Jumaat, 29 September 2017

Malaysia cuma dapat Kemboja



ARKIB : 12/06/2007

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Malaysia mendapat satu lagi lawan ujian tetapi cuma dengan Kemboja ketika tiga lagi tuan rumah bersama pusingan akhir bola sepak Piala Asia Julai ini, Thailand, Vietnam dan Indonesia berpeluang menentang China, Belanda, Jamaica dan Liberia sebagai pemanas badan.

Perlawanan persahabatan dengan jiran Asia Tenggara yang tidak pun layak ke Kejohanan AFF, Januari lalu ini akan berlangsung pada 18 Jun ini sekali gus menggantikan Oman selain satu lagi yang telah disahkan, menentang Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 21 Jun ini.

Situasi ini pasti memberikan tamparan hebat kepada persediaan skuad bimbingan Norizan Bakar yang ketandusan lawan yang lebih handal dan bermutu sepanjang tahun ini setelah cuma berbekalkan Kejohanan AFF, siri persahabatan dengan Sri Lanka dan tiga kelab Australia dari Januari hingga bulan lalu.

Thailand kalah 1-3 kepada Belanda bimbingan Marco van Basten biarpun bertandang ke Bangkok, 6 Jun lalu tanpa ramai bintang handalan. Vietnam dan Indonesia pula beruntung kerana diuji Jamaica yang pernah mara ke Piala Dunia 2002, bulan ini selain Liberia yang bakal bertandang ke Solo, 30 Jun ini.

Pada April lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengatur siri persahabatan dengan Jepun, Korea Selatan dan Australia di luar negara selain Oman, Bahrain atau Arab Saudi (27 atau 28 Jun) di sini tetapi kebanyakannya tidak menjadi kenyataan tanpa sebarang alasan pembatalannya diberikan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, pihaknya akan menyarankan perlawanan dengan Kemboja dan UAE itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil biarpun pemiliknya, Perbadanan Stadium Merdeka mahu menutupnya sepanjang bulan ini bagi memelihara keadaan padang.

“Kami juga bercadang mengadakan perlawanan dengan Kemboja dan UAE di situ atas permintaan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) yang mahu menguji keadaan stadium yang bakal menjadi gelanggang utama Piala Asia di Malaysia (dari 7 hingga 29 Julai ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kali terakhir Malaysia menentang UAE ialah pada 1982 dan kita menang 1-0 sementara Kemboja pernah ditewaskan 5-0 pada perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur, 11 Disember 2002.

‘Norizan dan Kompeni’ akan menentang naib juara Piala Asia 2004, China di Bukit Jalil pada 10 Julai ini. Lawan lain Malaysia dalam Kumpulan C ini ialah Uzbekistan yang mara ke suku akhir tiga tahun lalu dan Iran - bekas juara Asia tiga kali serta peserta pusingan akhir Piala Dunia Jerman 2006.

Menurut Ibrahim, menentang Kemboja yang cuma bertaraf serantau sekurang-kurangnya mampu mengelak tonggak Malaysia daripada ditimpa kecederaan teruk menjelang Piala Asia biarpun menyedari lebih banyak perlawanan persahabatan bermutu bakal mematangkan dan memajukan skuad negara.

Kebimbangan itu mungkin ada benarnya kerana ramai tonggak skuad negara seperti Safee Sali, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Indra Putra Mahyuddin dan Hairuddin Omar baru sahaja pulih atau kerap kali tercedera malah masih memerlukan masa untuk mencapai prestasi maksimum di pentas bertaraf tinggi antarabangsa.

Mengenai pelepasan pemain negara kepada pasukan Liga Malaysia ketika kem latihan di Pulau Pinang sekarang dan Kuala Lumpur selepas ini, katanya, mereka hanya dibenarkan kembali bagi Piala FA yang sudah memasuki peringkat separuh akhir tetapi dilarang berbuat demikian dalam Liga Super dan Liga Perdana.

Ini bererti cuma pasukan separuh akhir Piala FA seperti Johor-Pasir Gudang, Perlis, Selangor dan Kedah berpeluang menggunakan khidmat Hamzani Omar, Fauzie Nan, Azi Shahril Azmi, Syed Adney Syed Hussein, Shukor Adan, Amirulhadi Zainal, Akmal Rizal, Safee, Fadzli Shaari, V. Thirumurugan, Ahmad Fauzi Shaari dan Khyril Muhymeen Zambri.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4u8rP7PWI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan