Jumaat, 29 September 2017

Pintu tertutup rapat



ARKIB : 07/06/2007
 
PEMAIN Jepun, Shinzi Okazaki (kiri) hampir rebah akibat terjahan pemain Malaysia, Daudsu Jamaludin pada perlawanan Kumpulan B Kelayakan Olimpik di Stadium Nasional, Tokyo, semalam. Malaysia kalah 3-1. – AP.

KUALA LUMPUR – Malaysia mengakhiri persaingan bola sepak Kumpulan B Kelayakan Olimpik dengan kegagalan ke pusingan akhir setelah kalah 3-1 kepada Jepun dalam perlawanan terakhirnya di Stadium Nasional, Tokyo, semalam.

Tuan rumah yang telah layak April lalu, sebaliknya terus kukuh selaku juara kumpulan dengan mengumpul 18 mata maksimum selepas mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Yuto Nagatomo, Shuto Suzuki dan sepakan penalti oleh Hiroki Bandai.

Jaringan Nagatomo dan Suzuki tiba pada minit ke-28 dan 33 sementara Bandai menyusul minit ke-53 sebelum pelawat merapatkan jurang dengan gol tunggal ketua pasukannya, S. Subramaniam, enam minit kemudian.

Malaysia yang menagih kemenangan untuk mengutip sisa peluang yang terlalu tipis, kini terpaksa merelakan kemaraan pencabar terdekatnya, Syria sebagai pasukan kedua Kumpulan B ke pusingan akhir.

Sebarang keputusan Syria dengan Hong Kong dalam satu lagi perlawanan di Stadium Al Abbassyeen, Damsyik, semalam, tidak menjejaskan peluang pasukan Asia Barat itu yang telah mengumpul tujuh mata.

Anak didik B. Sathianathan perlu menewaskan Jepun sekurang-kurangnya 3-0 sambil berharap ihsan Hong Kong mengejutkan Syria tanpa balas supaya perbezaan jaringan menyebelahinya sekalipun mungkin terikat tujuh mata.

Semalam, Jepun menampilkan tujuh muka baru antaranya Nagatomo yang menanduk terbang daripada umpanan lintang perantara Kota Ueda pada minit ke-28 untuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Syed Adney Syed Hussein.

Suzuki pula yang melepaskan rembatan kencang kaki kiri dari luar petak penalti untuk menjadikannya 2-0 sebelum bek tengah Malaysia, Aidil Zafuan Razak menghadiahkan penalti kerana mengasari Nagatomo.

Tanpa teragak-agak, Bandai menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-53 sebelum Subramaniam memanfaatkan keadaan kelam-kabut di depan gol Jepun untuk menyumbat gol sagu hati Malaysia.

Malaysia juga berpeluang menambah gol pada minit ke-71 sekiranya penyerang, Norshahrul Idlan Talaha yang sempat memintas umpanan lawan, tidak mensia-siakan peluang ketika hanya berdepan dengan penjaga gol, Kaito Yamamoto.

Sejak kelayakan 28 Februari lalu, Malaysia mengumpul empat mata selepas kalah kepada Syria 3-1 (Damsyik) dan seri 0-0 (Petaling Jaya), dibenam Jepun 2-1 (Petaling Jaya) selain menewaskan Hong Kong 1-0 sebelum kalah 1-0 di Petaling Jaya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u8cgjOOz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan