Sabtu, 23 September 2017

Skuad bola sepak kelayakan Olimpik rombak pertahanan



ARKIB : 16/04/2007

KUALA LUMPUR – Kebimbangan menghantui skuad bola sepak Olimpik Malaysia menjelang pertemuan pusingan kedua Kelayakan Olimpik menentang Hong Kong, Rabu ini apabila terpaksa melupakan khidmat dua tonggak bentengnya kerana kecederaan.

Ketua pasukan, Ahmad Azlan Zainal dan S. Subramaniam yang masing-masing bermain di benteng tengah dan kiri, mendapat musibah itu ketika mengharungi persaingan Liga Malaysia sekali gus memaksa jurulatih B. Sathianathan membuat sedikit rombakan.

Kedua-duanya juga saling berganti sebagai ketua pasukan sepanjang tiga perlawanan pertama Malaysia dalam Kumpulan B sejak 28 Februari lalu di mana kita dikalahkan Syria 3-1, Jepun 2-1 sebelum menumpaskan Hong Kong 1-0 pada 28 Mac lalu.

“Satu demi satu khidmat ketua pasukan kita tidak dapat digunakan kerana masalah kecederaan malah benteng tengah perlu dirombak tetapi mungkin saya dapat cuba menggandingkan Aidil Zafuan Razak dengan Syamsol Sabtu di situ,” kata Sathianathan kepada Utusan Malaysia, semalam.

Tanpa Subramaniam, Sathianathan akan mempertaruhkan semula Tengku Qayyum Ubaidullah Tengku Ahmad yang berkesan selaku bek kiri ketika menentang Hong Kong lalu manakala Sabri Mat Abu akan mengapit Aidil-Syamsol di benteng sebelah kanan.

“Saya mungkin memilih ketua pasukan baru di antara Aidil atau Mohd. Shakir Shaari apabila menentang Hong Kong semula,” kata Sathianathan yang tidak dapat menguji gandingan ini kelmarin dalam satu perlawanan persahabatan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Hasrat Sathianthan yang turut bertujuan memanaskan badan pasukan sejak dikumpulkan minggu lalu di Wisma FAM, Kelana Jaya itu terbantut gara- gara hujan lebat ketika perlawanan baru berusia lima minit dengan anak buahnya sudah mendahului 2-0.

Skuad negara juga bakal turun menentang Hong Kong tanpa khidmat penyerang utama, Azril Hamid yang digantung satu perlawanan kerana telah mengumpul dua kad kuning. Pemain UPB-MyTeam itu juga menyumbangkan gol tunggal ketika menentang Syria di Damsyik.

Malah tanpa perlawanan pemanas badan, sesi latihan dalam tempoh tiga hari menjelang aksi di Stadium Petaling Jaya itu bakal menguji dan mencari gandingan serangan yang lebih secocok dan berkesan setelah agak tumpul dalam tiga perlawanan lalu.

“Saya kini memiliki gandingan penyerang Norshahrul Idlan Talaha dengan Farderin Kadir atau Zaquan Adha Razak dengan Samransak Kram. Kedua-duanya masih dicuba dalam sesi latihan sambil mengambil kira prestasi mereka sepanjang Liga M, baru-baru ini,” katanya.

Zaquan yang terlepas Kejohanan Belia Asia, Oktober lalu kerana kecederaan lutut, baru menyertai skuad Olimpik negara tetapi sempat menjaringkan satu gol untuk Negeri Sembilan biarpun kalah 2-1 kepada UPB-MyTeam dalam pusingan kedua Piala FA, bulan lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4tWY36W5B
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan