Khamis, 21 September 2017

Malaysia turun tanpa tekanan



ARKIB : 04/03/2007 
BANDAR SERI BEGAWAN – Pasukan bawah 18 tahun Malaysia tidak perlu berasa dibebani sebarang tekanan apabila berdepan dengan Vietnam pada perlawanan pembukaan Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Trofi Hassanal Bolkiah (HBT) di Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah di sini, malam ini.

Jurulatih skuad remaja kebangsaan, K. Rajagobal berkata, ini kerana pasukan itu baru ditubuhkan 10 hari lepas dan pertama kali beraksi di peringkat antarabangsa sedangkan Vietnam menurunkan skuad bawah 20 tahun yang boleh dianggap sudah matang.

“Berilah kami ruang untuk bernafas. Apa sekalipun keputusannya malam esok (hari ini) dan pada penghujung kejohanan HBT ini, ia tidak mencerminkan prestasi sebenar pasukan bawah 18 tahun itu,” katanya selepas sesi latihan di Kompleks Sukan Berakas, semalam.

Menurut Rajagobal, pasukan itu, yang hanya berkesempatan mengadakan latihan pusat selama seminggu, memerlukan lebih banyak sokongan memandangkan pemainnya bakal menganggotai pasukan yang akan menyertai Kejohanan Kelayakan Bawah 19 Tahun AFC di Ho Chi Minh City, Vietnam pada Oktober ini.

“Esok, kami akan berdepan dengan pasukan Vietnam yang sudah matang. Saya telah beritahu anak buah saya supaya melakukan yang terbaik dan sebagai jurulatih, saya tidak mengenakan sebarang tekanan terhadap mereka dan kami tidak menetapkan sebarang sasaran pada kejohanan HBT ini,” katanya.

Pada pertemuan hari ini, Vietnam akan menurunkan pasukan yang sebahagian besar anggotanya bermain dengan kelab terkemuka Ho Chi Minh City, Hoang Anh Gia Lai Club.

Pengurus pasukan Vietnam, Huynh Van Anh berkata, pasukannya dibarisi pemain berusia antara 17 dan 19 tahun yang dikumpul sejak kira-kira setahun lepas.

– Bernama

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tMVALMbI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan