Rabu, 13 September 2017

Misi tebus maruah bermula



ARKIB : 11/01/2007

KUALA LUMPUR – Skuad kebangsaan tetap mengidamkan kejayaan daripada Kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang akan bermula di Bangkok, esok biarpun tidak diletakkan sasaran oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Barisan 22 pemain skuad bimbingan Norizan Bakar tiba di Bangkok, semalam bersama harapan untuk mengembalikan maruah bola sepak negara yang sering diperkatakan akhir- akhir ini.

Malah, Norizan sendiri amat bermotivasi dengan kata perangsang yang diberikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad minggu lalu, bahawa kegagalan skuad kebangsaan akhir-akhir ini tidak bermakna mereka tidak menunjukkan peningkatan.

“Keputusan yang baik (pada Piala AFF) akan membawa banyak perubahan kepada masa depan bola sepak Malaysia. Ia akan memberi imej yang lebih baik kepada kami dan merubah pemikiran orang ramai.

“Memang benar kami bergelut dengan masalah prestasi akhir-akhir ini dan gagal meraih sebarang kejuaraan besar sejak hampir sedekad tetapi saya pasti kejayaan di Piala AFF akan merubah segala persepsi,’’ kata Norizan yang bertolak ke Bangkok, semalam.

Norizan tidak menafikan bahawa semangat pemain sedikit terganggu dengan pelbagai kritikan yang dilemparkan kepada skuad kebangsaan sejak kebelakangan ini.

Malah, kegagalan mereka pada Sukan Asia Doha bulan lalu iaitu tewas dalam semua perlawanannya - 1-3 kepada Oman, 1-3 kepada China dan 0-4 di tangan Iraq memburukkan lagi imej pasukan negara.

Bagaimanapun, Norizan berharap kegagalan tersebut menjadi motivasi buat anak-anak buahnya untuk bangkit membawa keputusan positif dari Bangkok, yang sekaligus akan merubah persepsi buruk terhadap skuad kebangsaan.

Pada Piala AFF, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama gergasi bola sepak Asia Tenggara, Thailand, Filipina dan Myanmar.

Norizan telah memanggil beberapa pemain berpengalaman untuk menyertai skuad ke Bangkok dalam tempoh dua minggu terakhir latihan.

Selain gagal mendapatkan perlawanan persahabatan, persiapan jurulatih itu juga diganggu dengan pelbagai rungutan daripada pasukan negeri kerana penglibatan pemain mereka bersama skuad kebangsaan ketika Liga Malaysia sedang berlangsung.

Bagaimanapun, Norizan dengan tenang berkata: ‘‘Ia tidak langsung menganggu persiapan saya, saya percaya kami dapat melalui semuanya secara bersama.’’

Pasukan negara akan memulakan kempennya dengan menentang Filipina, Jumaat ini sebelum bertemu Myanmar (Ahad) dan Thailand pada Selasa depan.

Empat lagi pasukan dalam Kumpulan B adalah tuan rumah, Singapura, Vietnam, Laos dan Indonesia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4sZUqu3jH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan