Jumaat, 22 September 2017

Skuad Olimpik intai Ahmad Fakri - Dalam usaha mencerahkan peluang ke Beijing



ARKIB : 01/04/2007 
Oleh: JAILANI ABDULLAH

KUALA LUMPUR – Kehebatan penyerang muda Perak, Ahmad Fikri Saarani mencipta hatrik dalam aksi Liga Super turut mencetuskan rasa kagum kepada pengendali skuad Olimpik, B. Sathianathan tetapi jurulatih itu mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat sebarang keputusan sama ada mahu memanggil penyerang itu.

“Berjaya menghasilkan hatrik bagi seseorang penyerang muda adalah sesuatu yang mengkagumkan. Saya mahu melihat lagi permainan dia... satu perlawanan belum mencukupi untuk menilai prestasi sebenar Ahmad Fikri.

“Bagaimanapun, itu merupakan satu permulaan yang cukup baik dan saya melihat dia memiliki potensi untuk dibawa ke peringkat antarabangsa,” kata Sthianathan ketika dihubungi, semalam.

Untuk itu, Sathianathan mengambil sikap bersabar tetapi akan terus meneliti permainan Ahmad Fikri sebelum menentukan apakah dia perlu memanggil pemain itu menyertai skuadnya, yang masih segar dengan kemenangan 1-0 ke atas Hong Kong dalam kelayakan Olimpik baru-baru ini.

Ahmad Fikri membantu Perak memalukan Negeri Sembilan apabila menjaringkan tiga gol pertama pasukannya ketika mereka menang 5-1 ke atas skuad Rusa itu dalam kempen Liga Super di Ipoh pada 24 Mac lepas.

Ia merupakan gol pertama pemain muda itu untuk Perak dalam aksi Liga Super musim ini.

Ahmad Fikri, 18, merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pernah berada dalam pasukan remaja negara yang dibimbing oleh K. Rajagopal.

“Mungkin ketika itu orang belum kenal dia, jadi dia tidak begitu dikawal. Lainlah jika dia sudah terkenal seperti Akmal Rizal (Ahmad Rakhli), maka dia akan mendapati diri dia dikawal ketat.

“Cabaran dalam Liga Super juga berbeza dengan di peringkat antarabangsa, jadi saya tidak mahu terburu-buru memanggil Ahmad Fikri menyertai skuad saya,” jelas beliau.

Jurulatih itu juga setakat ini berpuas hati dengan barisan hadapan skuadnya terutama dengan kelincahan penyerang Kedah, Saramsak Kram.

Sathianathan juga boleh merasa sedikit lega kerana Aidil Zafuan Razak yang berehat panjang akibat patah kaki telah mula menjalani latihan bersama skuad Negeri Sembilan, membayangkan bahawa dia akan mempunyai lebih banyak pilihan.

Anak-anak buah Sathianathan yang kini menduduki tempat ketiga dalam kumpulan mereka dilihat mempunyai sedikit kelebihan selepas kemenangan ke atas Hong Kong itu kerana mereka akan menentang Hong Kong dan Syria di tempat sendiri selepas ini sebelum melawat Jepun.

Jepun berada di tempat teratas dengan mata maksimpun sembilan mata selepas tiga perlawanan diikuti oleh Syria dengan enam mata. Hong Kong di tempat terakhir tanpa mata.

Berbekalkan tiga mata selepas tiga perlawanan, keputusan ke atas Hong Kong baru-baru ini menambah keyakinan ke atas Sathianathan bahawa mereka berpeluang untuk menjadi antara dua pasukan dalam kumpulan yang akan layak ke peringkat kelayakan seterusnya.

“Saya yakin kami boleh menang kedua-dua perlawanan di tempat sendiri dan dengan menganggap Syria akan kalah di tangan Jepun, maka kita boleh mara ke pusingan seterusnya.

“Jika kita menang kedua-dua perlawanan di tempat sendiri nanti, kita akan mendapat sembilan mata dan jika Syria kalah kepada Jepun bermakna kita berpeluang untuk layak,” ujarnya.

Katanya, walaupun kalah kepada Syria 3-1 di tempat lawan pada awal bulan lepas, tetapi pasukannya telah menunjukkan prestasi yang bagus dan kini mereka bertambah mantap dan matang.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tSuMkr2J
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan