Sabtu, 16 September 2017

Jentera serangan Olimpik masih longlai



ARKIB : 03/02/2007
Jentera serangan Olimpik masih longlai

PETALING JAYA – Hanya tinggal 26 hari sebelum perjuangan sebenar pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik Beijing 2008 berlangsung tetapi yang pasti kemampuan skuad bola sepak kebangsaan untuk melakar sejarah layak buat kali ketiga menjadi tanda tanya.

Biarpun skuad Olimpik kebangsaan menewaskan Maldives 1-0 dalam perlawanan persahabatan kedua di Stadium MBPJ semalam, aksi longlai jentera serangan merumuskan peluang kita untuk menewaskan Syria dan Jepun dalam Kumpulan B nyata agak sukar.

Ketumpulan jentera serangan sepanjang babak 90 minit menjelaskan bahawa itulah kelemahan utama yang perlu diperbaiki oleh jurulatih B. Sathianathan jika ingin melihat Malaysia layak ke Sukan Olimpik seperti mana pada 1972 di Munich dan 1980 di Moscow.

Biarpun menguasai keseluruhan babak permainan peluang silih berganti di depan pintu gol Maldives gagal disempurnakan oleh rangkaian serangan yang diterajui oleh Abdul Manaf Mamat, Amirul Hadi Zainal dan Azril Abdul Hamid.

Hanya jaringan kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-38 disempurnakan oleh Azrul Ahmad menjadi jarak pemisah buat skuad Olimpik menang 1-0 dan menebus kekalahan dalam perlawanan persahabatan pertama dengan jaringan yang sama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Selasa lalu.

‘‘Saya akui jentera serangan kita tidak berfungsi, banyak peluang yang hadir disia-siakan begitu sahaja di depan pintu gol Maldives.

‘‘Bagi saya kita masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan jentera serangan dan masalah ini akan diberikan perhatian khusus apabila pemain kembali semula menjalani latihan pada 11 Februari ini,’’ kata Satiananthan ketika ditemui sejurus tamat perlawanan tersebut.

Menurut jurulatih itu yang membimbing skuad Olimpik Mei tahun lalu berkata, kehadiran semula empat tonggak utama pada sesi latihan akan datang akan memantapkan kembali jentera serangan.

Empat pemain tersebut yang mewakili skuad kebangsaan pada Kejohanan Bola Sepak Piala Asean ialah Khairil Muhyimin Zambri, Sanramsak Kram, Azi Shahril Azmi dan Syafiq Rahim.

‘‘Kehadiran mereka inilah yang banyak melegakan dan saya yakin jentera serangan kita akan kembali bertenaga,’’ ujarnya lagi.

Beliau menambah, selepas mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Maldives, pemain Olimpik akan dilepaskan mewakili kelab masing-masing mulai hari ini.

Pada pusingan kelayakan Olimpik, skuad kebangsaan diletakan dalam Kumpulan B bersama Syria, Jepun, Hong Kong atau Bangladesh yang akan ditentukan kemudian.

Saingan pertama skuad Olimpik adalah menentang Syria pada 28 Februari dan 18 April; Jepun pada 14 Mac dan 16 Mei manakala Hong Kong atau Bangladesh pada 28 Mac dan 6 Jun.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4sqefSOXC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan