ARKIB : 30/12/2006
Azi Shahril ganti Nor Farhan
JURULATIH penjaga gol, Lim
Chuan Chin (kiri) menguji ketangkasan Nasril Nourdin, Syamsuri Mustafa
(melambung bola) dan Azizon Kadir pada sesi latihan skuad negara menghadapi
Kejohanan AFF di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. – Gambar RAJA JAAFAR ALI.
PETALING JAYA – Azi Shahril
Azmi menjadi pelatih terbaru dipanggil menyertai skuad bola sepak kebangsaan
bagi menghadapi Kejohanan AFF di Bangkok, bagi menggantikan Nor Farhan Mohamad
yang tercedera tangan.
Ketua jurulatih negara, Norizan
Bakar berkata, pemain tengah Perlis itu yang melapor diri ke Wisma FAM, Kelana
Jaya dalam latihan hari kedua semalam, merupakan salah satu daripada tujuh nama
dalam senarai simpanannya.
“Khidmat Nor Farhan tidak dapat
digunakan ke Kejohanan AFF (mulai 12 Januari ini) dan sebagai ganti, kami
panggil Azi Shahril,” katanya selepas sesi latihan yang menumpukan pemulihan
kecergasan dan kepantasan 22 pelatih itu.
Farhan, pemain Terengganu yang
turut ke Sukan Asia Doha, baru-baru ini, patah tangan kanannya dalam perlawanan
Liga Super dengan Johor FC, minggu lalu dan masih terpaksa menggunakan anduh.
Hanya Khyril Muhymeen Zambri
dari Kedah yang bermain pada Kejohanan Belia Asia di Bangalore dan Sukan Asia
Doha dengan skuad Bawah 20 dan 23 Tahun, berturut-turut sejak Oktober lalu,
belum melapor diri ke kem latihan negara atas alasan tertentu.
Antara pemain dalam senarai
simpanan Norizan yang bakal dipanggil sekiranya timbul masalah kecederaan baru
ialah Ahmad Azlan Zainal, S. Subramaniam, Rosdi Talib, Syed Adney Hussein dan
Norshahrul Idlan Talaha.
Mengenai penyertaan penyerang,
Khalid Jamlus yang dikatakan semakin memikat dan memuaskan hati jurulatih
Perak, Steve Darby dalam Liga Super, katanya, “kami mahu cuba menggunakan
khidmat mereka yang ada di kem sekarang terlebih dulu.”
Skuad pelatih Malaysia setakat
ini cuma memiliki pilihan penyerang yang terhad dengan kembalinya Hairuddin
Omar dari Pahang, pemain UPB-MyTeam, Nizaruddin Yusof selain tonggak tetap,
Saramsak Kram (Kedah) dan Fadzli Saari (Selangor).
Norizan juga masih menagih
beberapa perlawanan pemanas badan anak didiknya setelah rancangan Indonesia
mengadakannya di Kuala Lumpur, dibatalkan, menurut Setiausaha Agung Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.
Sementara itu, pemain Negeri
Sembilan, Azizon Kadir berkata, persaingan tiga penjuru untuk merebut dua
tempat penjaga gol skuad negara ke Bangkok cukup sengit tetapi tetap
mengalu-alukannya.
“Latihan di sini lebih agresif
dari di negeri tetapi terserah kepada jurulatih untuk menilai kemampuan dan
prestasi saya,” katanya yang bersaing dengan Syamsuri Mustafa (Terengganu) dan
Nasril Nourdin (Perak).
Azizon memburu penampilan kedua
dalam Kejohanan AFF (dulunya Piala Tiger) selepas mendapat kepercayaan Bertalan
Bicskei yang membawa Malaysia menduduki tempat ketiga dengan menewaskan Myanmar
2-1 di Singapura, awal tahun lalu
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sMGscJch
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan