Firdaus Hashim
KONFEDERASI Bolasepak Asia
(AFC) tetap dengan pendirian untuk meneruskan aksi ketiga Kumpulan B Kelayakan
Piala AFC 2019 antara Korea Utara dan Malaysia di Pyongyang pada 5 Oktober ini
meskipun wujud kebimbingan kemungkinan tercetusnya perang di ibu negara
republik itu.
Berdasarkan perkembangan
terbaru di Korea Utara ketika ini, Pyongyang baru saja meraikan kejayaan
melancarkan ujian nuklear keenam yang kemudiannya mencetuskan kecaman global
terutamanya dari Amerika Syarikat yang melihat tindakan itu sebagai
meminta-minta untuk berperang.
Menurut Setiausaha Agung AFC,
Datuk Windsor Paul John, pihaknya sentiasa peka dengan situasi yang berlaku di
negara Asia Timur itu dan percaya keselamatan skuad kendalian Nelo Vingada
sepanjang berada di sana pasti terjamin.
Malah, selepas ditunda sebanyak
dua kali sebelum ini, aksi berkenaan tidak boleh ditunda lagi dengan Persatuan
Bolasepak Korea Utara (PRKFA) sendiri enggan berganjak untuk mengadakan
perlawanan itu di negara mereka dan bukannya di gelanggang berkecuali.
“Kita (AFC) baru saja habis
perlawanan Korea Utara dan Lubnan tanpa apa-apa masalah keselamatan mahu pun
pengelolaan perlawanan diadakan di Pyonyang (5 September lalu).
“Malah, pada hari Rabu ini
(esok) salah sebuah kelab Korea Utara akan bermain dengan kelab Bengaluru dalam
perlawanan AFC dan setakat ini tak ada apa-apa masalah.
“Jadi Jawatankuasa Pertandingan
AFC buat masa ini tidak membuat keputusan yang lain daripada bermain di
Pyongyang,” katanya kepada Arena Metro, hari ini.
Pada Mei lalu, badan induk bola
sepak Asia itu terpaksa menunda buat kali kedua pertemuan kedua-dua pasukan
selepas melakukannya pada 28 Mac lalu susulan ketegangan hubungan diplomatik
apabila abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang
Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.
Penangguhan itu adalah yang
kedua selepas perlawanan asal dijadualkan pada 28 Mac lalu dipinda kepada 8 Jun
berikutan masalah hubungan diplomatik kedua-dua negara yang tegang susulan kes
pembunuhan itu.
Bimbangan dengan keselamatan
pemain dan pegawai pasukan di sana, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
mengemukakan rayuan memohon agar AFC mengubah venue perlawanan itu ke
gelanggang berkecuali.
Bagaimanapun, ianya ditolak
PRKFA apabila memberi jaminan bahawa keselamatan pasukan kebangsaan akan
terjamin sepanjang berada di negara itu.
Malaysia sebelum ini tewas 1-2
kepada Lubnan dan seri 1-1 menentang Hong Kong di Larkin, perlu meraih tiga mata
penuh bertemu Korea Utara untuk memperbaiki kedudukan selepas sekadar berada di
tangga tercorot dengan satu mata.
sumberArtikel ini disiarkan
pada : Isnin, 11 September 2017 @ 9:05 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan