ARKIB : 02/07/2007
B12 Malaysia benam Indonesia,
Tunisia
KUALA LUMPUR Skuad bawah 12
tahun Malaysia mencatat pencapaian yang lebih baik dari tahun lalu selepas
menumpaskan Indonesia 1-0 dan Tunisia 2-0 pada perlawanan penentuan tempat
ke-17 hingga 32 Kejohanan Bola Sepak Piala Negara-Negara Danone di Lyon,
Perancis, semalam.
Ketua pasukan, Muhammad Syafiq
Ahmad menjamin kemaraan mereka untuk mengatasi pencapaian tempat ke-29 tahun
lalu apabila jaringan tunggalnya membenam Indonesia dan satu lagi menerusi
penentuan penalti ke atas Tunisia.
Bermain menentang pemain
Indonesia yang jauh lebih besar, Muhammad Syafiq mengulangi persembahan
cemerlangnya sebagaimana ketika membenam Cameroon 1-0 dalam perlawanan Kumpulan
F yang turut mengandungi Argentina, Czech dan England.
Muhammad Syafiq dan Muhammad
Muzaimir Abdul Hadi menyempurnakan penentuan penalti setelah Malaysia dan
Tunisia terikat tanpa jaringan manakala penjaga gol, Mohammad Azam Jais turut
muncul wira pasukan apabila menyelamatkan salah satu sepakan lawan.
Kelmarin, Malaysia yang
diwakili pasukan remaja Pulau Pinang ini turut mengikat Argentina dan Czech
tanpa jaringan sebelum kalah kepada England 2-0 sekaligus mengumpul lima mata
untuk menduduki tempat ketiga kumpulan itu.
Timbalan Menteri Pelajaran,
Datuk Noh Omar berkata: Saya berbangga dengan pencapaian cemerlang pasukan
apatah lagi setelah menewaskan Indonesia dan Tunisia. Kementerian akan terus
memantau dan menyokong pasukan ini selain menyediakan program latihan terbaik
di bawah jurulatih khas yang terpilih. Merekalah pemain masa depan negara.
Malaysia kini memburu antara
tempat ke-17 hingga 20 dalam kejohanan yang disertai oleh 40 pasukan dari
seluruh dunia dengan menentang Poland hari ini.
Jika menang, mereka akan
menentang sama ada Ireland atau Vanuatu sekaligus berpeluang mencapai tempat
ke-17.
Sementara itu, juara bertahan,
Reunion Island, bekas jajahan Perancis, menghampiri Piala Negara-negara Danone
dengan mengatasi Sepanyol 6-5 menerusi penalti pada suku akhir selepas terikat
0-0 pada masa tambahan.
Reunion Island, juara 2002 akan
menghadapi Perancis pada separuh akhir hari ini manakala satu lagi perlawanan
menemukan Afrika Selatan dengan Turki sementara wakil tunggal Asia dalam suku
akhir, Jepun dibenam 4-0 oleh tuan rumah.
Piala Negara-negara Danone
merupakan kejohanan remaja utama tahunan dunia bagi peringkat bawah 12 tahun
dan mendapat kelulusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
SUMBRArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4uBAv7ywg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan