Sabtu, 30 September 2017

Pandang depan, simpan sejarah – Norizan Bakar



ARKIB : 24/06/2007 
MUKADIMAH
TIDAK gemar menonjolkan individu tertentu, mengutamakan semangat sepasukan dan mengambil pendekatan selamat merupakan tiga pantang larang yang tidak sesekali dilanggar ketua jurulatih bola sepak negara, Norizan Bakar apabila ditemu bual media.

Bagi Norizan atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Jan, semakin kurang bercakap dan menumpukan tugas membentuk skuad negara lebih penting biarpun riak wajahnya kadangkala menggambarkan tersepit antara kepentingan bola sepak negara, kemahuan majikannya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan desakan persatuan negeri dalam isu perebutan pemain pada Liga Malaysia.

Sejak menjawat kerusi panas itu pada September 2005, anak jati Perlis ini menghadapi misi kemuncak kejurulatihannya iaitu Kejohanan Piala Asia yang akan berlangsung 7 hingga 29 Julai ini.

Kepada wartawan Mingguan Malaysia, ABDUL HAFIZ AHMAD, Norizan, 45, meluahkan pandangannya berhubung skuad negara yang menganggotai Kumpulan C menentang China, Uzbekistan dan Iran.

MINGGUAN: Mengapa Indra Putra Mahyuddin masih diperlukan sedangkan dia baru kembali ke aksi sebenar dan terbukti tumpul walaupun hanya dengan Kemboja (persahabatan, Isnin lalu)?

NORIZAN: Setiap pemain dalam skuad 30 pemain ke Piala Asia merupakan yang terbaik di Malaysia. Saya yakin dengan mereka. Saya juga memilih mereka selepas mendapatkan pandangan beberapa pihak selain menilai prestasi dalam Liga Malaysia dan siri perlawanan persahabatan di Sri Lanka dan Australia, Kejohanan AFF (Januari hingga Mei lalu) dan Pestabola Merdeka, tahun lalu.

Aksi sulung pasti mencabar apatah lagi berdepan China yang juga naib juara Piala Asia 2004, apa sasaran dan harapan anda kepada pasukan?

NORIZAN: Kali terakhir kita menentang lawan ialah pada 2004 di Pulau Pinang (Kelayakan Piala Dunia) dan kita hanya kalah tipis 1-0, jadi ia menunjukkan tahap permainan kita dengan lawan tidak banyak beza.

Kali terakhir kita layak secara merit (menerusi pusingan kelayakan) ialah pada 1980 di Kuwait. Adakah ia satu kejayaan besar atau sasaran anda jika mampu menyamai pencapaian ketika itu yang cuma kurang satu mata ke separuh akhir?

NORIZAN: Saya tidak tahu kerana saya sendiri belum terlibat dengan skuad negara ketika itu tetapi bagi saya, yang sejarah itu biarkan ia kekal dalam sejarah. Namun, Piala Asia ini ialah satu peluang besar yang perlu direbut pasukan apatah lagi kita layak sebagai tuan rumah dan saya menganggapnya macam Piala Dunia Mini. Kami tidak akan toleh belakang lagi.

Malaysia kalah 3-1 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam persahabatan, Khamis lalu biarpun lawan tidak mengamalkan corak permainan yang menarik, ulasan anda?

NORIZAN: Kita menentang satu lagi pasukan peserta Piala Asia yang saya rasa inilah mutu permainan yang bakal diharungi dan amat baik untuk kita menjelang pertandingan sebenar. Yang positifnya ialah kami mengutip pengajaran agar jangan hilang tumpuan walau sesaat pun kerana akan jadilah pelbagai kesan buruk (seperti melepaskan tiga gol mudah).

Anda masih di peringkat melakukan eksperimen atau adakah kesebelasan terbaik Malaysia telah diperoleh selepas mengganyang Kemboja 6-0 di Shah Alam?

NORIZAN: Kami akan mencuba yang terbaik dan masih mencari adunan tetapi tanpa rombakan besar. Kami ke arah membina pasukan. Masih ada masa sebelum menentang Jamaica (Khamis ini). Piala FA juga belum habis (12 pemain negara kembali ke negeri yang masih bersaing). Apa sahaja juga boleh berlaku dalam latihan selepas ini. Namun, walau siapa pun yang mewakili pasukan Malaysia, merekalah yang terbaik untuk perlawanan tertentu dan berdasarkan situasi semasa.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4uAJYeKdn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan