongkok, Hong Kong pada 28 Mac lalu dan hanya gagal menyudahkannya ke gawang lawan.

‘‘Pemain kami juga kurang berdisiplin dan hilang kawalan perasaan pada minit terakhir ketika itu (sehingga dua orang dibuang padang dan digantung perlawanan malam ini),’’ katanya yang melatih Hong Kong bersama pembantunya, Lai Sun Cheung.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tWbvNYXO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan