Khamis, 21 September 2017

FAM mulakan langkah



ARKIB : 01/02/2007

Oleh: MEOR HARMAN MEOR SHAKRI

KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai rancangan jangka panjang dalam memajukan sukan tersebut di arena antarabangsa, malah telah pun memulakan langkah-langkah awal ke arah itu.

Naib Presidennya, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, antaranya menghantar pemain-pemain muda mendapatkan ilmu dan latihan di luar negara selain mengusahakan pencarian bakat baru di peringkat akar umbi.

Katanya, usaha itu bagaimanapun tidak boleh mendatangkan keputusan dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan masa sebelum berjaya.

‘‘Matlamat kita (FAM) ialah mendedahkan mereka beraksi di luar negara untuk menimba ilmu dan pengalaman, malah kalau boleh mereka akan mendapat peluang beraksi dengan kelab-kelab terkemuka di sana seperti yang diamalkan oleh Korea Selatan, Jepun dan China pada masa ini,’’ katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Raja Ahmad diminta mengulas surat pembaca dalam forum Utusan Malaysia yang menyatakan rasa kecewa dan kebosanan mereka melihat prestasi skuad negara di arena antarabangsa.

Antaranya, Pengulas Jalanan dari Johor Bharu meminta barisan kepimpinan FAM mengundurkan diri dan memberi peluang kepada muka-muka baru untuk mengemudi badan induk bola sepak itu.

Surat kedua daripada Peminat Bola Sepak, Kampung Kerinchi di sini, pula kesal dengan kedudukan Malaysia pada ranking ke-157 dunia.

Malah, penulis surat itu juga kesal dengan sikap FAM yang mudah melenting apabila menerima teguran. Dia juga menggesa pengurusan badan induk itu meletakkan jawatan bagi mengelakkan kemarahan lebih ramai peminat tempatan.

Sementara itu, penulis surat ketiga, Mohd. Ismail Mohd. Nor dari Pusat Rekreasi Cheras di sini, pula menggesa FAM agar memperbaiki persembahan skuad negara khususnya di bahagian serangan.

Aksi Malaysia sebelum ini banyak menimbulkan kemarahan peminat termasuklah tewas kepada Singapura pada separuh akhir Kejohanan Bolasepak ASEAN minggu lalu selain pulang dengan tangan kosong pada Sukan Asia Doha.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad menjelaskan, FAM tidak pernah mengabaikan tanggungjawab memajukan mutu bola sepak negara di kancah antarabangsa.

Sebaliknya, katanya, perkembangannya juga berkaitan dengan senario persekitaran termasuk sambutan ibu bapa terhadap penglibatan anak mereka dalam sukan ini.

‘‘Kita (negara) bukan seperti sesetengah negara miskin yang meletakkan sukan bola sepak sebagai jalan untuk keluar daripada kemiskinan.

‘‘Kebanyakan ibu bapa di negara ini lebih suka anak-anak mereka memberi tumpuan kepada akademik daripada bola sepak. Satu lagi, di luar negara bola sepak ada pasaran dan mereka (pemain) sanggup berhijrah demi mengubah cara hidup mereka.

‘‘Di sini (Malaysia) keadaan berbeza. Malah, mentaliti pemain kita berbeza. Ada yang tidak sanggup berdepan dengan cuaca sejuk di Eropah dan masalah sedangkan bermain di negara sendiri, walaupun bayaran yang diterima kecil tapi segala-galanya ada,’’ tegas beliau.

Justeru, kata Raja Ahmad, peminat-peminat tidak boleh menyalahkan FAM semata-mata kerana FAM mencuba sedaya-upaya dan tidak pernah jemu untuk membangunkan bola sepak negara.

‘‘Kalau ada yang lebih baik, tonjolkan diri kita nak tahu siapa dia. Soal letak jawatan tidak timbul. Kami bersikap terbuka dan menerima teguran, malah FAM mempunyai platform sumbang saran untuk membenihkan idea-idea bagi tujuan itu,’’ ujarnya.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tKqgvvlS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan