Khamis, 21 September 2017

Kalah tapi tetap menyakinkan



 
ARKIB : 27/02/2007
PEMAIN negara, Mohammed Sabree (kanan) bersaing dengan pemain Qatar, Khalfan Ibrahim (kiri) dalam perlawanan persahabatan antara skuad Olimpik kedua-dua negara di Doha, kelmarin. Malaysia tewas 0-1. – AFP.

KUALA LUMPUR – Kekalahan 0-1 kepada Qatar pada perlawanan persahabatan di tempat lawan kelmarin, sedikit menjejaskan tumpuan pemain skuad Olimpik negara menjelang pertemuan pembukaan menentang Syria dalam Kumpulan B pusingan kelayakan Olimpik 2008 di Damsyik, esok.

Namun buat jurulatihnya, B. Sathiananthan jelas tidak resah biarpun kalah tetapi ia membuktikan kemantapan skuad Olimpik kebangsaan mampu menyekat skuad berpengalaman Qatar hanya memperoleh satu jaringan pada minit ke-53.

‘‘Kesebelasan utama yang saya turunkan pada babak pertama adalah barisan utama yang akan berdepan Syria.

‘‘Kedudukan pada babak pertama terikat 0-0 apabila kita berjaya menyekat Qatar daripada mencipta jaringan.

‘‘Pemain bermain secara bertahan dengan cemerlang dan berjaya mengimbangi penguasaan Qatar.

‘‘Qatar pula menurunkan kesebelasan terbaik termasuk membariskan Pemain Terbaik Asia, Khalfan Ibrahim dan lima lagi pemain daripada skuad Sukan Asia, Disember lalu,’’ kata Sathianathan skuad Olimpik berangkat dari Qatar ke Syria, semalam.

Biarpun kalah namun buat Sathianathan, beliau lega dengan prestasi terkini pemain kerana dapat mengimbangi kekuatan Qatar.

Ujarnya, sebelum itu Qatar menewaskan skuad Olimpik Oman 3-1.

Beliau berkata, skuad Qatar cuba untuk mencipta jaringan yang banyak tetapi mendapat kekebalan benteng pertahanan skuad Olimpik negara sukar ditembusi.

Selain itu kata jurulatih itu, skuad negara turut memiliki beberapa peluang di depan pintu gol lawan tetapi hampa gagal menggegar jaring lawan.

‘‘Benteng pertahanan kita cukup ampuh dan bermain dengan penuh yakin.

‘‘Qatar hanya mempunyai dua peluang terbaik di depan pintu gol kita tetapi mereka hanya menyempurnakan satu peluang yang menghasilkan gol,’’ ujarnya lagi.

Sathianathan berkata, peluang terbaik buat skuad negara pada minit ke-87 menerusi percubaan Abdul Manan tetapi disepak keluar oleh benteng pertahanan lawan.

Buat jurulatih itu beliau cukup yakin dengan keupayaan barisan pemainnya yang sudah cukup bersedia berdepan Syria dalam perlawanan pertama pusingan kelayakan Olimpik 2008 di Damsyik, esok.

Selain Syria, skuad negara akan berdepan ujian getir daripada pasukan pilihan Jepun dan Hong Kong.

Selepas itu Malaysia akan menanti kunjungan Syria di tempat sendiri pada 18 April manakala berdepan Jepun pada 14 Mac di tempat sendiri dan 16 Mei di tempat lawan.

Berdepan Hong Kong pula pada 28 Mac di tempat lawan dan 6 Jun di tempat sendiri.

Malaysia pernah mara ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980.

SUMERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tKksSiuV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan