Jumaat, 15 September 2017

Skuad kebangsaan perlukan sokongan peminat – Hairuddin



ARKIB : 21/01/2007

KUALA LUMPUR – Bukan masa untuk mengeji atau mengutuk tetapi inilah masanya penyokong perlu mengubah pendirian untuk memberi sokongan padu semula kepada skuad bola sepak kebangsaan yang akan berdepan Singapura di separuh akhir pertama Kejohanan Bola Sepak ASEAN di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar berkata, hanya sokongan moral penyokong dapat menyemarakkan semangat pemain untuk memahat kemenangan pertama ke atas Singapura.

‘‘Aksi kesebelasan utama di padang tidak cukup jika tidak dibantu oleh sorakan penonton dan jika stadium penuh ia sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat juang paling ampuh.

‘‘Saya rasa penyokong perlu mengubah pendirian untuk kembali menyokong skuad bola sepak kebangsaan inilah harapan saya.

‘‘Kelebihan bermain di gelanggang sendiri akan lebih menarik jika diiringi sokongan padu seluruh peminat bola sepak,’’ ujar Hairuddin, semalam.

Penyerang Pahang itu menegaskan, bermain dengan sokongan padu penyokong boleh membuatkan pemain bermain lebih daripada keupayaan sebenarnya.

Buat Hairuddin, rakan-rakan yang akan diturunkan menentang Singapura telah membulatkan tekad untuk memberikan persembahan terbaik dan berjuang habis-habisan untuk menang pada saingan separuh akhir pertama ini.

Ujarnya, moral pemain kini jauh berbeza daripada aksi di peringkat kumpulan di Bangkok kerana kali ini segenap keringat akan diperah bagi memastikan Malaysia mengukir kemenangan pertama.

‘‘Ramai memperkatakan penampilan Singapura kali ini lebih hebat, namun pada saya kekuatan kedua-dua pasukan adalah seimbang.

‘‘Dan saya berjanji untuk memberikan persembahan terbaik jika tidak saya menjaringkan gol sekurang-kurangnya bantuan saya dapat memastikan Malaysia meraih kemenangan awal,’’ ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4soi5BAsS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan