Sukhairi Thani dan Helmi Talkah
bhsukan@bh.com.my
Kuala Lumpur: Sesuatu yang
membanggakan! Itu kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar
selepas melihat beberapa pemain bola sepak kebangsaan yang kini berada dalam
radar kelab di rantau Asia Tenggara.
Selepas menunjukkan prestasi
cemerlang di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, enam pemain skuad bawah 22 tahun
(B-22) seperti Adam Nor Azlin, Adib Zainudin dan N Thanabalan dilaporkan kini
diintai beberapa kelab utama Thailand.
“Saya bangga kerana ada pasukan
daripada negara serantau yang menunjukkan minat terhadap pemain kita yang
beraksi di Sukan SEA,” kata Khairy selepas melakukan lawatan di sekitar venue
pertandingan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur (Para KL2017), di Bukit Jalil,
semalam.
“Ini satu petanda baik dan
mungkin kita juga dapat melihat bagaimana kita boleh memberi pendedahan yang
lebih baik lagi terutamanya kepada pemain pasukan yang di bawah kendalian Bojan
Hodak (B-19) dan Lim Teong Kim (pengendali Program Pembangunan Bola Sepak
Negara) selepas ini.
“Ini penting untuk mereka
menceburi dan memajukan kerjaya bola sepak bukan saja di sini tetapi juga di
luar negara termasuk di kelab besar di Asia Tenggara, di benua Asia dan kalau
ada peluang di Eropah dan sebagainya.
“Kalau kita dapat gunakan
kejayaan dikecapi ini dan tingkatkan lagi kemampuan pemain, saya rasa pasukan
senior negara dalam tempoh lima tahun akan datang tentunya menjadi pasukan
digeruni sekiranya diambilkira dengan kebolehan dan kemampuan pasukan muda yang
kita ada ketika ini.”
Sementara itu, Khairy turut berpuashati
dengan pretasi pasukan B-19 tahun kendalian Bojan yang melangkah mara ke pentas
final Kejuaraan B-18 AFF 2017 bertemu Thailand esok selepas mencatat kemenangan
5-4 menerusi penentuan penalti ke atas tuan rumah Myanmar, kelmarin.
Bagi Khairy, ia bukti jelas
kemampuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam membentuk generasi pasukan
yang mampu menyerlah di masa depan.
“Saya nak ucap tahniah kepada
B-19 yang layak ke final AFF B-18. Kalau kita tengok kejayaan pasukan
kebangsaan muda terutamanya B-22 yang layak ke Piala AFC B-23... ini pasukan
yang sama ke final Sukan SEA dan rangkul pingat perak manakala B-19 ke final
AFF.
“Ini bukti perubahan yang di
bawah kepimpinan FAM kini sudah mula membuahkan hasil. Ini perkembangan positif
yang perlu diberi sokongan dan saya percaya FAM sekarang ini sudah melihat
untuk lima hingga 10 tahun akan datang.
“Jadi kejayaan ini menunjukkan
masa depan bola sepak semakin cerah. Cuma, perlu kekalkan momentum dan pastikan
mereka ini akan dapat pengalaman di liga serantau dan antarabangsa,” katanya.
sumberArtikel ini disiarkan
pada : Ahad, 17 September 2017 @ 2:51 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan